SOALAN:
Saya membaca sebuah buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan
Johor karangan Datuk Syed Alawi Tahir al-Haddad, cetakan ketiga, tahun 1981,
halaman 184-185. Buku ini menyatakan tidak wajib atas isteri menjalankan
kerja-kerja seperti membersih rumah, mencuci pakaian, mengasuh anak-anak dan
menyediakan makanan.
Jika isteri melakukan
semua itu, ia berhak menuntut gantian dengan harga sebagai upah. Kewajipan
isteri, menurutnya, hanya taat dan menyerah diri kepada suami bagi memuaskan
kehendaknya serta tinggal dalam rumah dan tidak boleh keluar tanpa izin.
Soalan saya, benarkah pendapat ini? Setahu saya apa yang
disebutkan itu bertentangan dengan amalan dalam masyarakat Melayu hari ini.
Saya harap tuan jelaskan kewajipan sebenar suami, isteri sebagaimana yang dinyatakan
dalam al-Quran dan hadis. - SALMIAH, Seksyen 14, Petaling Jaya.
JAWAPAN:
Saya turut membaca buku berjudul Fatwa-Fatwa Mufti Kerajaan
Johor seperti yang disebutkan dalam soalan di atas. Buku ini merupakan himpunan
fatwa Almarhum Datuk Syed Alawi al-Haddad (meninggal dunia 1962). Beliau adalah
bekas Mufti Kerajaan Johor (1934-1961). Pada saya, fatwa mufti itu kurang jelas
menyatakan tanggungjawab siapa menjalankan kerja-kerja rumah seperti mencuci
pakaian, memasak, menyediakan makanan, mengasuh anak, menyidai kain dan
sebagainya.
Saya membaca lagi beberapa buah buku yang ada dalam simpanan
saya untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut tentang perkara itu. Saya
dapati, kebanyakan menyatakan kerja-kerja rumah seperti yang disebutkan di atas
adalah tanggungjawab suami.
Saya tersentak seketika apabila membaca kerja-kerja seperti
itu termasuk dalam senarai kewajipan suami terhadap isteri, di samping nafkah
utama yang meliputi makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan. Kewajipan
isteri pula dinyatakan ialah melayani kehendak suami dan menyerahkan tubuh
badan kepadanya serta menyahut panggilannya dengan segera bila diperlukan,
sekalipun ketika dia sedang memasak di dapur.
Buku-buku itu antara lain menjelaskan lagi, isteri tidak
harus berpuasa sunat, kecuali terlebih dahulu memaklum dan mendapat keizinan
suami, kerana khuatir nanti suatu panggilan kecemasan akan berlaku, sedangkan
dia tidak dapat menyahutnya kerana berpuasa. Dinyatakan lagi, jika isteri tidur
bermalaman, sedangkan dia dengan sengaja tidak melayani kehendak suaminya, maka
sepanjang malam itu dia dilaknat Allah dan malaikat.
Kesetiaan isteri terhadap kehendak suami semacam boleh
ditafsirkan dengan ada bayarannya, iaitu kerja-kerja rumah seperti mengasuh
anak, memasak, membasuh pakaian, menyidai kain dan sebagainya hendaklah
dijalankan oleh suami. Kecuali jika isteri dengan rela hati sedia melakukannya.
Saya tidak mempertikaikan hukum-hukum yang telah diputuskan
oleh al-Quran dan hadis-hadis sahih berhubung kewajipan suami terhadap isteri,
seperti nafkah makan minum, kediaman, pakaian dan perubatan yang wajib ke atas
suami menyempurnakannya. Manakala kewajipan isteri terhadap suaminya pula
hendaklah melayani sepenuhnya kehendak suami sebaik sahaja panggilan dibuat.
Persoalan yang berbangkit ialah mengenai kerja-kerja harian
di dalam rumah seperti memasak, mengasuh anak, menyidai pakaian dan sebagainya,
benarkah ia termasuk antara tugas suami? Isteri hanya boleh melakukannya secara
sukarela atau suami sendiri menyempurnakannya sebagai tanggungjawab terhadap
isteri. Begitulah apa yang saya faham daripada buku-buku yang saya baca.
Saya berpendapat hukum ini adalah hasil ijtihad ulama pada
beberapa abad terdahulu. Ijtihad boleh berubah dari masa ke masa mengikut
perubahan zaman, keadaan dan tempat. Ijtihad ulama juga tidak selalunya tepat
dan betul, kadang-kadang boleh disanggah oleh ulama melalui ijtihadnya yang
dihasilkan pada waktu dan masa yang lain pula. Dalam hadis menyebut: Sesiapa
yang silap dalam ijtihadnya maka ia memperoleh satu pahala dan siapa yang
betul, akan mendapat dua pahala.
Menurut mazhab Imam Malik, uruf dan kebiasaan dalam sesebuah
masyarakat boleh dipakai bagi menurunkan sesuatu hukum. Atas dasar ini, isteri
boleh memasak, menyidai pakaian, mengasuh anak dan sebagainya jika dia suka,
tetapi bukan sebagai kewajipannya. Beberapa alasan berikut boleh dijadikan
hujah:
Pertama: Allah berfirman kepada para isteri yang membawa
maksud: Isteri menanggung kewajipan terhadap suaminya yang wajib dilaksanakan
dengan cara yang baik, suami juga dikehendaki melakukan kewajipan yang serupa
(al-Baqarah: 228). Ini bermakna suami isteri sama-sama mempunyai tanggungjawab
terhadap satu sama lain.
Saya beranggapan tidak adil jika urusan yang dilakukan di
luar rumah seperti mencari nafkah makan minum, kediaman, pakaian, perubatan
menjadi kewajipan suami sepenuhnya, kemudian kerja-kerja di dalam rumah juga
menjadi kewajipan suami. Isteri seolah-olah tiada sebarang kerja, selain
melayan suami dengan tubuh badannya sahaja. Cara yang lebih adil ialah
kerja-kerja di luar rumah menjadi kewajipan suami, sementara dalam rumah pula
hendaklah diambil tanggungjawab oleh isteri.
Kedua: Dalam pergaulan sesama manusia dan juga keluarga,
setiap hak yang wajib ditunai hendaklah ada balasan yang diterima. Suami
dipertanggungjawab memberi nafkah dengan jalan yang terbaik, seperti yang
dinyatakan terdahulu. Apakah hak ini telah dibalas oleh isteri dengan cara yang
terbaik juga seperti yang sepatutnya? Apakah kewajipan menyara hidup yang
disempurnakan oleh suami terhadap isteri dan anak-anaknya itu dianggap sebagai
percuma dan tidak perlu dibalas apa-apa? Islam dan juga budaya Melayu tidak
menyatakan begitu.
Mungkin ada orang menjawab, tubuh badan isteri yang diserah
kepada suami itu sendiri bayarannya. Suami berhak mendapat kepuasan sesuka hati
dan pada bila-bila waktu sahaja. Alasan ini boleh ditolak dengan mudah, kerana
kepuasan itu bukan hak suami semata-mata, tetapi hak bersama.
Jika tubuh badan isteri dianggap hak suami, maka tubuh badan
suami juga boleh dianggap hak isteri. Sesetengah orang menyebutnya sebagai
nafkah batin yang wajib disempurna oleh suami, sekalipun saya tidak setuju
dengan istilah nafkah batin itu.
Ketiga: Suami dikira sebagai qawwam (pemimpin) dan pengawal
yang bertanggungjawab terhadap isteri, dengan itu isteri hendaklah menjaga
kepentingan suaminya. Jika suami bertanggungjawab dengan memasak dan membasuh
pakaian isteri, bermakna isteri sebagai pengawal suami. Ini bertentangan dengan
maksud ayat 34 surah al-Nisa. Oleh itu jalan yang paling serasi dan bermuafakat
dengan adat dan budaya Melayu ialah isteri bertanggungjawab dengan kerja-kerja
rumah, manakala suami hanya membantu.
Mungkin ada suami yang bersedia melakukan kerja-kerja itu.
Ada suami yang sangat berminat dengan kerja-kerja memasak, mengasuh anak dan
menjahit pakaian sendiri, sementara isteri pula berminat dengan kerja-kerja di
luar rumah seperti berniaga dan sebagainya. Amalan ini tidak salah dari segi
hukum jika suami isteri rela dengan cara itu.
Keempat: Banyak riwayat menyatakan kehidupan harian para
sahabat sebagai suami atau isteri, masing-masing memberi khidmat dan
bantu-membantu antara satu sama lain. Sebagai contoh, Asma' binti Abu Bakar,
isteri al-Zubayr Ibn al-Awwam, selalu membantu suaminya dengan memberi makan
kuda, mengangkut air dari tempat yang berbatu-batu jauhnya. Tidak pula
kedengaran Baginda Rasulullah melarang Asma' berbuat demikian dengan alasan
semuanya itu adalah kewajipan suami.
Fatimah al-Zahra, isteri Ali Abu Talib dan puteri Nabi, juga
melakukan sendiri kerja-kerja memasak dan membakar roti, menyediakan makanan
dan mengisar tepung, sehingga menjadi pecah-pecah pada tangannya. Fatimah dan
suaminya pernah mengadu kepada Nabi agar mengizinkannya mendapatkan pembantu
rumah atau khadimah.
Tetapi Nabi menyuruh agar Fatimah terus melakukan sendiri
kerja-kerja itu. Baginda tidak pula mengatakan, serah saja kepada Ali, kerana
itu tanggungjawabnya sebagai suami.
Mungkin ada orang menjawab, sumbangan Fatimah yang membuat
kerja-kerja rumah itu hanya sukarela, bukan sebagai kewajipan atau tugas. Saya
katakan, kerja-kerja itu adalah kewajipan Fatimah bukannya sukarela, kerana
Nabi tidak menerima cadangannya untuk mendapatkan pembantu rumah bagi
menjalankan tugas-tugas itu.
Jawapan Rasulullah s.a.w. kepada puterinya Fatimah adalah
suatu perakuan yang dengan sendirinya menurunkan hukum yang bakal dipakai
umatnya, iaitu dalam menentukan tanggungjawab siapa sepatutnya melakukan
kerja-kerja rumah, suami atau isteri. Dalam ilmu Mustalah Hadis, perakuan ini
disebut taqrir (perakuan Nabi).
Saya berasa penting juga dinyatakan di sini bahawa tugas
isteri pada hakikatnya ditentukan oleh adat resam dan budaya hidup sesuatu
bangsa itu sendiri. Masyarakat Melayu telah mewarisi satu budaya yang agak
kukuh, iaitu kerja-kerja berat yang biasanya menjadi kewajipan suami, manakala
kerja-kerja ringan biasanya menjadi tanggungjawab isteri.
Ditakdirkan ada isteri merasakan adat dan budaya Melayu ini
tidak perlu lagi dipertahankan, sudah tiba masanya lelaki dan wanita disamakan.
Suami harus menyediakan sendiri makan minumnya, membasuh dan mencuci sendiri
pakaiannya. Bagaimana pula jika dia kesuntukan masa untuk melakukan kerja-kerja
itu, lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah atau orang gaji? Tidakkah hati
tersentuh melihat orang lain berada di samping suami kerana menyediakan makan
minum dan mencuci pakaian dan menyentuh barang-barang yang akrab dengannya?
Adat resam dan budaya Melayu tidak pernah menerima cara itu.
Janggal sekali jika orang yang tidak ada kena-mengena itu bebas melakukan apa
sahaja yang disukainya.
Sumber: 1001 Kemusykilan Oleh DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL
SUKOR
(Akademi Pengajian Islam)
credit: islam itu indah
ANDA MUNGKIN MEMINATI
- Jadikan IBU kita Sebagai RATU!. Inilah JENIS Anak Penghuni Syurga. Meleleh Air Mata. Kita Bagaimana? SENTAP!!
- Kenapa Nak Kawin Sangat Ya? Inilah Sebab-Sebab Nak KAwin Yang TIDAK TEPAT Selalu Orang Bagi Dan Akhirnya Perkahwinan Tidak Seperti Yang Diinginkan. MESTI BACA!! Agar Dapat Perbetulkan Sebab Mahu Kawin Sebelum Terlambat.
- 10 SIFAT-SIFAT ISTERI YANG MENJADI PENAMBAH REZEKI SUAMI
- Saya Pesan Pada Para Lelaki Dan Suami, Jagalah Isterimu Sebaik Mungkin Kerana Syurga Dan Nerakanya Terletak Pada Redhamu.
loading...
0 Response to "Suami Perlu Tahu! Sebenarnya Mencuci Pakaian, Memasak adalah tanggungjawab Suami!!"
Post a Comment