Michael Cicconetti, berumur 51 tahun adalah seorang Hakim di
daerah Painesville, Lake County, Ohio.
Walaupun beliau adalah seorang Hakim bertaraf daerah dan
kuasanya tidaklah besar mana, beliau amat terkenal sebagai seorang hakim yang
menjatuhkan hukuman yang disifatkan sebagai "creative justice."
Beliau lebih gemar memberi pesalah yang telah didapati bersalah, pilihan untuk
memilih sendiri bentuk hukuman yang dijatuhkan atau masuk ke penjara.
Bentuk-bentuk hukuman yang beliau jatuhkan selalunya tidak
bersifat konvensional. Berikut adalah contoh-contoh hukuman yang beliau telah
jatuhkan sebagai hakim kepada pesalah yang telah disabitkan kesalahan.
1. Kesalahan tinggalkan 35 ekor anak kucing dalam hutan
Michelle M.Murray, 25 tahun didapati telah meninggalkan 35
ekor anak kucing di dalam hutan di Ohio sekitar bulan September 2005.
Pada 19 September, seorang renjer hutan menjumpai anak-anak
kucing tersebut, ada yang dah meninggal dan beberapa ekor pula menghadapi
masalah pernafasan. Pemilik anak kucing tersebut dikenal pasti berdasarkan
kolar yang mempunyai nombor identifikasi, yang merujuk kepada Murray.
Cicconetti memberikan Murray pilihan sama ada mahu:
a. hukuman dipenjara 90 hari
b. pakej hukuman 14 hari penjara, 15 hari tahanan rumah,
wajib memberi sumbangan kepada rumah kebajikan dan diwajibkan untuk tinggal
bersendirian di dalam hutan selama satu malam tanpa makanan, bahan bacaan atau
peranti hiburan.
Murray memilih hukuman yang kedua untuk mengelakkan ke
penjara selama 90 hari. Murray kemudian duduk di dalam hutan selama satu malam
atas kesalahan yang dilakukannya. Harap tidak ada hantu anak kucing mengganggu
beliau pada malam itu.
2. Buang anak anjing dari tingkat 6
Seorang lelaki bernama Michael Sutton, 23 didapati bersalah
kerana membuang anak anjingnya dari rumahnya yang berada ditingkat enam blok
bangunan, atas alasan anak anjing tersebut berak di atas katil beliau. Anak
anjing tersebut dibaling keluar melalui tingkap lalu jatuh ke dalam tong sampah
yang berada di bawah. Keadaan bangkainya dikata mengerikan.
Menegaskan yang tindakan Sutton adalah tindakan tidak
berperikemanusiaan, Hakim Cicconetti ingin menghukum Sutton dengan memasukkan
beliau ke tong sampah dan diperintah duduk di dalam itu mengikut tempoh
tertentu. Walau bagaimanapun, hasrat Hakim Cicconetti tidak kesampaian kerana
itu adalah kes jenayah Sutton yang kedua, membuatkan hukuman lebih berat
terpaksa dijatuhkan kepada Sutton.
3. Kesalahan memandu dalam keadaan mabuk
Jon Tarase didapati bersalah kerana memandu dalam keadaan
mabuk. Tarase, 23, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan mengaku
menyebabkan kecederaan pada sepasang suami isteri yang berada di dalam sebuah
kereta yang dilanggar oleh Tarase.
Tarase diberi pilihan untuk:
a. Penjara selama 5 hari sebagai tambahan ke atas 60 hari
hukuman lokap yang sudah dikenakan ke atas beliau
b. Perlu menghadiri kursus mengenai ketagihan alkohol.
Tarase juga diwajibkan untuk ke hospital atau bilik mayat bagi melihat dengan
mata sendiri dua sampel mayat yang menjadi mangsa kes kemalangan.
Tarase memilih untuk mengikuti kursus dan menjenguk mayat
supaya beliau tidak ke penjara.
4. Wanita elak bayar tambang teksi
Victoria Bascom menaiki sebuah teksi bersama 4 kawannya
untuk pulang selepas mengunjungi sebuah bar dengan perjalanan sejauh 58km dari
Cleveland ke Painesville.
Sampai di destinasi, beliau turun bersama seorang lagi
rakannya. Bascom memberitahu yang dua lagi rakannya yang masih di dalam teksi
itu yang akan membayar tambang perjalanan. Walaupun begitu, kedua-duanya tidak
mampu membayar tambang.
Pemandu teksi itu mengetuk pintu rumah Bascom dan polis pun
dipanggil untuk membantu.
Selepas disiasat, mahkamah mendapati Bascom bertanggungjawab
untuk membayar tambang tersebut. Bascom didapati bersalah kerana gagal membayar
kos perjalanan teksi tersebut. Hukuman untuk Bascom adalah penjara 60 hari.
Hakim Cicconetti juga memberikan opsyen kepada Bascom hukuman berjalan kaki
sebanyak 58 kilometer dalam 48 jam yang ditetapkan mahkamah.
Bascom memilih untuk berjalan kaki. Mahkamah memasangkan
alat GPS pada tubuhnya untuk memastikan hukuman diselesaikan dengan betul dan
Bascom pun berjalan di sekeliling bandar. Dikhabarkan dia perlu berpusing
sekeliling bandar sebanyak 40 kali.
5. Kesalahan menyembur penyembur lada
Seorang wanita berumur 20 tahun bernama Diamond T.Gaston
didapati bersalah menyerang seorang lelaki dengan penyembur lada. Beliau
diberikan pilihan sama ada mahu menghabiskan 30 hari di dalam penjara atau
membenarkan mangsa serangan beliau menggunakan penyembur lada pada muka beliau,
sebagai ganti hukuman.
Gaston ketakutan kerana tahu kesan kesakitan yang terjadi
tetap memilih untuk ditembak dengan penyembur lada, untuk mengelakkan penjara.
Bagaimanapun, semuanya berakhir dengan gembira kerana
penyembur lada yang digunakan untuk menyembur Gaston sebenarnya hanyalah air.
Satu mahkamah ketawa melihat ketakutan Gaston sebelum disembur dan semuanya
dirakam dalam video. Selepas "disembur" Gaston tetap dikenakan
hukuman 3 hari kerja komuniti dan diletakkan dibawah tempoh percubaan selama 4
bulan.
Ada banyak lagi contoh lain yang menunjukkan hukuman kreatif
yang dilaksanakan oleh Hakim Cicconetti,tapi untuk menyenaraikan semuanya
memerlukan artikel yang berjela-jela panjangnya. Adakah hukuman seperti ini
mampu membuatkan anda takut nak melakukan semula kesalahan?
Jawapannya ada pada diri masing-masing.
loading...
0 Response to "Hakim Ini Gemar Menjatuhkan Hukuman Pada Pesalah Dengan Cara Yang Kreatif"
Post a Comment