Dalam kehidupan berumah tangga Rasulullah, Baginda adalah
seorang suami dan bapa yang sangat mengambil berat terhadap kebajikan keluarga.
Dalam membina keluarga sejahtera dan bahagia, keperibadian
Rasulullah terhadap isteri dan anak-anak sangat wajar dicontohi. Antara sifat
terpuji Baginda terhadap isteri dan ahli keluarganya adalah;
#1- Bapa Yang Sangat Penyayang, Lembut Dan Penuh Kasih
Baginda Rasulullah SAW merupakan seorang bapa yang sangat
mencintai serta mengasihi putera dan puterinya, Qassim, Abdullah, Ibrahim,
Fatimah, Zainab, Umi Kalthum dan Ruqaiyah.
Antara riwayat menceritakan, setiap kali Fatimah ingin masuk
ke dalam bilik, Baginda akan bangun dan memimpin tangan puterinya itu dan
didudukkan di sebelahnya. Sesungguhnya Nabi SAW juga sangat peka dan memahami
sikap setiap anak-anaknya.
Nabi Muhammad SAW sangat sedih ketika Ibrahim yang ketika
itu masih kecil meninggal dunia sehinggakan mengalirkan air mata Baginda.
#2- Selalu Membantu Isteri Dalam Urusan Rumah Tangga
Baginda sangat bersikap adil kepada para isterinya, bahkan
dapat menguruskan kehidupan rumah tangga dengan sempurna. Baginda juga seorang
suami yang ringan tulang dengan sering membantu isterinya dalam menguruskan
rumah tangga tanpa diminta.
Saidatina Aisyah pernah ditanya tentang apa yang dilakukan
Nabi SAW di rumahnya? Aisyah menjawab, “Baginda selalu melayani (membantu)
isterinya.”
Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan
yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda menyinsing
lengan baju lalu membantu isterinya di dapur tanpa sedikit pun marah atau
merungut.
#3- Romantis
Betapa romantisnya Rasulullah sehinggakan setiap isterinya
sentiasa mendapat kucupan mesra ketika Baginda ingin ke masjid.
Diriwayatkan oleh Imam Ahmad,
“Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan Baginda selalu
mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan
membelai mereka secara bergantian.”
Berkata Saidatina Asiyah, ‘Aku minum, ketika itu aku sedang
haid, lalu aku memberikannya kepada Nabi. Baginda meletakkan mulutnya pada
tempat (bekas) mulutku lalu minum. Aku menggigit daging, ketika itu aku sedang
haid, lalu memberikannya kepada Nabi SAW, lalu Baginda meletakkan mulutnya pada
tempat (bekas) mulutku’.
Begitulah romantisnya Rasulullah SAW dalam kehidupan berumah
tangga Baginda.
#4- Berlemah Lembut Dan Sopan Walau Marah
Rasulullah SAW bukanlah seorang suami yang mudah memarahi
isteri Baginda, jauh sekali bersikap ringan tangan. Tetapi Baginda sangat
lembut dan bijak menangani perselisihan dengan isteri-isteri Baginda.
Ketika kemarahan Baginda agak tinggi, Baginda akan menjauhi
isteri untuk sementara waktu sehingga kemarahan tersebut menjadi reda.
Sesungguhnya ketika marah sekalipun, Baginda tetap seorang yang sopan, lembut
dan penuh kasih sayang.
#5- Berbincang Bersama Isteri Dan Keluarga
Rasulullah SAW tidak pernah keberatan mendengar serta
menerima pendapat isterinya dala menetapkan sebarang keputusan. Contohnya,
Baginda pernah meminta pendapat Ummu Salamah semasa berlakunya Perjanjian
Hudaybiyah.
Ketika itu, Baginda memerintahkan para sahabat untuk
mencukur rambut dan menyembelih binatang korban, namun ada dalam kalangan
mereka tidak bersetuju melakukannya. Melihat keadaan tersebut, Baginda menemui
Ummu Salamah dan menceritakan kepadanya akan hal yang berlaku, lalu berkata
Ummu Salamah ;
“Keluarlah, ya Rasulullah, kemudian bercukurlah, lalu
sembelilhlah binatang korban itu.”
Lalu Baginda pun melakukan hal itu,melihat sahaja Rasulullah
bercukur dan menyembelih korban, para sahabat segera bangun dan melakukan apa
yang dilakukan oleh Baginda.
Bahkan diceritakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim;
“Rasulullah apabila datang waktu malam, Baginda berjalan
bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya.”
#6- Memperkenalkan Dan Berbangga Dengan Isteri
Rasulullah SAW sangat menunjukkan rasa cintanya pada para
isterinya di hadapan umum.
Diceritakan, Shafiyah binti Huyay mendatangi Rasulullah SAW
sewaktu Baginda beritikaf di masjid, tidak berapa lama kemudian Rasulullah
menghantarkan Shafiyah pulang. Dua orang Anshar melalui mereka dan memberi
salam kepada Rasulullah. Lalu Baginda berkata,
“Perhatikanlah baik-baik oleh kamu berdua, dia ini tidak
lain Shafiyah binti Huyay.”
Sungguh indah keperibadian Rasulullah SAW yang menunjukkan
cinta dan kemesraannya terhadap para isteri Baginda. Sifat mulia ini sangat
sesuai dipraktikkan dalam keluarga bagi melahirkan kasih sayang antara suami
isteri serta anak-anak.
Sesungguhnya melayani serta memberi kecintaan kepada keluarga
juga adalah sebahagian daripada sunnah Nabi Muhammad SAW. Semoga kita berjaya
membawa contoh-contoh terbaik Rasulullah ini dalam keluarga kita.
Amin.
Sumber: Tazkirah.net
BACA INI JUGA
- Bulan Ramadhan dah Nak Sampai. Tolong Siapkan Diri Dengan 5 Persiapan Penting Yang Mesti Dilakukan Agar Dapat Memperolehi Kelebihan Bulan Ramadhan
- Bacalah Ayat Ini Saat Kita dalam Kesempitan, Nescaya Allah Akan Kirim Malaikat Untuk Membantu.
loading...
0 Response to "Membina Keluarga Bahagia Seperti Cara Rasulullah SAW"
Post a Comment