Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah S.W.T
kepada Rasulullah S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-Quran di
turunkan sedikit demi sedikit hingga sempurna 30 juzuk.
Untuk menghidupkan al-Quran dalam jiwa kita, kita perlu
membaca, melihat makna dan tafsirnya dan cuba sedaya upaya untuk menghayati di
dalam kehidupan sehari-hari, kerana akhlak Rasulullah S.A.W adalah al-Quran
seperti mana Siti Aisyah menyatakan bahawa akhlak Rasulullah adalah al-Quran.
Dalam hadis Rasulullah S.A.W. baginda ada menyebut tentang
orang yang tidak ada langsung membaca al-Quran dan rongga mulutnya kosong
dengan ayat-ayat al-Quran seperti rumah yang kosong dari penghuni.
Hadis dari Rasulullah S.A.W. maksudnya :
"Sesungguhnya orang yang tidak ada pada rongganya
sedikitpun daripada al-Quran seperti rumah yang ditinggalkan kosong."
Seseorang yang membaca Al-Quran seolah-olah ia berada di
sisi Allah S.W.T dan bermunajat kepadaNya maka hendaklah menjaga adab-adab yang
tertentu yang layak di sisi Tuhan Yang Maha Agong lagi Maha Mulia. Ulama-ulama
muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:
1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana
membaca al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang
lain.
2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang
layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian al-Quranul Karim. Para
Ulama berpendapat sunat membaca al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan
mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.
3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.
4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut
tempat mengeluarkan suara menyebut ayat al-Quran. Hadis Rasulullah S.A.W. berbunyi:
"Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan
jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi."
Berkata Yazid bin Abdul Mallek: "Sesungguhnya
mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah
dengan bersugi."
5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca
al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan
seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah
sesungguhnya Allah tetap melihat kita.
6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong
ketika membaca al-Quran.
7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca
al-Quran.
8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh
tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak
dapat dielakkan adalah harus.
9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah
membaca Istiazah: (A'uzubillahiminasy-syaitannirrajim).
Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang
kena rejam.
10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah:
(Bismillahirrahmanirrahim).
Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah
kecuali pada surah At-Taubah.
11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila
terputus bacaan di luar daripada al-Quran.
12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum
tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat
yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Kami membaca al-Quran
itu dengan tartil."
(Surah Al-Furqan ayat 32)
"Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil."
(Surah Al-Muzammmil ayat 4)
Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara
itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah
Tajwid ialah membaca al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf
dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya.
Saydina Ali k.w berkata: "Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan
huruf-huruf al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya."
13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca
sehingga dapat mengetahui tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.
Allah S.W.T. berfirman maksudnya : "Inilah al-Quran
yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’ ayat 9)
Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Kami turunkan Al-Quran
sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin."
(Surah Al-Isra’ ayat 82)
Firman Allah S.W.T. lagi maksudnya : "Ini adalah sebuah
kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka
memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang
mempunyai fikiran.
(Surah Sad ayat 29)
14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas
sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis
dari Rasulullah S.A.W. berbunyi:
Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada
Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca satu
huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap
kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf
tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf."
15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib mashaf.
Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan
surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.
16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan
menguap kerana seseorang yang sedang membaca al-Quran ia bermunajat kepada
Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap
adalah dari syaitan.
Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca
al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati al-Quran sehingga
selesai menguap.
17. Hendaklah meletakkan al-Quran di riba atau di tempat
yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang
rendah. Sabda Rasulullah S.A.W.:
Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W.
bersabda maksudnya : “Wahai kaum ahli-ahli al-Quran jangan gunakan al-Quran
sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan
malam.”
18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan
suara yang baik.
Sabda Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi
Muhammad S.A.W maksudnya : "Hiasilah al-Quran dengan suara-suara
kamu."
19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
(Sadaqallahul’azim).
20. Disunatkan berpuasa di hari khatam al-Quran dan diikuti
dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari
khatam al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah
khatam al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:
Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : "Sesiapa
yang telah khatam al-Quran baginya doa yang dimakbulkan."
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita membaca al-Quran, meneliti
terjemahannya dan melihat tafsirnya supaya al-Quran itu hidup dalam hati kita.
Oleh itu jadikan bacaan al-Quran ini rutin harian kehidupan kita untuk mencari
keredaan Allah S.W.T. sebaik-baiknya membaca 1juzuk sehari, jika tidak mampu
cuba pastikan sehari membaca satu muka surat, semoga dengan ini akan jadilah
al-Quran itu sebagai satu cara hidup kita.
Sumber: http://abubasyer.blogspot.my
loading...
0 Response to "Adab Membaca Al-Quran - Sempena Ramadan"
Post a Comment