Artikel ini ditulis oleh saudara Dr. Midhat Nabil di laman
facebook miliknya dan pihak iluminasi telah mendapat kebenaran untuk ulang siar
penulisannya di laman blog ini. Semoga bermanfaat kepada semua.
Semalam telah diumumkan keputusan bagi peperiksaan UPSR
2016. Seramai 4,896 orang calon (1.11% dari jumlah calon keseluruhan) telah
mendapat semua A bagi subjek yang telah mereka duduki. Syabas dan tahniah saya
ucapkan kepada golongan yang sangat cemerlang ini. Kepada yang lain, pasti ada
yang berdukacita di atas keputusan yang diambil. Mungkin ada yang rasa down dan
demotivated. Walaubagaimanapun, ini hanyalah permulaan bagi suatu perjalanan
panjang yang terpaksa ditempuh pada hari-hari yang mendatang. Kegagalan hari
ini, tidak bermakna tidak boleh menempa kejayaan cemerlang dimasa hadapan.
Saya terpanggil untuk berkongsi kisah pengalaman
pembelajaran saya terdahulu. Ramai di kalangan pelajar saya sendiri
menyangkakan bahawa saya adalah seorang yang cemerlang sejak di bangku sekolah
lagi. Tetapi realitinya adalah tidak. Buat permulaan, keputusan UPSR saya
adalah baik, di mana saya memperolehi 2A dan 3C. Selepas itu, prestasi akademik
terus merundum, disebabkan oleh sifat malas belajar yang ada pada diri saya.
Untuk keputusan PMR, saya hanya mendapat 2A sahaja dan C bagi subjek Matematik,
sekaligus meranapkan impian saya untuk memasuki aliran Sains. Dengan berat
hati, saya meneruskan pembelajaran di aliran Perakaunan.
Tetapi nasib menyebelahi saya tidak lama selepas itu, di
mana pihak sekolah membuka peluang kepada pelajar aliran lain yang ingin
bertukar ke aliran Sains. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pelajar
aliran Sains di sekolah saya. Setelah berjumpa dengan Guru Besar untuk
menyatakan hasrat saya untuk bertukar aliran, beliau pada mulanya tidak
bersetuju untuk saya mengikuti aliran Sains disebabkan oleh faktor keputusan
PMR yang tidak memberangsangkan. Saya bersungguh-sungguh berjanji kepadanya
untuk belajar sebaik mungkin dan akhirnya beliau bersetuju untuk membenarkan
saya memasuki aliran Sains.
Sebaik mengikuti aliran Sains, saya telah merasakan bahawa
saya telah membuat satu keputusan yang silap, di mana subjek-subjek Sains Tulen
yang saya ambil adalah terlalu sukar untuk saya ikuti. Ditambah pula dengan
subjek Metamatik Tambahan yang dianggap sebagai killer subject oleh semua
pelajar aliran Sains. Setiap kali peperiksaan tahunan, saya akan mendapat
antara keputusan yang tercorot di dalam kelas dan ini mengundang perasaan risau
pada cikgu tingkatan saya (untuk subjek Matematik Tambahan, sekalipun tak
pernah lulus).
Akhirnya, apabila keputusan SPM sebenar telah diumumkan,
keputusan yang diperolehi adalah sangat teruk. Cikgu tingkatan yang menyerahkan
slip keputusan tersebut menyatakan bahawa saya memang tiada masa hadapan yang
cerah dan di dalam hati saya mengakui akan pendapatnya.
Selepas itu, saya cuba untuk mohon menyambung pengajian di
pelbagai institusi, malangnya semua telah ditolak. Maka bermulalah episod saya
sebagai seorang operator pengeluaran di kilang Denso di Bangi. Selepas 6 bulan,
saya telah bertukar kerja sebagai pembantu jualan pula di farmasi Guardian,
Kajang. Tidak lama selepas itu, saya mendapat maklumat bahawa bagi sesiapa yang
tidak cemerlang semasa SPM, boleh menyambung pengajian di peringkat Pra-Sains
di UiTM.
Kursus Pra-Sains ini akan menggilap kembali pengetahuan
subjek-subjek Sains Tulen sebelum diterima masuk ke program Diploma UiTM. Jika
berjaya memperolehi CGPA 3.00 dan ke atas bagi semester pertama kursus
Pra-Sains, layak untuk mengikuti program-program Diploma di UiTM. Tetapi jika CGPA
kurang dari 3.00, maka terpaksa mengikuti semester kedua kursus Pra-Sains.
Alhamdullilah, saya telah diterima masuk ke program ini di
UiTM Jengka, Pahang. Malangnya, CGPA bagi semester pertama saya adalah 1.92 dan
saya telah mendapat keputusan Gagal dan Diberhentikan. Apabila membaca
keputusan tersebut, terus rasa dunia saya gelap gelita. Maka, saya kembali
membuat kerja part-time selepas itu. Parents pun berasa sangat kecewa dan
berputus asa dengan saya.
Tetapi selang seminggu selepas itu, ibu saya telah mendapat
satu panggilan dari pihak UiTM Jengka yang memaklumkan bahawa mereka ingin
membenarkan saya untuk mengikuti pengajian semetser kedua Kursus Pra-Sains,
memandangkan CGPA saya adalah kurang sedikit sahaja di bawah 2.00 Mendengar
berita ini, saya telah berjanji di hadapan parents saya untuk benar-benar
berubah dan tidak akan mengulangi lagi kesilapan yang lepas.
Oleh itu, saya telah mengikuti semester kedua tersebut dan
Alhamdullilah saya telah memperolehi GPA 3.25 Banyak perubahan yang telah saya
lakukan, seperti rajin berjumpa dengan pensyarah, banyak mengulangkaji, mencari
maklumat di perpustakaan dan menyertai study group.
Semenjak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan
mengekalkan momentum tersebut. Saya sambung pula pengajian di peringkat Diploma
Kimia Perindustrian di UiTM Arau, Perlis. Selepas itu, saya menyambung
pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian) Kimia dan
telah berjaya menjadi pelajar pertama yang memperolehi keputusan Kelas Pertama
bagi fakulti tersebut (PTPTN tak perlu bayar balik).
Kemudian membuat MSc. di dalam bidang Biochemical
Engineering di School of Chemical Engineering, University of Birmingham, UK dan
setelah menjadi antara 2 pelajar terbaik bagi program tersebut, terus
ditawarkan tempat untuk membuat PhD di dalam bidang Chemical Engineering oleh
universiti yang sama. Alhamdullilah, telah menamatkan pengajian PhD di dalam
tempoh 4 tahun dan tesis telah dicalonkan untuk anugerah Tesis Terbaik.
Jadi, tidak mustahil jika kita tidak berjaya pada masa kini,
tidak bermaksud kita akan gagal selama-lamanya. Yang paling penting adalah
belajar dari kegagalan yang lalu dan jangan sekali-kali berputus asa.
Insya-Allah kalau saya boleh berjaya, anda semua pun pasti boleh melakukannya.
Saya berpegang teguh dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R'ad (ayat 11) yang
bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka".
Alhamdullilah, sesungguhnya aku bersyukur kepadaMu di atas
segala nikmat yang telah Kau berikan kepadaku selama ini, Amin. Akhir kata,
jangan pernah mempersiakan peluang yang telah diberikan kepada kita, mungkin
kita tidak akan merasai peluang kedua.
Coretan jujur penulis yang suatu ketika dahulu pernah tidak
diberikan apa-apa harapan oleh sesiapapun.
Terima kasih tak terhingga kepada UiTM kerana menjadikan
saya sebagaimana hari ini dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kerana
tempatku mencari rezeki, Syukur...
credit: iluminasi
loading...
0 Response to "Gagal Di Peringkat Pra-Sains UiTM Namun Kini Bergelar Doktor Falsafah Kerana Berpegang teguh Pada MAksud Al-quran, Surah ar-R'ad (ayat 11). "
Post a Comment