Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau
sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut
dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif
‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah
r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang
mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa
meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan
pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang
perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan
sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam).
Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan
sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan
minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara
yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam,
Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban
menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith,
Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah
ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di
akhir malam.
Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari
mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah
bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut
bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut
waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan
melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi
SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa
ibadah lain.
Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada
hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan
ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي
الدعاء أسمع ؟ : قال
: جوف الليل الأخير ودبر
الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) :
Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t)
; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" (
Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ;
Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa.
Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar,
solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi
tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan
menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana
Terawih.
Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat
tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua
solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang
disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka
beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan
meriah.
Malanglah mereka
kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu (
samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya
atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang
ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya
sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang
hari dengan alasan berpuasa.
Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat
ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya
memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.
8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia
adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang
menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur
hingga tidak puasa.
Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah
‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan
bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan
sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan
lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu.
Atau jangan sesekali masih makan melepasi waktu imsak lalau mengganggap
puasanya sudah terbatal. Waktu yang disepakati ulama merupakan waktu penamat
sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm
278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga
aurat.
Ini nyata apabila
ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan
aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di
hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih
tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi
dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran,
pelaburan dan kereta secara riba.
Ini sudah tentu akan
memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana
status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan
RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa
Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali
ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ
الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ
أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى
السَّمَاءِ يا رَبِّ يا
رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ
وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ
فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir
dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana
dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan
makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan
dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (
Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang
berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram,
insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita
perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri
dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka.
Ini satu lagi jenis
kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم
, الإمام العادل , والصائم حتى يفطر
ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa
mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang
yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad
Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin
berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره
دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika
berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn
Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
loading...
0 Response to "12 Kesilapan Kerap Muslim Dalam Bulan Ramadhan"
Post a Comment