Tahukah anda mengapa solat zuhur dan asar tidak bersuara
kuat? Pertanyaan ini mungkin mewakili sebahagian besar masyarakat muslim awam
yang mungkin hanya sekadar mengikuti apa yang telah dilakukan oleh ayah, ibu
dan masyarakat di sekelilingnya. Sesungguhnya, mengetahui selok belok agama
menjadi wajib bagi seorang muslim.
Terdapat peribahasa yang menyatakan bahawa satu ibadah
dengan ilmu lebih baik daripada seribu ibadah tanpa ilmu. Sehingga dengan
demikian kita perlu mengetahui tata cara solat seperti hukum mengeraskan bacaan
dalam solat.
Masalah jahar ataupun sirr ketika melafazkan bacaan surah
bukanlah persoalan apakah itu wajib ataupun sunat dan menjadikan kesalahan
tersebut disempurnakan dengan sujud sahwi seperti lupa bertahyat awal. Akan
tetapi bacaan solat zuhur yang dikeraskan atau tidak, lebih bertumpu pada
kebolehan untuk melaksanakannya atau tidak.
Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu dalam shahih Muslim telah
menyampaikan bagaimana keadaan Rasulullah SAW ketika solat.
“Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah solat
bersama kami. Pada solat zuhur dan asar, beliau membaca Al Fatihah dan dua
surah di rakaat yang pertama. Sesekali beliau memperdengarkan ayat yang beliau
baca. Adalah beliau memanjangkan bacaan pada rakaat pertama dari solat zuhur
dan memendekkannya pada rakaat yang kedua. Begitu juga pada saat solat subuh.”
Dari keterangan Abu Hurairah Radhiyallahu ‘Anhu tersebut
menjelaskan kepada kita terutama dalam kalimah, “Sesekali beliau
memperdengarkan ayat yang beliau baca” bahawa terdapat kebolehan menjaharkan
bacaan surah pada solat yang biasanya sirr seperti solat zuhur ataupun asar.
Sehingga bacaan yang dilakukan dengan sirr atau jahar bukan menjadi syarat
sahnya suatu solat.
Firman Allah berikut ini akan semakin memperjelas alasan
mengapa solat zuhur dan asar tidak bersuara.
“Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan
janganlah pula merendahkannya dan carilah jalan tengah diantara keduanya itu.”
(QS Al Isra 110)
Tafsir ayat tersebut menjelaskan bahawa ketika Rasulullah
berada di Mekkah, beliau melaksanakan solat berjamaah bersama para sahabat
dengan mengeraskan bacaan surah. Ketika kaum musyrikin Mekkah mendengarnya,
mereka pun mencaci maki bacaan tersebut, mencaci maki pula Dzat yang
menurunkannya dan mencaci maki orang yang menyampaikannya. Kerana sikap itulah,
maka Allah pun berfirman, “Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam
solatmu” Sehingga jika dipanjangkan maka kalimatnya akan menjadi, “Jangan
keraskan bacaanmu sehingga orang-orang musyrik mendengarnya.”
Akan tetapi Allah juga menyampaikan, “Dan janganlah pula
merendahkannya.” Sehingga bacaan mesti tetap terdengar oleh para sahabat yang
berada di saf pertama. Maka kerana itu Allah memerintahkan Rasul untuk mencari
jalan pertengahan diantara keduanya.
Dalam riwayat yang lain terdapat keterangan yang menyatakan,
“Maka setelah berhijrah ke Madinah perintah tersebut telah gugur. Beliau boleh
melakukan yang beliau kehendaki dari keduanya.”
Dengan melihat berbagai keterangan tersebut, maka
menzahirkan bacaan saat solat maghrib, isya dan subuh serta mensirr-kan bacaan
solat zuhur dan asar adalah pengamalan yang dilakukan saat solat pertama kali
disyariatkan. Allah memerintahkan tidak menzaharkan ketika siang hari supaya
tidak menjadi celaan bagi kaum musyrikin.
Adapun mengapa solat jumaat, solat hari raya, solat istisqa
beserta solat lainnya yang dilakukan siang hari bersuara nyaring dikeranakan
Nabi dan kaum muslim sudah hijrah ke Madinah dimana kekuatan umat Islam sudah
terbentuk serta tidak akan ada kaum musyrik yang berani mencela.
Demikian penjelasan mengapa solat zuhur dan asar tidak
bersuara. Semoga menambah wawasan bagi kita dalam mengenal aturan yang ada
dalam solat dan tidak menyalahkan jika ada yang menzaharkan bacaan pada solat
zuhur dan asar.
Wallahu A’lam
loading...
0 Response to "Rupanya Solat Zuhur Dan Asar Tak Dikuatkan Bacaannya Adalah Kerana Sebab-sebab Berikut"
Post a Comment