15 tanda - tanda SIFAT MUNAFIQ YANG MUNGKIN ADA PADA KITA. NAUZUBILLAH
Menurut Al-Quran, orang munafiq itu mulutnya mengakui
beriman, mengakui adanya Allah dan menerima bahawa Nabi Muhammad itu utusanNya.
Namun hatinya tidak ikhlas, timbul keragu-raguan dan dalam diam-diam dia
sebenarnya menolak pengakuan itu. Amalannya nampak baik, ibadahnya nampak rajin
tetapi hatinya merasa berat. Firman Allah SWT: “Dan sebahagian dari manusia ada
yang berkata: “Kami percaya kepada Allah dan Hari Kemudian, padahal tidaklah
mereka orang-orang yang beriman” (Al-Baqarah: 8). Kepura-puraan memang dapat
menipu orang-orang beriman tetapi tidak mungkin dapat memperdayakan Allah.
Ingat, Allah Maha Mengetahui apa yang kita lahirkan (ucapkan /kerjakan) dan apa
yang kita sembunyikan didalam hati. Terhadap orang-orang munafiq ini Allah
menganggap hati mereka itu terdapat penyakit, dan Allah akan menambah penyakit
itu. Kerananya orang-orang munafiq mendapat ancaman berupa azab yang sangat
pedih (Al-Baqarah: 10). Penyakit yang ada didalam hati orang munafiq ialah
perasaan berbangga diri atau mengagumi dirinya sendiri, misalnya merasa lebih
pintar dan sebagainya.
1. Malas Beribadah Kepada Allah SWT
Konsep malas beribadah mencakupi apabila seseorang malas
mengerjakan solat,segan untuk menempatkan diri disaf pertama,enggan mencari
ilmu pengetahuan dan berat melangkah untuk menghadiri majlis kebajikan.Pada
zaman Rasulullah SAW orang-orang munafiq sama-sama mengerjakan solat bersama
baginda tetapi mereka malas dan tidak menampakkan kesungguhan. Firman Allah
SWT:
“Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah SWT, sedang Allah SWT
menipu mereka (membalas tipuan mereka). Apabila mereka berdiri hendak solat,
mereka berdiri dengan malas serta riak terhadap manusia dan mereka tiada
mengingati Allah SWT, melainkan hanya sedikit”. (An-Nisa 142).
Orang Munafiq
jika datang ke masjid, dia akan memilih saf paling akhir sehingga tidak
mengetahui apa yang dibaca oleh imam dalam solat dan tidak menghayati
pengajarannya.
2. Lupa Kepada Allah SWT
Orang munafiq memiliki sifat kemunafiqan dalam fikiran dan
batin mereka tidak pernah terlintas untuk mengingati Allah SWT baik ketika
senang atau susah. Firman Allah SWT:
“Mereka telah dikuasai oleh syaitan, lalu
lupa mengingati Allah SWT. Mereka itulah golongan (pengikut) syaitan. Ingatlah
bahawa pengikut syaitan itu orang yang rugi.” (Al-Mujadalah:19)
3. Melalaikan Solat Fardu
Melalaikan solat fardu bermaksud sengaja melengahkan atau
melambatkan mengerjakan solat sehingga habis waktunya. Perkara ini akan
mendapat ancaman dan seksaan Allah SWT di akhirat kelak. Firman Allah SWT:
“Kemudian sepeninggalan mereka digantikan oleh pengganti-pengganti jahat,
mereka mensia-siakan solat dan mengikut hawa nafsu, sebab itu mereka menemui
kejahatan (seksa) Allah SWT” (Maryam: 59)
Firman Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang-orang
yang solat, mereka itu lalai daripada solat, mereka itu lalai daripada
solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan memberi zakat” (Al-Ma’un:47).
Firman
Allah SWT: “Hai orang-orang beriman, janganlah kamu lalai kerana harta benda
dan anak-anakmu daripada mengingati Allah SWT (solat). Barangsiapa berbuat
demikian itu,maka orang yang rugi.” (Al-Munafiqun:9)
Sa’ad bin Abi Waqqas mengatakan: “Aku bertanya kepada
Rasulullah SAW tentang orang yang lalaikan solatnya, maka baginda
bersabda’Maksudnya orang yang melambatnya” (HR.Tirmizi).
Dalam Hadith lain
Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang mahu menjaga solatnya,maka adalah ia
menjadi cahaya dan tanda bukti serta dapat menyelamatkan baginya pada hari
kiamat nanti, sedangkan orang yang tidak mahu menjaga solatnya, dia tidak
mempunyai cahaya dan tanda bukti serta penyelamat di hari kiamat nanti, bahkan
ia kelak akan berkumpul dengan Firaun, Qarun, Haman, Ubaiy bin khalaf.”
(HR.Ahmad dan Tabrani)
4. Mempercepatkan Mengerjakan Solat
Orang yang mempercepatkan solatnya tanpa rasa khusyuk dan
lupakan Allah SWT, maka solatnya tidak diterima Allah SWT. Itulah solat orang-orang
munafiq. Rasulullah SAW bersabda:
“Itulah solat orang munafiq, lalu
mempercepatkan empat rakaat” (HR.Muslim).
Sabda Rasulullah SAW: “Pencuri yang
utama itu ialah orang yang mencuri dalam solatnya. Lalu ada yang
bertanya:”bagaimana caranya mencuri dalam solat?’Baginda bersabda:”Itulah orang
yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud, dan bacaan di dalam solatnya.”
(HR.Ahmad dan Hakim)
5. Gemar Meninggalkan Solat Berjemaah
Seseorang yang sihat daripada segi fizikal dan jasmani,
mempunyai waktu lapang dan tidak uzur syari’, tetapi tidak mahu mendatangi
masjid ketika mendengar seruan azan, maka dia tergolong orang munafiq. Sabda
Rasulullah SAW, “Tidak ada yang akan meninggalkan solat berjemaah, kecuali
orang munafiq yang sudah diketahui kemunafiqannya.” (HR.Muslim)
6. Meninggalkan Solat Jumaat
Dalam islam solat Jumaat adalah wajib maka barangsiapa yang
meninggalkannya dengan sengaja tanpa ada sebarang keuzuran yang dibolehkan
syarak adalah termasuk meninggalkan kewajipan yang bererti ia telah berbuat
dosa dan tergolong orang yang munafiq. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa
meninggalkan solat jumaat tanpa ada halangan atau bahaya, maka ia menjadi orang
munafiq dalam sebuah catatan yang tidak akan dihapuskan dan tidak akan
ditukar.” (HR.Abu Dauh dan Nasa’i). Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh berhentilah
orang-orang daripada perbuatan mereka meninggalkan jemaah jumaat atau sungguh
Allah SWT akan mematri hati mereka, kemudian mereka menjadi (munafiq) yang
lalai.” (HR.Muslim)
7. Melakukan Dosa dan Kemungkaran Secara Sembunyi.
Orang yang berpura-pura melakukan kebaikan di tengah-tengah
orang ramai dan gemar melakukan perbuatan maksiad atau kemungkaran secara
tersembunyi adalah orang-orang munafiq yang amat dibencikan Allah SWT. Firman
Allah SWT: “Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam
pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah.
Sedangkan ia beserta mereka itu ketika mereka menyembunyikan dalam hatinya
perkataan yang tidak disukai Allah SWT. Allah meliputi (pengetahuan-Nya)
apa-apa yang mereka kerjakan. (An-Nisa’: 108)
8. Menyuruh Yang Mungkar Dan Melarang Yang Makruf.
Orang-orang munafiq inginkan segala perbuatan keji dan
mungkar disebarkan di kalangan orang-orang beriman.Mereka menyuruh orang
beriman berbuat mungkar dan melarang melakukan perkara yang makruf dengan
tujuan untuk melemahkan kebenaran dan kemurnian ajaran Islam. Firman Allah SWT:
“Orang-orang munafiq lelaki dan wanita, sesetengahnya serupa dengan yang lain.
Mereka menyuruh (berbuat) yang mungkar dan melarang berbuat makruf dan menggengam
tangannya (bakhil). Mereka lupakan Allah SWT lalu Allah SWT melupakan mereka.
Sesungguhnya orang-orang munafiq itu adalah orang fasik.” (Al-Taubah: 67)
9. Menyembunyikan Ilmu Pengetahuan.
Maksud menyembunyikan ilmu pengetahuan ialah orang-orang
yang memiliki ilmu apabila ditanya orang lain sedangkan dia mengerti persoalan
yang ditanyakan tetapi tidak menjelaskannya. Perbuatan ini akan menghalang
kemajuan umat islam dalam segala bidang dan juga dapat menutup kebenaran.
Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang
Kami turunkan di antara beberapa keterangan dan petunjuk setelah Kami terangkan
kepada manusia dalam kitab, nescaya mereka itu dikutuk Allah SWT dan dikutuk
oleh orang-orang yang mengutuknya.’ (Al-Baqarah: 159). Firman Allah SWT:
“Ingatlah ketika Allah SWT mengambil janji orang-orang ahli kitab: Hendaklah
kamu terangkan kitab kepada manusia dan janganlah kamu sembunyikannya, lalu
mereka lemparkan perjanjian itu di belakang punggungnya (tidak tepati) dan
mereka jual perjanjian itu dengan wang yang sedikit. Maka amat jahat apa yang
mereka jual itu.” (Ali-Imran: 187)
Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Abi Hurairah bahawa
Rasulullah SAW. bersabda: Barangsiapa ditanya sesuatu ilmu lalu dia
menyembunyikannya, maka di hari kiamat nanti dia akan dikendalikan dengan
kendali api neraka.” (HR.Ata’). Rasulullah SAW bersabda: “Daripada Ibnu Umar
bahawa Nabi SAW bersabda:’Barangsiapa menuntut ilmu sedang ia tidak mahu
mengamalkannya, nescaya ilmunya tidak akan bertambah melainkan kesombongan
belaka.” (HR.Tirmizi dan Ibnu Majah)
10.Mengamalkan Riak.
Riak adalah perbuatan orang munafiq yang tersembunyi didalam
hati, perasaan dan peribadi dengan niat dan tujuan tertentu. Menutut Imam Al
Ghazali, riak adalah mencari kedudukan pada hati manusia dengan memperlihatkan
perkara-perkara kebajikan. Saidina Ali bin Abi Talib Karramallah Wajhah berkata
orang yang bersifat riak itu ada tiga tanda, iaitu malas apabila bersendirian,
rajin apabila berada dikhalayak ramai dan ia menambah amal apabila dipuji dan
dikurangkan apabila dicela. Dalam islam perbuatan riak tergolong syirik kecil,
merosakkan amal kebajikan, meluntur kemurnian akhlak dan mendapat kemurkaan dan
azab Allah SWT. Firman Allah SWT: “Maka celakalah (azab) bagi orang yang
solat,yang mereka itu lalai daripada solatnya, lagi mereka itu riak dan enggan
memberi zakat (Al-Ma’un: 47).”Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman,
janganlah kamu batalkan sedekahmu dengan mencerca dan menyakiti seperti orang
menafkahkan hartanya kepada riak kepada manusia.” (Al-Baqarah: 264)
Rasulullah SAW bersabda: “Suatu yang paling aku khuatirkan
kamu ialah syirik kecil, lalu ditanya oleh sahabat. “Apakah syirik kecil itu ya
Rasulullah SAW?” Kemudian baginda SAW bersabda: “Iaitu riak.”” (HR.Ahmad dan Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang berbuat riak akan dipanggil
pada hari kiamat.’Hai orang yang zalim, Hai orang yang menyeleweng, Hai orang
yang berbuat riak, amalanmu sesat dan pahalamu sia-sia. Pergilah, maka ambillah
pahalamu daripada orang yang kamu berbuat amal baginya.” (HR.Ibnu Abid Dunya)
11. Hasad Dengki
Hasad dengki merupakan suatu wabak yang berbahaya yang ada
dalam diri seseorang jika tidak dibendung atau dijaga secara wajarnya. Hasad
dengki dapat diertikan sebagai suatu sikap tidak senang atas kenikmatan,
kesenangan atau kelebihan yang ada pada orang lain dan berusaha untuk
menghilangkan kenikmatan itu agar dapat memilikinya. Dengan demikian sifad
hasad dengki boleh menyuburkan perasaan dendam, permusuhan dan suka berprasangka
buruk terhadap orang lain. Dalam islam sifad hasad dengki adalah tercela dan
tergolong amalan orang-orang munafiq. Firman Allah SWT: "Adakah patut
mereka dengki kepada manusia atas nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka
daripada kurnia-Nya?" (An-Nisa': 54). Orang yang bersifat hasad dengki
jiwanya sentiasa merasa serba kekurangan dengan apa yang dimilikinya. Firman
Allah SWT: "Yang paling aku takut dari apa yang aku takut pada umatku
ialah yang banyak harta pada mereka, lalu mereka saling berdengki dan
berbunuh-bunuhan." (HR. Ibnu Abid Dunya an Amir Al-Asy'ari)
Dalam islam keharusan melahirkan perasaan dengki terhadap
orang lain hanya dalam dua perkara sahaja iaitu terhadap ilmu dan harta
kekayaan yang dimilikinya. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada dengki
selain daripada dua perkara,iaitu orang yang diberikan harta oleh Allah SWT
lalu dikuasainya harta itu pada kebenaran dan orang yang diberikan ilmu oleh
Allah SWT lalu diamalkan ilmu itu dan diajarkan kepada manusia."
(HR.Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar)
12. Dusta
Dusta merupakan pernyataan tentang sesuatu yang tidak sesuai
dengan keadaan yang sebenarnya. Perbuatan dusta adalah amalan orang munafiq dan
amat dilarang dalam islam kerana dapat menjauhkan manusia dengan Tuhannya,
bahkan dikutuk oleh Allah SWT dan dibenci oleh manusia. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya yang mengadakan pendustaan hanyalah orang-orang yang tidak
beriman kepada ayat-ayat Allah SWT dan mereka itulah orang-orang
pendusta." (An-Nahl: 105). Dusta merupakan suatu perbuatan yang keji dan
terkutuk kerana ianya boleh mempengaruhi minda yang mengarahkan kepada
kejahatan dan boleh merosakkan sahsiah dan alam kebajikan. Rasulullah SAW
bersabda: "Sesungguhnya setakut-takut yang aku takut atas umatku adalah
setiap munafiq yang pandai lidahnya." (HR.Abu Ya'la)
Dalam hadith lain Rasulullah SAW bersabda: "Takutlah
kamu terhadap prasangka kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta
pembicaraan." (HR.Muttafaq 'Alaih). Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya dusta itu adalah salah satu daripada beberapa pintu
munafiq." (HR.Ibnu 'Adi). Sabda Rasulullah SAW: "Tanda orang munafiq
itu ada tiga:Apabila berbicara berdusta,apabila berjanji ia mungkiri dan
apabila diberi kepercayaan ia khianat." (HR.Muttafaq Alaih) Sesungguhnya
perbuatan dusta amat dibenci Allah SWT dan tidak akan beroleh petunjuk
dari-Nya. Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta." (Al-Mukmin/Ghafir:
28). Firman Allah SWT: "Sesungguhnya Allah SWT tidak memberi petunjuk
kepada orang-orang yang berdusta dan sangat ingkar." (Az-zumar: 3)
13 Mungkir Janji
Perbuatan mungkir janji bermaksud menyalahi pernyataan
terhadap kesediaan diri seseorang akan memenuhi sesuatu yang diminta oleh orang
lain.Oleh,itu dalam islam menunaikan janji adalah wajib. Firman Allah SWT:
"Hai orang-orang yang beriman penuhilah janji-janji mu." (Al-Maidah:
1). Firman Allah SWT: "Dan penuhilah janji sesungguhnya janji itu akan
ditanya." (Al-Isra': 34). Seseorang yang memungkiri janji yang dibuat sama
ada sengaja atau tidak, amat tidak menyenangkan dan mengecewakan harapan orang
yang dijanjikan. Perbuatan memungkiri janji tergolong orang munafiq. Rasulullah
SAW bersabda: "Ada empat macam berangsiapa yang terdapat semuanya ini,
maka ia termasuk orang munafiq yang asal dan barangsiapa yang terdapat padanya,
maka bererti ia terjangkit sifat kemunafiqan sampai ia bersedia meninggalkan
empat hal tersebut, apabila ia berbicara ia berdusta, apabila dipercayai ia
berkhianat dan apabila berjanji ia mungkiri." (HR.Bukhari dan Muslim)
14. Bakhil
Bakhil adalah merupakan sifat yang tercela dan dibenci dalam
islam malah ianya tergolong sebagai perbuatan orang munafiq. Bakhil bermaksud
seseorang merasakan sayang terhadap apa yang dimiliknya untuk diberikan kepada
orang lain. Sebahagian ulama menyifatkan bakhil itu sebagai keinginan yang
diharapkan oleh seseorang untuk mendapatkan apa yang ada ditangan orang lain.
Orang yang mengamalkan sifat bakhil akan menyebabkan hilangnya rasa
tanggungjawab sosial kerana terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup
menyisihkan sebahagian harta dari dimaanfaatkan oleh masyarakat, enggan
membayar zakat. Perbuatan ini amat dikutuk dalam islam. Firman Allah SWT:
"Dan janganlah sekali-kali orang yang bakhil dengan harta yang diberikan
Allah SWT kepada mereka menyangka bahawa kebakhilan itu lebih baik bagi mereka.
Tetapi kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka,harta yang mereka bakhilkan akan
dikalungkan di lehernya pada hari kiamat." (Ali Imran: 180) Rasulullah SAW
bersabda: "Takutlah terhadap kezaliman, sesungguhnya kezaliman itu
kegelapan di hari kiamat. Takutlah terhadap bakhil, sesungguhnya bakhil itu
menghancurkan umat-umat sebelum kamu, ia membawa kamu untuk menumpahkan darah
mereka dan menghalalkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka."
(HR.Muslim dari Jabir r.a). "Dua pekerti tiada pada seseorang mukmin iaitu
bakhil dan buruk pekerti." (HR.Ahmad). Islam tidak melarang umatnya
mencari harta kekayaan sebanyak mungkin denagn jalan yang baik dan halal untuk
kerperluan hidup malah disyaratkan pula menghulurkan bantuan secara ikhlas atas
kelebihan hartanya pada jalan Allah SWT. Firman Allah SWT: "barang siapa
yang memelihara dirinya daripada bakhil,maka itulah orang yang berjaya."
(Al-Hasyr: 9)
15. Fitnah
Fitnah merupakan suatu sifat yang amat keji dan boleh
mendatangkan kesan yang amat buruk kepada diri sendiri dan terhadap orang lain.
Fitnah boleh diertikan bahawa seseorang yang menyampaikan keburukan orang lain
dikalangan orang ramai dengan tujuan supaya mereka membenci atau memusuhinya.
Fitnah boleh berlaku dimana-mana terhadap orang lain kerana didorong oleh
perasaan irihati, kurangnya iman dan lemah iman dan jiwanya kotor. Justeru itu
perbuatan fitnah tergolong sifat munafiq boleh menjatuhkan keaiban seseorang
dan menghalangnya daripada melakukan kebajikan. Firman Allah SWT: "Dan
janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak
mencela serta menyebar fitnah, banyak menghalang berbuat baik, melampaui batas
lagi banyak melakukan dosa." (Al-Qalam: 10-12). Firman Allah SWT:
"Dalam hati mereka ada penyakit lalu Allah SWT tambahkan penyakitnya dan
bagi mereka seksa yang pedih disebabkan mereka berdusta." (Al-Baqarah: 10)
Perbuatan fitnah lebih bahaya daripada pembunuhan kerana
boleh menyebabkan masyarakat hilang rasa kasih sayang dan mencetuskan
permusuhan. Firman Allah SWT: "Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari
pembunuhan." (Al-Baqarah:191). Firman Allah SWT: "Dan fitnah itu
lebih besar (dosanya) daripada membunuh." (Al-Baqarah: 217). Islam
melindungi kehormatan atau menjaga nama baik seseorang adalah dituntut agar
dapat menjaga hak dan kebajikan orang lain selamat daripada murka Allah SWT.
Justeru itu,perbuatan fitnah antara sesama muslim akan mendapat balasan yang
buruk dariapda Allah SWT didunia dan akhirat. Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang-orang yang menuduh (memfitnah) wanita-wanita yang baik
lagi beriman, berzina, mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan abgi azab
yang besar." (An-Nur: 23). Sabda Rasulullah SAW: "Seburuk-buruk hamba
Allah SWT iaitu orang yang berjalan ke sana ke mari dengan fitnah yang memecahbelahkan
antara kekasih yang suka mencari kecacatan orang orang baik." (HR. Ahmad)
Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga yang
membawa fitnah." (HR.Bukhari dan Muslim dari Huzaifah). Oleh kerana itu,
bahaya fitnah boleh mengancam kesejahteraan. Maka umat islam hendaklah sentiasa
berhati-hati dan jangan mudah terpedaya denagn fitnah yang dibawa atau
diterima. Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman apabila datang
kepadamu orang fasiq yang membawa berita (fitnah) maka perhatikanlah dengan
teliti (kebenarannya)." (Al-Hujurat: 6)
SUMBER: AHMAD IRSYAD
loading...
0 Response to "15 tanda - tanda SIFAT MUNAFIQ YANG MUNGKIN ADA PADA KITA. NAUZUBILLAH"
Post a Comment