Soalan : .Apakah hukumnya sekiranya kita terlelap/tertidur
sekejap ketika solat, terutamanya solat subuh. adakah solat akan terbatal.
Jawapan :
Biasanya kita hanya mengantuk sahaja di tengah solat (yakni
terlelap, bukan tertidur). Mengantuk tidaklah membatalkan solat (sebagaimana
tidak membatalkan wuduk) tanpa ada khilaf di kalangan ulama sama ada
mengantuk/terlelap itu berlaku ketika kita sedang berdiri, rukuk, sujud atau
duduk. Adapun jika kita benar-benar tertidur ketika sedang solat, maka hukumnya
menurut mazhab Syafiie adalah seperti berikut;
1. Jika tidur itu berlaku semasa sedang duduk iaitu punggung
kita berada tetap di atas lantai, tidaklah batal solat.
2. Jika tidur itu berlaku semasa sedang berdiri atau sedang
rukuk atau sujud, batallah solat mengikut pandangan yang muktamad dalam mazhab
Syafiie.
Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi dalam
kitabnya “al-Majmuk”; “Jika seseorang tidur di dalam solatnya pada ketika
sedang duduk iaitu punggungnya tetap di atas lantai, tidak batal solatnya tanpa
khilaf (di kalangan ulamak mazhab Syafiie). Jika ia tidur bukan ketika duduk
(yakni ketika berdiri, rukuk atau sujud), terdapat khilaf. Mengikut pandangan
yang lemah; tidak batal solat dan wuduknya. Namun mengikut pandangan yang
menjadi pegangan mazhab (Syafiie); batal solat dan juga wuduknya” (al-Majmu’,
2/16. Dinaqalkan secara mafhum).
Jika seorang tertidur hingga ia bercakap di dalam solatnya
(dengan percakapan yang bukan solat), batallah solatnya. Berkata Imam
al-Walwaliji dalam fatwanya; “Orang yang menunaikan solat jika ia tertidur dan
bercakap ketika sedang tidur itu, batallah solatnya” (Dinaqal oleh Imam Ibnu
Nujaim dalam kitabnya al-Asybah wa an-Nazair, 1/276).
Mengenai perbezaan antara mengantuk (terlelap) dengan tidur,
dijelaskan oleh ulama seperti berikut;
a) Tidur menguasai akal dan deria (yakni akal dan deria
tidak berfungsi lagi kerana dikuasai oleh tidur), sedang mengantuk hanya
melemahkan akal dan deria sahaja (yakni akal dan deria masih berfungsi, cuma ia
lemah sahaja kerana dipengaruhi persaan mengantuk).
b) Berkata al-Qadhi Husain dan Imam al-Mutawallai; tanda
tidur ialah hati tidak merasai apa-apa lagi dan sendi-sendi badan akan
jatuh/longlai.
c) Menurut ulama juga; di antara tanda mengantuk ialah kita
masih mendengar ucapan orang yang hampir dengan kita sekalipun kita tidak
memahami apa yang dikatakanya. Adapun mimpi ia adalah dari tanda tidur
(maknanya, jika terlelap hingga sampai bermimpi, itu tandanya kita telah
tertidur).
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 2/13 (bab al-Ahdas allati
Tanqudhu al-Wudhu’).
2. Al-Mausi’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah (perkataan; Naum).
3. Al-Asybah wa an-Nazhair, Imam Ibnu Nujaim, 1/276.
baca juga
- Penjelasan Untuk Isteri: Siapa Lebih Utama Mertua Atau Ibu Bapa Kandung? Ramai Yang Silap!
- Mandi Wajib Dalam Keadaan Berbogel. Adakah Sah Junub Saya? Mari Kita Lihat Apa Kata MUFTI
- Hukum Menjualkan Air Yang Dibacakan Ayat-Ayat Ruqyah
- HuKuM MenGqAda' SoLat SeteLaH HabIS HaID
loading...
0 Response to "Tertidur Ketika Solat?? apa hukumnya?? Mesti Ramai Yang Pernah Mengalaminya Terutama Solat Subuh. "
Post a Comment