Allah SWT telah menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat
terbesar yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW dan kewujudan Allah SWT
dengan segala sifat-sifat kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati dan
mengamalkannya adalah satu ibadat sunnah.
.
Maka peristiwa Nuzul al-Quran memberi makna terlalu besar
kepada umat Islam dan kehidupan Nabi SAW khasnya. Ayat al-Quran diturunkan Allah SWT kepada
Nabi Muhammad SAW. melalui perantaraan Malaikat Jibril secara
berperingkat-peringkat hingga menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang
ada pada kita hari ini.
Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir, pasti dan
qat’i serta ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf
‘Uthmani. Adalah wajar bagi umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan perkara
yang berkaitan dengannya.
.
.
NUZUL AL QURAN ( 24 RAMADHAN )
.
Peristiwa agung dan istimewa dalam sejarah umat ialah malam
diturunkan al-Quran (Nuzul al-Quran) yang berlaku pada 24 Ramadhan. Ia juga
disebut Allah sebagai malam yang diberkati (lailatin mubarakah).
Firman Allah SWT.:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat.” (Surah al-Dukhan ayat 3).
“Sesungguhnya Kami
telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.” (Surah al-Qadr,
ayat 1).
“Ramadan yang padanya diturunkan
al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang
menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang
salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
‘Malam yang berkat’ yang dinyatakan
Allah SWT dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan
rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT
telah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad
SAW yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu
malam al-Qadr itu sendiri.
Ketiga2 ayat ini menunjukkan penurunan berlaku pada bulan
Ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan
suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan
Ramadhan.
.
.
MAKNA NUZUL AL QURAN
.
Nuzul al-Quran bererti penurunan al-Quran dari langit kepada
Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul dalam pelbagai wajah sama Ada kata
nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan dalam al-Quran sebanyak lebih
kurang 290 kali. Sebagai contoh, “Dia yang telah…..menurunkan hujan.”
(al-Baqarah:22), dan “Dialah….yang menurunkan Taurat Dan Injil.” (Ali Imran:3).
.
‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah,
iaitu berpindah dari atas ke bawah atau turun dari tempat yang tinggi.
‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan, kerana al-Quran itu untuk
dibaca oleh manusia dan di dalamnya terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan
pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat,
munakahat, sains, teknologi dan sebagainya.
.
Kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang terlepas
atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di
dalam al-Quran. Firman Allah:
وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي
الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ
بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم
ۚ مَّا فَرَّطْنَا
فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ۚ
ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
﴿٣٨﴾
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak
seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka
umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab
Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka
(untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)
.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan
pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar.
Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan
bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula
bermaksud yang memberi peringatan.
.
.
TARIKH SEBENAR NUZUL AL-QURAN
.
Secara tradisinya umat Islam di Malaysia memperingati dan
menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, yang sepatutnya dibuat
sambutan pada setiap 24 Ramadhan.
.
Peristiwa Nuzul Al-Quran yang dikatakan berlaku pada malam
Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW.,
bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M,
ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira. Namun sesungguhnya pendapat
yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24
Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M.
.
Pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan adalah
berdasarkan ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal. Surah ini hanyalah difokuskan
kepada perisytiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman Allah dalam ayat ke 41
surah al-Anfal itu:
إِن كُنتُمْ آمَنتُم
بِاللَّـهِ وَمَا أَنزَلْنَا عَلَىٰ
عَبْدِنَا يَوْمَ الْفُرْقَانِ يَوْمَ
الْتَقَى الْجَمْعَانِ ۗ وَاللَّـهُ عَلَىٰ
كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٤١﴾
“…jika kamu beriman kepada Allah dan
apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari
Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin
dan kafirin)…” (8 : 41)
Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul
Al-Quran.
.
Menurut riwayat dari Ibn Abbas, ayat tersebut hanya
penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang seperti yang
terdapat pada awal ayat tersebut.
” Ketahuilah sesungguhnya apa saja
yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima
untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang
miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…”.
.
Justeru tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran
adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4
Surah Ad-Dukhan yang telah dihuraikan di atas.
.
.
.
PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
.
Para ulama menyatakan penurunan al-Quran berlaku dalam dua
bentuk iaitu secara sekaligus, Dan berperingkat. Walau bagaimanapun mereka
berselisih pendapat tentang berapa kali berlakunya penurunan al-Quran secara
sekaligus. Terdapat tiga pandangan mengenai hal ini, iaitu;
Pertama, Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh
al-Mahfuz;
Kedua, Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit
dunia; dan
Ketiga, Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.
.
Al-Suyuti dalam kitabnya ‘al-Itqan if Ulum al-Quran’
berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn ‘Abbas, Hakim Dan al-Nasa’i, hanya
membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari al-Lauh Mahfuz ke Bait
al-‘Izzah Dan dari Bait al-‘Izzah kepada Rasulullah SAW melalui Jibril a.s.
.
1. Dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku sekaligus dengan tujuan untuk
membuktikan ketinggian Dan kekuasaan Allah SWT. Para Malaikat menyaksikan
bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT di Luh Mahfuz ini
benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21 dan 22 surah
al-Buruj yang berbunyi,
بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مجيد
فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
“(Sebenarnya apa yang engkau
sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang
tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh
Mahfuz.” (al-Buruj:21-22)
.
.
2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-‘Izzah di langit dunia
Penurunan kali kedua secara sekali Gus dari al-Lauh
al-Mahfuz ke Bait al-’Izzah di langit dunia dipercayai berlaku berpandukan
kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas;
.
Allah SWT berfirman, dalam al-Baqarah, ayat 185:
شَهْرُ
رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ
الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ
مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ
الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا
أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ
مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ
بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ
الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا
هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa
itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk
bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan
petunjuk Dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau
mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit
atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa)
sebanyak Hari yang ditinggalkan itu pada hari-Hari yang lain. (Dengan ketetapan
yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak
menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan
puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”
.
Firman Allah SWT, dalam ad-Dukhan, ayat 3:
إِنَّا
أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ
إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana
sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba
Kami ditimpa azab).”
.
Firman Allah SWT
dalam al-Qadr, ayat 1:
إِنَّا
أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.”
.
Ibn ‘Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan
oleh Said b. Jubayr: “Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh
berkat.” Ikrimah pula meriwayatkan ‘Abdullah bin ‘Abbas berkata: “Al-Quran
diasingkan daripada al-Dhikr ‘الذكر’ dan ditempatkan di Bait al-‘Izzah di langit dunia.
.
Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi mencatatkan perbualan antara
‘Atiyyah bin al-Aswad dan ‘Abdullah bin ‘Abbas yang mana ‘Atiyyah agak keliru
mengenai penurunan ayat-ayat ini, “Pada bulan Ramadhan al-Quran diturunkan”,
dan “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar”, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu
al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi’ al-Awwal.” Kemudian Ibn ‘Abbas
menjelaskan: “Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus
kemudiannya untuk diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur
selama beberapa bulan dan hari.”
.
.
3. Dari Bait al-’Izzah kepada Rasulullah SAW
Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan majoriti
para mufassirin, Al-Quran diturunkan sekaligus ke ‘Baitul Izzah’di langit ke
dunia pada malam ‘Lailatul Qadar’. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi
dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama
sekitar 23 tahun.
.
Al-Quran mula diturunkan kepada Rasulullah SAW secara
beransur-ansur sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah SAW dan selesai
apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh masa 22 tahun 2 bulan 22 hari
atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah al-Munawwarah.
Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali
sebagai Makkiyah dan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai
Madaniyyah .
.
Mengikut pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam
Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang
tempoh kenabian, sebahagian daripada al-Quran disimpan di Bait al-‘Izzah yang
mencukupi baginya untuk disampaikan kepada Rasulullah SAW dalam masa 20 tahun.
Pandangan ini dipegang kuat oleh al-Mawardi.
.
RasululLah SAW bersabda: “Al-Quran diturunkan sekali gus
oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara
berperingkat dalam masa 20 tahun” (Hadis riwayat Ibn Abbas.)
Sebahagian ulama berpendapat penurunan al-Quran hanya sekali
sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada Rasulullah SAW melalui Jibril
secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz,
ke Bait al-‘Izzah dan kepada Rasulullah SAW.
.
.
AYAT PERTAMA DAN TERAKHIR
.
Ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi
Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril ialah lima ayat pertama
daripada Surah Al-Alaq.
”Bacalah (wahai Muhammad) dengan
nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari
sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar
manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(al-‘alaq:1-5)
.
Dan peristiwa ini terjadi ketika Rasulullah SAW sedang
bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir
sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah
Al-Baqarah.
.
.
CARA-CARA AL-QURAN DIWAHYUKAN
.
Isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aishah, meriwayatkan
sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul, beliau bermimpi perkara yang
benar lalu beliau menyendiri di gua Hira’ beribadah kepada Allah SWT untuk
selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda menerima wahyu yang pertama.
.
Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah SAW, pernah
bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya. Rasulullah
menjawab, ”Kadang-kadang wahyu datang kepada-Ku dengan gema (desingan) loceng
Dan ini amat berat bagi-Ku, Dan sementara bunyi itu hilang aku mengingati apa
yang disampaikan kepada-Ku. Kadang Ia datang dalam bentuk jelmaan malaikat
kepada-Ku merupai lelaki, bercakap dengan-Ku Dan aku menerima apa saja yang
disampaikannya kepada-Ku.”
.
.
Nabi Muhammad SAW mengalami bermacam-macam cara dan keadaan
semasa menerima wahyu. Antara cara-cara Al-Quran diwahyukan adalah:
.
1. Menerusi mimpi yang benar (al-Rukya al-Sadiqah) Malaikat
memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat
sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dalam kalbunya.
Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan: “Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku
bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang
telah ditetapkan oleh Allah“. (
As-Syura: 51)
.
2. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai
seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya sehingga beliau mengetahui
dan hafal benar mengenai kata-kata itu.
.
3. Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara
inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya
terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim yang sangat dingin. Ada
ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat.
Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: ” Aku adalah penulis
wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya
wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti
permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali
seperti biasa”.
.
4. Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW. dalam
rupanya yang benar-benar asli sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm
ayat 13 & 14 : “Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain
(kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha”
.
5. Malaikat mewahyukan kepada Nabi SAW dari atas langit
seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak
berpendapat baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan
menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu
khilaf di kalangan para ulamak.
.
.
TUJUAN AL-QURAN DITURUNKAN BERPERINGKAT
Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi
memenuhi objektif-objektif berikut :
Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan
enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu
diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari
riwayat ‘Aisyah r.a.
Di antara ayat-ayat itu ada yang nasikh dan ada yang
mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al
Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh
dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang
terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
.
Memudahkan penghafalan. Orang-orang musyrik yang telah menanyakan
mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran
surah Al Furqaan ayat 32:
“……mengapakah Al Quran tidak
diturunkan kepadanya sekaligus….?”
Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri:
“….Demikianlah, dengan (cara) begitu
Kami hendak menetapkan hatimu..”.
.
.
FUNGSI AL-QURAN
Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya
ialah:
.
1. Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad SAW.
Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi
Muhammad SAW, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman
Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri. Rasullulah
SAW telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir
Quraisy. Didapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal
mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan
sajak-sajak mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada
bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaitu :
.
Peringkat pertama.
Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum
yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan
cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana
firmanNya.
“Katakanlah: Sesungguhnya jika
manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka
tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka
menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.” (17 : 88)
.
Peringkat kedua.
Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran.
Sebagaimana firmanNya:
“Bahkan mereka mengatakan “Muhammad
telah membuat-buat Al-Quran.” Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah
sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang
yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang
yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu,
ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah” (11 :
13-14)
.
Peringkat ketiga.
Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran
sahaja. Sebagaimana firmanNya:
“Atau (patutkah) mereka mengatakan:
Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu),
cubalah datangkan satu surat seumpamanya” (10 : 38)
Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:
“Dan jika kamu tetap dalam keadaan
ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka
buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…” (2 : 23 )
.
.
2. Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.
Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum
siyasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua
aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum
muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang
dihadapinya.
.
Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam
adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya
perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat
Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang
akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka
bumi.
.
Wallahu A’alam Bissowab
والسلام
علبكم و رحمة الله
و بركاته
.
.
Susunan; Shafiqolbu
loading...
0 Response to "Menyingkap Tabir Sejarah Peristiwa Penurunan Al-Quran (Nuzul Al-Quran)"
Post a Comment