Menjaga pemakanan sangat penting untuk satu
organ kita yang sangat penting iaitu otak. Mengapa menjaga pemakanan itu
penting di dalam Islam? Di sini saya melihat pada konteks yang diajarkan Allah swt
di dalam al Qur’an seperti firmannya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah
dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu,
dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (Al-Baqarah: 172)
Ya, makanlah dari rezeki yang baik-baik
sebagai tanda syukur pada nikmat dari Allah swt. Menjaga pemakanan bermakna
kita juga menjaga tubuh fizikal yang dikurniakan Allah swt. Ini juga menjadi
sebahagian ibadah sebagai hamba Allah, salah satu cara hidup dalam Islam.
Rezeki yang baik-baik pula semestinya halal kerana setiap yang haram dan
dilarang oleh Allah swt dan RasulNya adalah memudaratkan manusia.
Dari al Quran telah diberi panduan
bagaimana mencari yang terbaik bagi diri kita. Rasulullah saw juga amat tegas
tentang soal menjaga kesihatan dan keberadaan tubuh badan seperti sabda
Baginda:
“Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab
untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Menunaikan hak terhadap tubuh badan adalah
menjaganya dengan baik serta selamat dari segi fizikal, mental, emosi dan
rohani bagi memastikan tubuh badan kita dapat berfungsi secara optimum dan
berupaya mencapai potensi dan matlamat hidup berpandukan agama. Menjadi Mukmin
yang kuat juga adalah lebih dituntut berbanding dengan mukmin yang lemah
seperti sabda Baginda saw lagi:
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan
disukai oleh Allah daripada orang mukmin yang lemah.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Oleh itu, kali ini saya ingin berkongsi
sunnah Rasulullah s.a.w sebgai panduan dalam pemlihan makanan yang diambil yang
mana secara tidak langsung dapat membantu agar tubuh badan kita menjadi lebih
sihat.
Dengan izin Allah swt juga, makanan-makanan
ini bukan sahaja membantu mencerdaskan otak malah memberi kesihatan tubuh,
melambatkan, mencegah serta membantu kesembuhan pada penyakit-penyakit yang
melibatkan struktur dan fungsi otak seperti Dementia, Schizophrenia, Alzheimer,
Parkinson, Strok dan lain-lain penyakit lagi.
Makanan Sunnah #1 – Madu
Madu merupakan satu-satunya makanan
dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup manusia
termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu
antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan
bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.
Menjaga keberadaan sel adalah sangat
penting kerana ada berbilion sel yang menjadi komponen utama otak. Otak
memerlukan sel-sel dan saraf yang sentiasa berhubung bagi melakukan penyampaian
matlumat agar mudah dan cepat diproses dan disimpan di dalam memori.
Terdapat banyak lagi kelebihan pada madu
yang menjadi penawar pada pelbagai penyakit dan ini selari dengan janji dalam
firman Allah swt:
"Kemudian makanlah dari segala jenis
bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan
peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan itu)
akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang
mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya
pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang
yang mahu berfikir". (Al-Nahl: 69)
Makanan Sunnah #2 – Kismis
Buah anggur segar mengandungi kandungan
vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak membantu menjaga
kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu melawan
radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin,
riboflavin dan folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu
meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.
Kismis juga merupakan salah satu makanan
yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, merawat anemia,
menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal dengan
kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah saw tentang kismis adalah:
“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis
dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir, menyihatkan badan,
membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”
Manakala ramai ulama’ yang menggalakkan
pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya ingatan otak seperti Ibni
Qayyim sebagai berkata:
“Sesiapa yang ingin menghafal hadis
hendaklah sering memakan kismis.” (Petikan kitab Tibb an-Nawawi)
Kismis sebagai makanan otak telah lama
dibuktikan dalam amalan pemakanan para ulama’ Islam yang rata-rata berjaya
meraih taraf ilmuwan di usia muda dan dalam pelbagai bidang. Pencapaian luar
biasa para ulama’ terdahulu membuktikan tahap luar biasa kapasiti otak yang
mereka bentuk sejak kecil lagi.
Makanan Sunnah #3 – Kurma
Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban
untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan antioksida yang lengkap
untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf sebagai
pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit.
Antaranya kurma dapat membantu pesakit
anemia, menguatkan tulang, meningkatkan tenaga batin, mengawal berat badan,
mencegah kanser dan mengelak serangan angin ahmar. Potassium di dalam kurma
pula menjadi agen utama dalam menjaga kesihatan sistem saraf. Ini telah
meningkatkan kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.
Amalan memakan kurma bukan sahaja boleh
dilakukan oleh individu malah digalakkan kepada wanita mengandung untuk
memakannya bagi membentuk otak yang sihat buat bayi di dalam kandungan. Buah
kurma juga telah diiktiraf oleh Rasulullah saw sebagai makanan yang baik untuk
otak seperti sabda Baginda:
“Berilah makan kurma kepada isteri-isteri
kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya
anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun
serta cerdas pemikirannya.”
Ini dikuatkan lagi dengan kisah Maryam di
dalam Quran di mana Allah swt telah menjadikan kurma sebagai santapan Maryam
setelah kelahiran Nabi Isa as. Ini membuktikan keajaiban kurma sebagai
penyembuh dan zat lengkap bagi manusia.
Makanan Sunnah #4 – Buah Tin
"Demi buah Tiin dan Zaitun, Dan Gunung
Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini, – Sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai
dengan keadaannya)." (At-Tiin: 1-4)
Betapa hebatnya buah tin sehingga salah
satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini
mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma, kualiti buah
tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata
memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.
Secara saintifiknya apabila komponen dan
keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan berada dalam keadaan kesihatan
yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you are what you eat‘
juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan.
Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat
diserap dengan sepenuhnya oleh darah.
Aktiviti penyingkiran toksin dan sisa
buangan juga dapat dilakukan dengan lebih efisien. Darah yang terhasil adalah
lebih berkualiti dan darah ini akan mudah diangkut ke seluruh badan termasuk
otak. Bukan sahaja otak mendapat segala kebaikan malah antioksida, vitamin dan
mineral dari buah ini juga dapat mengelak keradangan otak dan meningkatkan
fungsi otak. Buah tin yang juga dapat mengawal tekanan darah mampu membantu
dalam menangani tekanan dan mengelak serangan strok.
Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak
dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini diangkat sebagai buah
dari syurga seperti sabda Baginda saw:
“Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah
yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya (tin)’, sesungguhnya
buah syurga tiada keraguannya.”
(Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti)
Makanan Sunnah #5 – Minyak Zaitun
Saya cukup terpikat dengan pujian Allah swt
kepada minyak zaitun yang bercahaya dan menjadi sumber cahaya di dalam surah
an-Nur ayat 35 seperti berikut:
"Allah yang menerangi langit dan bumi.
Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai
sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk
kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang
bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak
manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa
naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya
bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur
hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya
berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nuur: 35)
Allah yang menerangi langit dan bumi.
Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai
sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca
(qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar
cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak
manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa
naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya
bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur
hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya
berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut
undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah
Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nuur: 35)
Ayat ini bukan sahaja memberi gambaran
betapa indahnya cahaya itu malah menjadikan saya berfikir apakah yang
menjadikan minyak zaitun bukan sahaja bercahaya seperti di dalam ayat di atas
malah para ulama’ mengatakan bahawa minyak zaitun boleh menerangi hati seorang
penuntut ilmu menjadikan hafalannya mudah dan hidayah Allah swt sentiasa
menaunginya.
Suatu ilmu akan mudah difahami dan dihafal
dengan keupayaan otak yang cemerlang. Di dalam Islam, ilmu juga diumpamakan
sebagai cahaya. Bagai ada suatu hubungan antara sifat ilmu dan minyak zaitun
serta hubung kait dengan otak. Apakah rahsianya?
Minyak zaitun kaya dengan polyphenols-
antioksida semulajadi, lemak sihat, sumber bagi Omega 3 dan Omega 6 yang juga
terdapat di dalam ikan, avokado dan kekacangan. Antara khasiatnya adalah
menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, mengawal tekanan
darah, mengurangkan tanda-tanda penuaan, menguatkan sistem imunisasi,
melindungi dari kesan radikal bebas dan mengelak keradangan.
Para saintis juga telah menemui bukti bahawa
minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap tulang dan kesihatan penghadaman
serta agen anti-kanser. Tubuh badan yang sihat membantu otak menjadi cerdas
secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu
meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. Mungkin kunci utamanya adalah
lemak berguna di dalam minyak zaitun yang penting bagi pemantapan kondisi otak
kerana 60% komponen otak adalah lemak.
Makanan Sunnah #6 – Habatus Sauda’
Dari dulu lagi saya mengamalkan minyak
habatus sauda’ sebagai makanan tambahan untuk diri saya. Jujurnya bukanlah
fokus untuk otak kerana ketika itu saya hanya tahu bahawa biji hitam ini sangat
baik bagi meningkatkan imunisasi badan dan melawan penyakit (saya jenis yang
mudah jatuh sakit).
Kemudian saya mula termenung setelah
membaca sabda Nabi saw di dalam Kitab Sahih al Bukhari Muslim, Abu Hurairah ra
berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Tetaplah kamu dengan Al-Habah Al-Sauda’
kerana sesungguhnya ia adalah penawar bagi segala penyakit kecuali As-Sam atau
mati.”
Apa yang mengganggu fikiran saya adalah
betapa kuatnya penekanan terhadap biji kecil ini sebagai penawar kepada SEGALA
PENYAKIT. Terlalu banyak jenis penyakit di atas dunia ini. Mana mungkin biji
yang BEGITU KECIL memiliki begitu BANYAK KHASIAT.
Tak logik. Rasa ingin tahu telah
menyebabkan saya mula menerokai matlumat mengenai habatus sauda’ dan apa yang
saya jumpa sangat hebat. Ya, terlalu banyak khasiat di dalamnya sehingga tidak
mampu untuk dinukilkan kesemuanya di dalam artikel ini. Malah kajian masih lagi
dijalankan ke atas biji kecil molek ini. Maha Suci Allah dan Maha Sempurna
Allah. Siapa saya untuk meragui keAgungan Pencipta alam ini yang Maha Kuasa
atas segalanya. Tiada batas untuk Dia melakukan apa sahaja.
Dalam banyak-banyak penyakit yang boleh
disembuhkan dan dielakkan dengan mengamal habatus sauda’ (insya-Allah), saya
pilih satu yang paling menarik perhatian saya. Minyak habatus sauda’ telah
terbukti mampu merawat penyakit epilepsi. Secara umum apabila suatu pekerjaan
dilakukan, bahagian otak yang tertentu akan menghantar isyarat bagi
melaksanakan pekerjaan itu.
Namun apa yang berlaku kepada pesakit
epilepsi adalah semua bahagian otak tiba-tiba menghantar isyarat secara
serentak sehingga mewujudkan kecelaruan kepada pesakit yang menyebabkan sawan.
Kajian pada tahun 2007 ke atas kanak-kanak yang menghidap penyakit ini
mendapati bahawa minyak habatus sauda’ dapat mengurangkan serangan sawan ke
atas kanak-kanak ini. Ini hanya satu daripada banyak lagi kelebihan habatus
sauda’ yang membantu pemulihan keadaan otak seterusnya mengoptimumkan kapasiti
otak.
Makanan Sunnah #7 – Susu Kambing
Susu kambing adalah makanan penyembuhan
yang terbaik bagi membina otak, sistem saraf dan fakulti mental. Susu kambing
mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi
pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter sekaligus memberi tenaga
untuk otak.
Susu kambing juga adalah yang terbaik untuk
menghasilkan semula sel-sel di dalam badan bagi memulihkan kesihatan seseorang.
Kebaikan susu begitu diangkat sehingga di dalam riwayat Imam al Bukhari
diceritakan bahawa ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Jibril yang menghidang susu
dan arak kepada Rasulullah saw telah memuji pilihan Baginda iaitu susu. Jibril
berkata,
“Segala puji bagi Allah yang telah
menunjukkan engkau kepada fitrah. Seandainya engkau memilih khamr, nescaya
binasalah umatmu.”
Walaupun tidak dinyatakan susu apa yang
dihidang kepada Baginda ketika itu namun cukup jelas bahawa Allah telah memberi
nikmat yang besar kepada manusia melalui susu dan meminum susu juga menjadi
sunnah KekasihNya sendiri. Begitu dekatnya susu dengan manusia sehingga susu
adalah sebahagian dari fitrah manusia. Susu kambing paling menjadi kegemaran
Rasulullah saw terutamanya yang diminum terus selepas diperah.
Keistimewaan susu kambing adalah pada
nutrisinya yang dua kali ganda lebih baik berbanding susu lembu. Malah
kehebatan susu kambing ternyata sama tandingnya dengan susu ibu sendiri. Bayi
yang minum susu ibu dan susu kambing ternyata memiliki sistem imunisasi yang
lebih kuat, lebih cerdas dan pintar berbanding dengan anak-anak yang diberi
susu lembu atau susu ibu sahaja.
Selain itu susu kambing juga ternyata boleh
diminum oleh semua peringkat umur kerana tidak menyebabkan alahan dan keradangan
seperti susu lembu. Partikel lemaknya yang lebih kecil menjadikan susu kambing
ternyata lebih mudah dihadam berbanding susu lembu.
Suka saya ingin pembaca supaya jelas bahawa
proses penutrisian otak adalah berkait rapat dengan sistem penghadaman yang baik.
Susu kambing telah terbukti mampu merawat Crohn’s disease iaitu suatu penyakit
yang kronik melibatkan sistem penghadaman. Keadaan gastrik yang teruk juga
boleh dipulihkan dengan susu kambing.
Melalui sistem penghadaman yang sihat,
segala nutrisi yang kaya di dalam susu dapat dimanfaatkan bukan sahaja pada
otak malah keseluruh tubuh manusia. Di sini jelas sunnah meminum susu kambing
sangat penting dalam kesihatan dan kekuatan seorang muslim. Betapa besarnya
hikmah dan nikmat Islam kepada kita.
Makanan Sunnah Menjadikan Anda Genius!
Pembaca yang budiman, dengan mengamalkan
makanan-makanan sunnah ini, kita boleh menjadi seorang yang genius! Namun
menjadi genius bukan bergantung kepada makanan yang diambil semata-mata.
Makanan hanya sebahagian dari kunci-kunci rahsia menjadi genius. Dengan izin
Allah swt juga barulah nikmat makanan dapat dimanfaatkan oleh kita.
Sepanjang pemerhatian dan kajian saya
ketika di pengajian tinggi kepada kisah hidup para ilmuwan Islam di dalam
sejarah, para pensyarah dan rakan-rakan saya yang genius, ternyata genius juga
bergantung kepada tabiat, aktiviti, akhlak, personaliti dan teknik belajar
seseorang individu. Justeru mengenali kunci-kuncinya akan membuka peti-peti
rahsia untuk meningkatkan potensi diri yang sebenar manusia.
Ternyata
juga apabila seorang muslim mengenali kunci-kunci ini, kita tidak akan hairan
dengan firman Allah swt di dalam surah ali Imran ayat 110 bahawa Umat Islam
adalah sebaik-baik umat. Petunjuk sudah ada di situ. Islam itu adalah cara
hidup menyeluruh yang membawa kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Qur’an dan hadis ada menunjukkan caranya. Maka, di mana kunci-kunci itu? Di
mana kita yang sepatutnya menggenggam kunci-kunci itu?
(Sumber: Tazkirah.net)
loading...
0 Response to "7 Makanan Sunnah yang Patut Diamalkan. "
Post a Comment