TANDA-TANDA TAUBAT DITERIMA
Perlu kita ketahui bahawa taubat tidak cukup hanya dengan
melafazkan dan meminta taubat daripada Allah. Sebaliknya, taubat itu dianggap
sebagai taubat yang benar apabila disusuli dengan tindakan-tindakan yang perlu
diambil bagi menunjukkan seseorang itu benar-benar telah bertaubat.
Maka kita lihat, apakah tandanya bahawa taubat seseorang itu
diterima;
1. Setelah bertaubat, seseorang hamba itu menjadi lebih baik
daripada sebelumnya. Ini tanda yang paling kuat dan jelas. Sesudah bertaubat,
keadaan orang itu berubah. Kalau sebelumnya dia melakukan maksiat, setelah
taubat dia menjadi orang yang saleh. Kalau sebelumnya dia melakukan bidaah,
sekarang dia melakukan perkara sunnah. Kalau sebelumnya dia melakukan perkara
khurafat atau kufur dan syirik, sekarang dia mempraktikkan Tauhid dalam
ertikata yang sebenarnya.
2. Terus diselubungi rasa takwa dan takut terhadap dosanya
dan tidak pernah merasa aman dari siksa Allah walau sekelip mata. Jangan timbul
perasaan merasa cukup dengan taubat yang dilakukan, atau jangan terlintas dalam
fikiran bahawa aku sudah bertaubat maka habis cerita. Seolah-olah taubat itu
pasti sudah diterima oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Kita bertanya, dari mana
datang keamanan itu? Apakah kita pasti bahawa taubat kita telah diterima?
Tidak ada sesiapa yang boleh menjamin dan berkata kepada
kita “Ya, taubat engkau telah diterima.” Maka kerana itu, merasa aman dengan
taubat yang dilakukan perlu kepada taubat. Ini kerana perasaan seperti itu
sendiri merupakan satu dosa.
3. Berhenti dan berlepas diri dari dosa yang dilakukan
kerana penyesalan dan rasa takut. Dia tidak mengulanginya lagi dan menyesal
dengan dosa yang dilakukan itu. Dia merasa sedih dengan apa yang telah
dilakukan dan berharap dia tidak pernah melakukan dosa itu.
4. Lembut hatinya setelah bertaubat. Hatinya merasa lunak
dan merasa hampir kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
DEFINISI TAUBAT NASUHA
Taubat Nasuha adalah satu istilah bahasa Arab bahkan disebut
dalam Al-Quran. Nasuha berasal dari kalimah yang sama dengan ‘Nasihat’ yang
maknanya bersih, jujur lagi benar. Taubat Nasuha bererti taubat yang benar lagi
jujur, bukan kerana sebab yang lain tetapi semata-mata kerana hendak bertaubat
kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini disebut dalam Surah Al-Tahrim ayat
ke-8,
يَاأَيُّهَا
الَّذِينَ ءَامَنُوا تُوبُوا إِلَى اللهِ
تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَن
يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ
جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا
اْلأَنْهَارُ
“Wahai orang-orang yang beriman,
bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat Nasuha (taubat yang benar).
Moga-moga dihapuskan dari kamu dosa-dosa kamu dan kamu dimasukkan ke dalam
Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (Surah Al-Tahrim, 66: 8)
InsyaAllah, moga-moga kita tergolong di dalam golongan yang
apabila melakukan dosa mereka bertaubat dan moga-moga taubat kita adalah taubat
Nasuha, dan kita meminta daripada Allah semoga Allah menerima taubat kita dan
insyaAllah kita tergolong di dalam golongan yang terselamat dari api Neraka di
Hari Akhirat kelak dan terus masuk ke dalam Syurga.
Sumber: Ustaz idris sulaiman
loading...
0 Response to "MESTI BACA!! TANDA-TANDA TAUBAT DITERIMA "
Post a Comment