Assalamualaikum.
Soalan : Benarkah wanita berhaid boleh baca al-Quran dan
pegang al-Quran terjemahan?
Waalaikumussalam.
* Bagi setengah orang awam di tempat kita yang mempelajari
fiqh mazhab syafi'i secara umum sahaja, mereka sangat sensitif dalam soal ini.
Apatah lagi jika mereka tidak memahami bahasa Arab, dan tidak mengetahui
pendapat-pendapat lain dalam mazhab fiqh, (termasuk pandangan berbeza dalam
mazhab syafi'i sendiri), serta tidak pernah mendapat pendedahan tentang dalil
ayat al-Quran dan hadith sesuatu amalan yang dilaksanakan.
Samalah seperti kita dahulu, semasa sekolah. Sebab ketika
itu kita hanya belajar satu pendapat sahaja. Kita hanya bergantung kepada
sukatan pelajaran dalam tingkatan tertentu ketika itu, belum didedahkan kepada
mazhab-mazhab fiqh yang lain, dan kita belum mampu membuat kajian ilmiah dan
membaca kitab-kitab lain. Apabila diberitahu oleh seseorang bahawa wanita
berhaid boleh baca ataupun pegang al-Quran, tentulah kita berasa pelik.
Oleh yang demikian, persoalan sebegini perlu dibincangkan
dalam majlis ilmu sahaja, ataupun dalam perbincangan secara ilmiah, bukan
sebagai topik perdebatan awam.
Kita jawab soalan Sila dengan cara terbuka, kerana kita
fikir ahli usrah memang terbuka dan sudah terdedah kepada dalil-dalil amalan
ibadah yang kita kerjakan, dengan mengikuti perbincangan dan
perbahasan para ulama' fiqh dan hadith salam majlis-majlis
ilmu sebelum ini.
* Dalam ilmu agama, sangat penting kita mengetahui yang mana
menjadi khilaf (perselisihan pendapat di kalangan ulama' dalam skop yang
dimaafkan) dan yang mana yang tidak. Adalah tidak patut dan tidak berbaloi
bergaduh jika perkara itu khilaf. Pilihlah pendapat yang paling baik, yang
paling jelas dalilnya.
Tetapi jangan pula terpengaruh dengan ajaran yang menyimpang
dengan alasan mereka juga ada sandaran dalil. Syiah pun berdalilkan al-Quran
dan hadith juga. Begitulah juga mereka yang menyembah kubur di negara2 umat
Islam, dan amalan2 lain yang tiada sandaran. Mereka hendak melakukan perkara
yang dilarang dalam agama, lalu mereka ada-adakan dalil dari al-Quran dan
hadith tanpa disiplin. Jadi, kita sangat perlukan disiplin
yang betul dalam beragama.
Para ulama' bertoleransi, hormati menghormati apabila ada
perbezaan dalam fiqh, namun mereka semua bersepakat dalam perkara teras dan
asas, serta sangat tegas membanteras syirik dan bid'ah.
Dalam erti kata lain, kalau kita tidak pandai memandu
sendiri, kita memang terpaksa memilih pemandu yang baik, bertaqwa dan amanah,
membawa kita ke jalan yang lurus. Salah pemandu, salahlah jalan yang kita
lalui.
Itulah tinggi nilainya doa yang kita ulangi dalam surah
al-Fatihah :
اهدنا الصراط المستقيم
* Hukum wanita berhaid membaca dan memegang al-Quran
termasuk dalam perkara fiqh yang
menjadi khilaf di kalangan ulama'. Kita boleh pegang
pendapat yang paling kita yakini, setelah kita belajar daripada sumber dan guru
yang betul.
* Kita ringkaskan rujukan dari 3 kitab untuk memudahkan, dan
kitab ini memang menjadi rujukan yang dimaklumi oleh ahli ilmu. Ustazah-ustazah
dalam group ini boleh rujuk jika memiliki.
1. Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah wa al-Bait al-Muslim
2. Sahih Fiqh Sunnah
3. Al-Fiqh al-Manhaji 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'i
* Kita ringkaskan pendapat2 para ulama' seperti berikut :
1. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid haram membaca
al-Quran dan haram memegang al-Quran. Antara ulama' yang berpendapat begini
ialah al-Imam al-Syafi'i.
Yang dibenarkan hanya baca ayat-ayat yang diniatkan sebagai
zikir sahaja, seperti
بسم الله الرحمن
الرحيم
dan
ربنا اتنا في
الدنيا حسنة وفي الاخرة
حسنة وقنا عذاب النار
2. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca
al-Quran tetapi haram memegang al-Quran.
Maknanya, boleh baca al-Quran seperti biasa, tidak perlu
niat sebagai zikir, cuma tidak boleh pegang al-Quran.
(Terjemahan al-Quran dan kitab agama yang mengandungi banyak
ayat al-Quran tidak dikira sebagai mushaf/ al-Quran.)
3. Ulama' yang mengatakan wanita berhaid boleh membaca
al-Quran dan boleh memegang al-Quran.
Maknanya, haid tidak menghalang seseorang wanita untuk
membaca dan menyentuh al-Quran.
Dengan kata lain, ulama' golongan ketiga TIDAK memasukkan
membaca dan menyentuh al-Quran sebagai perkara yang haram dilakukan oleh wanita
berhaid.
Antara yang berpendapat begini ialah Imam al-Bukhari dan Ibn
Hazm.
*****
* Para ulama' yang disebutkan tadi berselisih pada beberapa
dalil, panjang perbahasannya. Dalam perbincangan ini, kita ambil satu sahaja,
iaitu ayat al-Quran. Firman Allah swt :
إنه لقرآن كريم (٧٧)
في كتاب مكنون (٧٨)
لا يمسه إلا
المطهرون (٧٩) تنزيل من
رب العالمين (٨٠)
Maksudnya :
"Dan sesungguhnya (yang dibacakan kepada kamu itu
adalah) Al-Quran yang sangat mulia. Tersimpan dalam kitab yang terpelihara
(lauh mahfuz). Tiada yang menyentuhnya selain hamba-hamba yang disucikan.
Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan semesta alam."
Bagi ulama' golongan ketiga,
'لا يمسه الا المطهرون'
bukan merujuk kepada makhluk yang menyentuh al-Quran di bumi. Pada mereka,
berdasarkan konteks ayat sebelum dan selepasnya ;
a. 'nya' dalam 'menyentuhnya' itu bukan al-Quran di dunia,
tetapi al-Quran yang terpelihara di kitab/tablet 'luh mahfuz'.
b. Hamba-hamba yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah
makaikat2 yang disucikan daripada
melakukan sebarang dosa.
Maknanya, ayat itu tidak menunjukkan wanita berhaid tidak
boleh memegang al-Quran.
* Dari segi membaca, bagi golongan ketiga, hadith yang
menyebut larangan wanita berhaid membaca al-Quran, adalah hadith yang lemah.
Pada mereka, tidak ada dalil yang kuat menunjukkan bahawa wanita berhaid tidak
dibenarkan membaca al-Quran, sedangkan perkara itu penting. Jika benar2 haram
tentu banyak riwayat sahih mengatakannya.
Kesimpulan :
Kalau hendak detailkan dalil satu persatu, perlu hadiri
kelas pengajian, khususnya kelas Fiqh Sunnah, yang diulas oleh mereka yang ahli
dalam bidangnya, supaya kita boleh belajar dalil al-Quran dan hadith pada
setiap amal ibadat yang kita lakukan.
Apapun, demikianlah ringkasnya, khilaf dalam perkara fiqh
memang banyak.
Bagi orang awam, dengan kemampuan mereka, tidak mahu pening
kepala, lebih baik ikut sahaja apa yang pernah dipelajari secara ringkas
seperti zaman sekolah, iaitu satu mazhab sebagai asas.
Bagi mereka yang ingin terus belajar fiqh perbandingan, bila
sudah jelas hujah, dipelajari dengan berdisiplin dan berguru, pilihlah pendapat
yang paling baik, paling dekat dengan nas al-Quran dan al-hadith, dan hormati
orang lain yang ambil pendapat yang berbeza dengan kita.
Namun sekali lagi kita ulangi, para ulama' fiqh tidak
berkompromi, malahan mereka sepakat sangat tegas dalam bab akidah, iaitu soal
syirik dan bid'ah.
Itu persoalan yang berbeza.
والله أعلم
sumber: islam pelita hidup
loading...
0 Response to "BOLEHKAH MEMBACA AL-QURAN SEMASA HAID"
Post a Comment