Azan adalah kalimat yang sentiasa berkumandang di negara
kita. Sebagai Muslim, seruan azan ini amat penting kerana ia menjadi tanda
masuknya waktu solat fardu lima kali sehari semalam. Mereka yang
menunggu-nunggu waktu solat dinyatakan oleh Rasulullah SAW sebagai antara
tujuh golongan yang mendapat perlindungan di akhirat kelak.
Gambaran tentang keadaan di mahsyar sudah banyak kita dengar
dan baca. Umumnya ia adalah keadaan yang amat sulit dan sukar diluahkan dengan
kata-kata. Bagi menggambarkan suasana itu, Allah berfirman yang bermaksud:
"Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya,
daripada ibu bapanya, daripada isteri dan anak-anaknya. Setiap orang daripada
mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya". (Abasa:
34-37)
Di mahsyar, jutaan manusia berkumpul, tingkah lakunya tidak
keruan, merasakan sangat lapar dan dahaga, panas terik kerana matahari berada
sejengkal di atas kepala. Masing-masing sangat susah sehingga badannya panas,
otaknya mendidih, menangis dengan keluh kesah dan menyesal. Menyesali
perbuatannya ketika di dunia.
Keadaan yang sangat panas menyebabkan peluh mengalir deras
persis diperah. Peluh orang sekian banyak memenuhi mahsyar sehingga seperti air
bah. Semua orang tenggelam oleh banjir peluh.
Ada yang sampai buku lali, ada yang sampai ke betis, ada
yang sampai ke lutut, ada yang sampai ke paha dan ada yang tenggelam terus
dalam peluh. Semua itu menurut dosa masing-masing ketika di dunia.
Setelah manusia merasakan kesusahan yang tidak terhingga
beribu tahun lamanya, dan kesudahan yang mencapai puncaknya, maka mereka
mencari syafaat (pertolongan) para nabi supaya memohon syafaat kepada Allah.
Justeru amat penting bagi kita berusaha melakukan amalan
yang mana akan menjamin Rasulullah SAW memberi syafaat dalam saat-saat yang
sangat genting di mahsyar. Antara amalan yang mudah tetapi mampu memberi
syafaat adalah membaca doa selepas azan. Sayangnya masih ramai yang tidak
mengambil serius bab ini.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya;
“Siapa yang mengucapkan selepas mendengar azan: Allaahumma
Rabba hadzihi al-da’wati al-taammati wa al-solati al-qa-imah, Aati Muhammadan
al-wasilata wa al-fadhilah, wab’atshu Maqaman Mahmudan alladzi wa’adtah” (Ya
Allah, Tuhan pemilik seruan yang sempurna ini dan solat yang didirikan, berilah
kepada Muhammad al-wasilah dan kelebihan, dan bangkitkan baginda di kedudukan
terpuji yang telah Engkau janjikan baginya); maka halal baginya syafaatku pada
hari kiamat. (Riwayat Bukhari)
Secara umum, syafaat bererti perantara seseorang dengan
yang lain; sama ada antara manusia dengan manusia, atau dalam isu ini antara
hamba dengan Allah, demi mendapat maslahat atau menolak mudarat. Syafaat Nabi
SAW bermaksud Rasulullah SAW menjadi perantara antara umat baginda dengan Allah
SWT.
Rasulullah SAW dikurniakan syafaat Al-Uzhma (yang paling
besar) seperti yang disebut dalam hadis di mana semua nabi menolak memberi
syafaat sehingga akhirnya manusia pergi kepada Nabi Muhammad SAW.
Kedua, syafaat kepada ahli syurga untuk masuk syurga.
Rasulullah akan menjadi penghulu bagi seluruh ahli syurga.
Ketiga, syafaat untuk pak cik baginda, Abu Talib. Walaupun
mati dalam kekufuran, disebabkan beliau menjaga nabi daripada gangguan kafir
Quraisy, Allah mengizinkan Rasulullah memberi syafaat kepadanya dengan
dikurangkan azab neraka ke atasnya. Azab paling minimum itu di mana api neraka
hanya sampai di pergelangan kakinya pun begitu, ia menggelegakkan otak.
Keempat, syafaat untuk mengeluarkan pelaku dosa besar atau
kecil dari neraka dan dimasukkan ke syurga, dan kepada orang yang masuk neraka
untuk tidak masuk neraka.
Sumber: Utusan
loading...
0 Response to "Doa Selepas Azan, Rahsia Syafaat Rasulullah SAW Yang Ramai Akan Menyesal Sebab Selama Ini Tidak Mengamalkannya..."
Post a Comment