1. Kenapa Amerika Syarikat (AS) tergesa-gesa menyerang Syria
tanpa menunggu hasil siasatan penuh tragedi senjata kimia oleh badan bebas?
Kenapa Donald Trump mungkir janji kempen pilihan raya untuk
bekerjasama dengan Bashar serta Rusia bagi menyelesaikan konflik Syria?
Adakah serangan Donald Trump ini mengundang tindakbalas yang
jauh lebih agresif dari Syria dan Rusia sekaligus menjerumuskan Timur Tengah ke
kancah Perang Dunia Ketiga?
2. Pergolakan dalaman di Rumah Putih: Donald Trump awalnya
pro-Rusia, lihat sahaja manifesto dan ucapan kempennya ketika menentang Hillary
Clinton dahulu.
Namun, kemenangan beliau dalam pilihan raya AS mula disiasat
kerana disyaki ada campur tangan Kremlin. Penasihat Keselamatan yang dilantik,
Michael Flynn turut meletak jawatan kerana mempunyai hubungan dengan Rusia.
Penasihat strategik Donald Trump, Steve Bannon juga
digugurkan daripada Majlis Keselamatan Negara AS. Banyak usaha Donald Trump
turut ditekan oleh Kongres dan kehakiman.
Kesemua perkembangan terkini politik dalaman AS ini berkemungkinan
besar menjelaskan sebab Donald Trump terpaksa bertindak tegas terhadap Rusia
dan Syria, berbeza dengan manifesto pilihan raya beliau dahulu.
3. AS melancarkan serangan ke atas Lapangan Tentera Udara
Shayrat, Homs milik Syria dengan 59 peluru berpandu Tomahawk dibedil dari dua
kapal perang AS di Laut Mediterranean, iaitu USS Ross dan USS Porter.
Sasarannya ialah pesawat pejuang, pelindung pesawat pejuang,
simpanan logistik dan petroleum, kubu bekalan peluru, sistem pertahanan udara
dan radar.
Donald Trump berkata serangan ini untuk ‘mencegah penyebaran
dan penggunaan senjata kimia’.
AS memaklumkan bahawa mereka telah memberi amaran kepada
Rusia sebelum menyerang dan mereka mengetahui adanya kehadiran tentera Rusia di
kawasan serangan yang mereka sasarkan.
4. Asas serangan AS ialah dakwaan bahawa kerajaan Syria
pimpinan Bashar al-Assad yang bertanggunjawab menggunakan senjata kimia gas
Sarin di Khan Al Shekhoun.
Terdapat saksi yang menuduh pesawat Sukhoi 22 milik kerajaan
Syria melancarkan senjata kimia tersebut.
5. Sebaliknya Rusia menuduh senjata kimia itu milik puak
pemberontak Syria, kerana ia sama seperti kesan senjata kimia yang digunakan
puak pemberontak di Aleppo tahun lalu.
Maka Kremlin menegaskan tindakan puak pemberontak Syria yang
menyimpan senjata kimia di Idlib yang sepatutnya disiasat dan dipersalahkan.
Rusia turut menggunakan kuasa veto terhadap usaha AS,
Perancis dan UK di PBB untuk mengenakan sekatan terbaru ke atas Syria kerana
tiada usaha siasatan terperinci oleh badan bebas dilakukan.
6. Penasihat Keselamatan Nasional AS yang baharu, H.R.
MacMaster berhujah: ‘serangan udara AS ini memang tidak akan menghapuskan
keupayaan Assad untuk melancarkan serangan senjata kimia sekali lagi, namun ia
memadai bagi mengubah perkiraan Assad selepas ini’.
7. Pastinya tidak menghairankan apabila antara kumpulan yang
menyambut baik serangan udara Donald Trump ke atas Syria ini ialah pemberontak
bersenjata Syria seperti Ahrar Al Sham yang ‘mengalu-alukan sebarang campur
tangan AS yang boleh mencegah keupayaan rejim Assad’.
8. Dmitry Peskov jurucakap Presiden Putin menegaskan
serangan Tomahawk ini memburukkan hubungan AS-Rusia.
Serangan tersebut disifatkan sebagai ‘serangan ke atas
negara berdaulat dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa’.
Rusia menegaskan bahawa AS ‘mengambil tindakan tanpa
berfikir panjang dan akan memburukkan keadaan keselamatan global sedia ada’.
9. Akibatnya, Rusia menggantung perjanjian keselamatan udara
Syria dengan AS dan menggesa mesyuarat tergempar diadakan di Majlis Keselamatan
PBB bagi membincangkan serangan AS ini.
Rusia menurut Mejar Jeneral Igor Konashenkov juga sudah pun
mengambil keputusan memperluaskan penglibatan tentera Rusia di Syria melalui
program peningkatan sistem pertahanan udara.
Rusia menegaskan AS sebenarnya memang bersedia untuk
menyerang Syria sebelum peristiwa senjata kimia di Idlib lagi berdasarkan
posisi kapal tentera laut AS berkenaan.
10. Naib utusan Rusia ke PBB, iaitu Vladimir Safronkov
pernah memberi amaran sebelum ini tentang akibat kemungkinan serangan tentera
AS ke atas Syria.
Beliau memberi contoh situasi huru-hara anarki di Iraq dan
Libya apabila jalan pertumpahan darah diambil mengatasi jalan rundingan telus.
11. Dalam keadaan rejim Bashar mula kukuh susulan kemenangan
di Aleppo, serangan Donald Trump ini cukup berpotensi untuk memberi isyarat
kemungkinan campur tangan AS yang lebih agresif pada masa depan.
Sekaligus, rejim Bashar dengan sokongan Rusia (dan juga
China) bakal mengatur posisi strategik ketenteraannya ke tahap yang lebih
maksimum!
nota editor: ABDUL MUEIN ABADI, Pensyarah Program Sains
Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
sumber: sinarharian
anda mungkin meminati
loading...
0 Response to "Serangan Terbaharu AS Bukti Syria Medan Perang Dunia Ketiga? "
Post a Comment