Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w.
untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba munculah seseorang,
lalu mencuri segenggam makanan. Namun Abu Hurairah berjaya menangkapnya. “Akan
aku adukan kamu kepada Rasulullah s.a.w.,” gertak Abu Hurairah. Bukan main
takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, sehingga dia merayu :
“Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya ramai dan saya sangat
memerlukan makanan.”Maka pencuri itu pun dilepaskan.
Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah
s.a.w. Maka bertanyalah beliau : “Apa yang dilakukan kepada tetamu semalam, ya
Abu Hurairah?” Dia mengeluh, “Ya Rasulullah, dia seorang miskin, keluarganya
ramau dan sangat memerlukan makanan,” jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula
olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu, lalu dilepaskannya.
“Dia berbohong ” kata Nabi Muhammad s.a.w.: “Pada waktu
malam nanti dia akan datang lagi.”
Kerana Rasulullah s.a.w. berkata begitu, maka penjagaannya
diperketatkan, dan kewaspadaan pun dipertingkatkan.
Dan, benar sekali pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil
makanan seperti semalam. Kali ini dia juga tertangkap. “Akan aku adukan kamu
kepada Rasulullah s.a.w.,” ugut Abu Hurairah, sama seperti malam sebelumnya.
Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : “Saya orang miskin, keluarga
saya ramai. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi.”
Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang
itu, dan kali ini pun dia dilepaskan. Pada paginya, kejadian itu dilaporkan
kepada Rasulullah s.a.w., dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah
mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah s.a.w. menegaskan : “Pencuri
itu bohong, dan malam nanti dia akan kembali lagi.”
Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan lebih berwaspada.
Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri
disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu
benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. dan dia berjaya
menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi. Hatinya
sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Beliau
kesal. Kenapa pencuri semalam itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke
hadapan Rasulullah s.a.w.?
Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba
muncul bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dijaganya.
“Benar, dia datang lagi,” katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri
itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya
benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya.
“Kali ini kau pastinya ku adukan kepada Rasulullah s.a.w.. Sudah dua kali kau
berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga.
Lepaskan saya,” pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang
menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini ia tidak akan dilepaskan
lagi.
Maka dengan rasa putus asa ahirnya pencuri itu berkata :
“Lepaskan saya, saya akan mengajar tuan beberapa kalimah yang sangat berguna.”
“Kalimah-kalimah apakah itu?” Tanya Abu Hurairah dengan rasa
ingin tahu. “Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha
illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan
akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani
mendekati tuan sampai pagi.” Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah.
Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah s.a.w.
untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorang pencuri
yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi. “Apa yang dilakukan oleh tawananmu
semalam?” tanya Rasulullah s.a.w. sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan
segalanya. “Dia mengajarku beberapa kalimah yang katanya sangat berguna, lalu
ia saya lepaskan,” jawab Abu Hurairah. “Kalimah apakah itu?” tanya Nabi
Muhammad s.a.w.. Katanya : “Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa
Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia
katakan pula : “Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh
Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari.”
Mendengar cerita Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. berkata,
“Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya dia tetap seorang
pendusta.” Kemudian Nabi Muhammad s.a.w. bertanya pula : “Tahukah kamu, siapa
sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?” “Entahlah.” Jawab Abu
Hurairah. “Itulah syaitan.” jawab Nabi Muhammad s.a.w
loading...
0 Response to "Kisah Syaitan Mengajar Abu Hurairah Ayat Kursi. Maka Terbongkarlah Kehebatan Ayat Kursi..Tapi Mengapa Syaitan Mengajar Beliau Ayat ini??? "
Post a Comment