Berikut adalah beberapa kisah sahabat Nabi S.a.w yang sanggup dipotong kedua-dua tangan dan akhirnya mati syahid kerana membawa bendera Islam sewaktu peperangan melawan orang-orang kafir. Begitulah pengorbanan para sahabat dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam agama tercinta, Allahu akbar.
Syahidnya Mus'ab ibnu 'Umair r.a
Dalam Peperangan Uhud, bendera orang Muhajirin dipegang oleh
Mus'ab ibnu 'Umair r.a. Apabila orang-orang Islam bertempiaran lari dalam
kebingungan, beliau masih tetap teguh berdiri. Seorang kafir telah
menghampirinya lalu memotong tangannya dengan pedang supaya bendera itu jatuh
untuk menandakan kekalahan yang nyata bagi orang Islam.
Beliau segera menyambar bendera itu dengan tangannya yang
satu lagi. Musuh itu turut memotong tangannya yang sebelah lagi itu. Beliau
telah merapatkan dua lengannya ke dada dan telah menahan bendera itu supaya
tidak jatuh.
Musuh itu memanahnya sehingga menyebabkan beliau gugur
syahid. Selagi hayat dikandung badan beliau tidak membiarkan bendera itu jatuh.
Selepas kesyahidannya barulah bendera itu jatuh tetapi terus diangkat oleh
seorang sahabat lain.
Syahidnya Ja'far ibnu Abi Thalib r.a
Dalam Perang Mu'tah, Rasulullah S.a.w telah melantik Zaid
ibnu Haritsah r.a sebagai ketua tentera Islam. Rasulullah S.a.w bersabda;
"Sekiranya beliau syahid maka Ja'far ibnu Abi Thalib r.a akan menjadi
ketua. Sekiranya beliau juga syahid maka 'Abdullah ibnu Rawahah r.a akan
menjadi ketua. Sekiranya beliau juga syahid, maka orang-orang Islam boleh lah
melantik sesiapa yang mereka suka sebagai ketua."
Seorang Yahudi yang mendengar perbualan itu berkata,
"Ketiga-tiga mereka pasti akan syahid. Itulah maksud yang dibawa oleh
kata-kata sedemikian daripada para nabi yang terdahulu."
Rasulullah S.a.w telah membuat satu bendera putih dan telah
menyerahkan bendera itu kepada Sayyidina Zaid ibnu Haritsah r.a.
Setelah Zaid r.a syahid, maka Sayyidina Ja'far ibnu Abi
Thalib r.a pula memegang bendera. Pada mulanya bendera itu berada di tangan
kanan. Orang kafir telah memotong tangan kanannya supaya bendera itu jatuh.
Dengan segera beliau telah menyambar bendera itu dengan tangan kirinya. Mereka
telah memotong tangan kirinya juga.
Maka beliau telah menahan bendera itu dengan dua lengannya
serta menggigitnya kukuh dengan gigi. Seorang kafir telah datang dari belakang
lalu menetaknya sehingga beliau terbelah dua yang menyebabkan beliau terus
jatuh. Pada masa itu umurnya baru 33 tahun.
Sayyidina 'Abdullah ibnu 'Umar r.a berkata, "Selepas
itu, apabila kami mengangkat mayat Sayyidina Ja'far r.a daripada kalangan
mayat-mayat, didapati 90 liang luka ada di bahagian hadapan badannya."
Apabila Ja'far r.a telah syahid, orang ramai telah memekik
memanggil Sayyidina Abdullah ibnu Rawahah r.a yang pada masa itu berada di satu
penjuru sedang makan seketul daging. Selama tiga hari beliau tidak mendapat
sesuatu untuk makan. Sebaik sahaja mendengar panggilan itu, beliau terus
membaling ketulan daging tersebut. Beliau mengutuk dirinya sendiri,
"Ja'far telah syahid, tetapi kamu wahai 'Abdullah, masih sibuk dengan
dunia."
Beliau maju ke hadapan mengambil bendera dan mula berperang.
Jarinya telah tercedera dan jari itu tergantung-gantung di tangannya. Beliau
telah menekan jari yang tergantung itu dengan kakinya kemudian menarik
tangannya sehingga jari itu terputus. Beliau kemudian membuang bahagian yang
terputus itu lalu maju ke hadapan.
Beliau terus menghayun pedangnya sehingga beliau gugur
syahid.
[Petikan dari Bab 7: Rindukan mati syahid, kitab Fadhail
al-Amal - Maulana Muhammad Zakariyya Kandhlawi]
loading...
0 Response to "Sanggup dipotong kedua-dua tangan dan akhirnya mati syahid kerana membawa bendera Islam"
Post a Comment