MENGAPA BAYI MENANGIS MALAM??
Bayi menangis atau anak kecil menangis merupakan perkara
biasa, bukan semestinya kerana ada masalah atau kerana kecuaian ibu. Malah
menangis merupakan suatu pernyataan bayi atau kanak-kanak sebagai ganti kepada
pertuturan yang tidak dapat diluahkan terhadap sesuatu yang berlaku.
Ada bayi yang masih dalam hari
tidur nyenyak di siang hari, tetapi mula menangis pada masa-masa tertentu sama
ada pada tengah malam, petang ataupun bila-bila masa tanpa sebab yang jelas.
Terdapat juga bayi yang mula
menangis apabila tidurnya terganggu, biarpun oleh suara yang perlahan seperti
bunyi benda jatuh, bunyi tapak kaki, bunyi pintu tertutup dan sebagainya. Pada
kebiasaannya tangisan akibat gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang
singkat.
Tangisan biasa selalunya ada
kaitan dengan punca yang jelas seperti tercucuk pin pakaian, pakaian terlalu
ketat menyebabkan bayi terasa tidak selesa, lampin basah, rasa terlalu panas,
sakit perut, dahaga, lapar, rasa kesepian dan sebagainya.
Sesetengah bayi atau anak kecil
akan menangis apabila berubah tempat tidur, dari tempat gelap yang biasa dia
tidur berpindah ke tempat terang atau sebaliknya. Anak-anak yang dibawa balik
kampung menghadiri majlis kenduri mungkin akan menangis kerana suasana tempat
tidur yang berubah atau sebaliknya.
Walaupun demikian, tangisan yang
memanjang seperti yang berlaku kepada anak puan tidak semestinya mempunyai
sebab atau punca yang jelas. Tidak semestinya kerana lapar, dahaga, kesejukan,
panas atau kehilangan orang yang selama ini berada di sampingnya, iaitu si ibu.
Ada orang yang mengaitkan keadaan
sedemikian rupa, yang dikenali sebagai sawan tangis ini, akibat gangguan
makhluk-makhluk halus, tidak kira sama ada gangguan tersebut akibat perbuatan
makhluk halus yang dilibatkan dengan perbuatan manusia, ataupun akibat gangguan
jin yang menggemari manusia, sejak seseorang itu dilahirkan, yang dikenali
sebagai qarin atau makhluk halus yang datang menumpang bersama manusia.
Perkataan qarin berasal daripada
bahasa Arab bererti teman atau pasangan. Istilah qarin bererti roh-roh jahat,
yang terdiri daripada makhluk-makhluk halus yang sentiasa mendampingi manusia,
sejak seseorang itu dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia.
Kewujudan qarin di samping
manusia ialah untuk membiasakan, iaitu untuk menggoda atau menyesatkan,
sehingga manusia itu tunduk kepada nafsu, yang akhirnya melakukan dosa, tidak
kira sama ada dosa itu dosa kecil berpanjangan atau dosa besar seperti
membunuh, berzina, makan harta anak yatim dan sebagainya. Cara lain ialah
dengan memesongkan iktikad mereka sehingga membawa kepada perbuatan syirik atau
murtad.
Dosa-dosa itu tidak diampuni
Allah. Walaupun demikian, sekiranya manusia itu beriman dan dilindungi allah,
qarin itu akan menyuruhnya melakukan kebaikan.
Selain itu, qarin juga berusaha
untuk mencederakan fizikal dan roh manusia secara bersendirian ataupun dengan
perantaraan manusia, menyebabkan manusia menggunakan jin-jin untuk melakukan
perbuatan tertentu seperti untuk menyakiti orang lain dan sebagainya. Apabila
ini berlaku, maka dari sini terjadilah kegiatan sihir.
Sawan tangis itu ada dua punca
utama, iaitu bersifat fizikal seperti kerana lapar, haus dan sejuk, rasa hilang
keselamatan diri seperti kehilangan orang yang selalu berada di sampingnya,
biarpun buat sementara. Sakit seperti kembung perut atau selesema. Termasuk
dalam kategori ini ialah sakit akibat jangkitan kuman dan juga kecacatan
anggota seperti terhantuk, terjatuh dan sebagainya.
Punca kedua ialah akibat gangguan
makhluk-makhluk halus. Allah menjadikan manusia itu daripada dua unsur utama,
iaitu jasad dan roh. Islam mengajar agar anak yang baru dilahirkan diazankan di
telinga kanan dan diiqamatkan di telinga kirinya.
Itulah ajaran terawal yang mesti
diperhatikan dan dilakukan dengan tujuan agar bayi itu mendengar kalimah Allah
sebaik-baik sahaja dilahirkan. Pencipta yang melahirkan bayi yang baru
dilahirkan, yang memberi rezeki dan membesarkannya, dan akhirnya akan
mematikannya untuk menemui-Nya.
Sekiranya dilakukan demikian,
insya-Allah, bayi berkenaan tidak akan diganggu oleh ummu`s-sibyan, iaitu
sejenis makhluk jin yang sering mengganggu bayi, yang boleh menyebabkan timbul
pelbagai masalah termasuk gangguan tidur pada waktu malam, yang akhirnya boleh
menyebabkan demam panas ataupun sawan.
Keterangan ini membuktikan bahawa
roh bayi atau anak kecil boleh terganggu akibat gangguan yang tidak dapat
dilihat oleh mata kasar, ataupun melalui eksperimen teknologi moden. Dalam masa
tertentu anak tadi kadang-kadang memperlihatkan reaksi luar biasa dengan wajah
yang ketakutan seolah-olah sedang melihat satu objek yang menggerunkan di
hadapannya.
Mungkin sukar untuk menjelaskan
bagaimana gangguan yang tidak dapat dilihat itu boleh mengganggu bayi
menyebabkan dia tidak berhenti-henti menangis, terkujat-kujat dan terketar
mulut sehingga tidak terdengar suara tangisannya menyebabkan ibu dan juga
bapanya menggelabah.
Ada beberapa tanda lumrah yang
boleh diperhatikan oleh mata kasar sekiranya bayi atau kanak-kanak itu menangis
akibat gangguan seperti yang dijelaskan, bukan disebabkan akibat luaran.
Tangisan biasa selalunya disertai
dengan air mata. Keadaan ini jarang berlaku pada mereka yang menangis akibat
gangguan, manakala suara tangisannya juga berlainan daripada tangisan biasa.
Dalam keadaan tertentu tangisan ini mungkin disertai dengan air mata yang
bersangatan.
Kanak-kanak ini kadang-kadang
berhenti menangis sebentar, kemudian menangis semula. Mata yang pejam ketika
berhenti menangis itu akan melahirkan ombak pada kelopak mata, seolah-olah
kedua-dua biji matanya itu sedang memerhatikan sesuatu di bahagian kanan dan
kiri.
Tangisan akibat gangguan
selalunya mengeluarkan suara yang mendayu-dayu dan berpanjangan. Mata bayi
kelihatan pejam. Tangisan terjadi seumpama dalam keadaan tidak sedarkan diri
(tidur).
Dahi atau bahagian tengah, antara
dua alis kadang-kadang berkerut, seolah-olah ada sebiji mata di bahagian tersebut
yang sedang memerhatikan sesuatu.
Sering terjadi pada anak-anak
kecil yang terganggu, mereka menangis dan menjerit dalam keadaan ketakutan dan
menggigil seolah-olah disergah oleh sesuatu yang menakutkan. Anak ini setelah
puas menangis, akan tidur sebentar, lalu menangis lagi dalam keadaan
teresak-esak yang disertai dengan tarikan nafas yang tersekat-sekat.
Terlalu banyak kaedah atau usaha
boleh dilakukan yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. dalam usaha mengatasi
masalah seperti ini, di antaranya ialah dengan membacakan surah al-Fatihah,
ayat al-Kursi, surah an-Nas dan surah al-Falaq, kemudian hembuskan pada
ubun-ubun anak. Lakukan sebanyak tiga kali. Sekiranya anak-anak ini masih juga
menangis, bacakan azan di telinga kanannya dan iqamah di telinga kiri. Lakukan
sekali ataupun tiga kali.
Dalam sebuah hadis riwayat oleh
Abu Isa at-Tarmizi, katanya telah diriwayatkan oleh Aqabah bin Amir al-Juhani,
daripada Nabi sabdanya: Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada aku beberapa
ayat yang tidak diperlihatkan seumpamanya, iaitu Qul a’uzu bi rabbinnas dan Qul
a’uzu bi rabbilfalaq sehingga akhirnya.
Hadis ini bermaksud bahawa Allah
telah menurunkan dua ayat di atas kepada Rasulullah yang mempunyai fadilat yang
amat besar, iaitu untuk melindungi diri daripada bahaya teguran hasad dan
pandangan mata jahat. Termasuk dalam kategori pandangan mata jahat ialah
manusia yang dibantu oleh jin-jin untuk melakukan perbuatan sihir, yang
memancarkan pandangan jahatnya kepada mangsa melalui pandangan mata, termasuk
bayi atau anak-anak yang menyebabkan berlakunya gangguan roh.
Mudarat akibat daripada pandangan
mata jahat memang boleh berlaku. Dalam menghadapi masalah seperti ini
Rasulullah membenarkan Asma’ Binti Umays (isteri seorang sahabat) untuk meminta
pertolongan kepada orang yang tahu menjampi dalam usaha untuk menolong merawat
anak Jaafar, iaitu saudara kepada Ali Abu Talib.
Sumber: homefamily site
loading...
0 Response to "PENTING!! MENGAPA BAYI MENANGIS MALAM??"
Post a Comment