Dua bilah kayu disatukan dengan paku. Dua ketul bata
disatukan dengan simen. Dua hati di satukan dengan apa? Jawabnya, dengan iman.
Dua hati yang beriman akan mudah disatukan. Jika dua hati
mengingati yang SATU, pasti mudah keduanya bersatu.
Begitulah dua hati suami dan isteri, akan mudah bersatu bila
iman di dalam diri masing-masing sentiasa disuburkan.
Bukan tidak pernah terguris. Bukan tidak pernah bertelagah.
Tetapi jika di hati sama-sama masih ada ALLAH, perdamaian akan mudah menjelma
semula.
Yang bersalah mudah meminta maaf. Yang benar mudah memberi
maaf. Tidak ada dendam memanjang. Masam cuma sebentar. Pahit hanya sedikit.
Itulah yang ditunjuk oleh teladan rumah tangga Rasulullah
s.a.w. Ada ribut… tetapi sekadar di dalam cawan. Ada gelombang… tetapi
cepat-cepat menjadi tenang.
Jika ditanyakan kepada dua hati yang bercinta, siapakah yang
lebih cinta pasangannya? Maka jawabnya, siapa yang lebih cintakan Allah, dialah
yang lebih cintakan pasangannya.
Justeru, janganlah hendaknya hanya berfikir bagaimana hendak
mengekalkan cinta antara kita berdua, tetapi berusahalah terlebih dahulu agar
mencintai kepada yang Esa. Jika kita bersama cintakan yang Maha Kekal, pasti
cinta kita akan berkekalan.
Jika paku boleh berkarat, simen boleh retak, maka begitulah
iman, boleh menaik dan menurun. Iman itu ada “virusnya”. Virus iman ialah ego
(takbur).
Jangan ada takbur, cinta pasti hancur. Orang takbur merasa
dirinya lebih mulia, pasangannya lebih hina. Jika demikian, manakah ada cinta?
Cinta itu ibarat dua tangan yang saling bersentuhan. Tidak
ada tangan yang lebih bersih. Dengan bersentuhan, keduanya saling membersihkan.
Tetapi ‘tangan’ yang ego, tidak mahu bersentuhan… Konon takut dikotorkan oleh
tangan yang lain!
Bila berbeza pandangan, pandangannya sahaja yang benar. Kau
isteri, aku suami. Aku ketua, kau pengikut. Aku putuskan, kau ikut saja. Jangan
cuba menentang.
Menentang ertinya dayus. Maka terkapa-kapalah sang isteri
tanpa boleh bersuara lagi. Sedikit cakap, sudah dibentak.
Senyap-senyap, isteri menyimpan dendam. Suami ‘disabotaj’nya
dalam diam. Tegur suami, dijawabnya acuh tak acuh. Senyumnya jadi tawar dan
hambar. Perlahan-lahan, jarak hati semakin jauh. Cinta semakin rapuh.
Ada pula isteri yang ego. Heroin sudah mengaku hero. Suami
dicaturnya satu-satu. Tidak jarang meninggikan suara. Silap suami yang sedikit
didera dengan rajuknya yang panjang. Anak-anak dibiarkan.
Dapur berselerak. Pinggan mangkuk tidak dibasuh. Kain baju
sengaja disepah-sepahkan. Rasakan akibat menentang aku. Mengaku salah tidak
sekali. Minta maaf? Pantang sekali!
Ego sisuami selalunya terserlah. Boleh dilihat daripada
jegilan mata dan suara yang meninggi. Mungkin pintu dihempaskan dengan kuat
atau hon kereta ditekan bertalu-talu.
Atau boleh jadi diherdik siisteri di hadapan anak-anak atau
isteri diperleceh di hadapan saudara mara atau tetamu yang datang. Bila ramai
yang datang bertandang itulah masa sisuami yang ego ini menunjukkan kuasa dan
belangnya.
Ego siisteri terpendam. Mungkin kerana tidak ada dominasi
kuasa atau keberanian, siisteri menunjukkan egonya dengan bermacam-macam-macam
ragam. Daripada sengaja melaga-lagakan pinggan yang dibasuh… sehinggalah
memalingkan badan dan muka ketika di tempat tidur.
Alhasil, cuaca rumah tangga menjadi muram. Rumah hanya jadi
‘house’ tidak jadi ‘home’ lagi. Tidak ada keceriaan, kehidupan dan kemanisannya
lagi.
Semuanya bungkam. Ya, rumah (house) dibina dengan batu, kayu
dan konkrit, manakala rumah tangga (home) dibina dengan kasih sayang, cinta dan
sikap saling menghormati.
Tidak ada rindu yang menanti suami ketika pulang dari
bekerja. Tidak ada kasih yang hendak dicurahkan oleh suami kepada isteri yang menanti
di rumah. Anak-anak jadi kehairanan? Apa sudah jadi pada kedua ibu-bapa ku?
Bila ada ego di hati, cinta akan menjauh pergi. Retak akan
menjadi belah. Kekadang hati keduanya merintih, mengapa jadi begini? Bukankah
antara aku dan dia ada cinta? Mengapa terasa semakin jarak?
Apakah yang perlu aku dan dia lakukan untuk menyemarakkan
semula rasa cinta. Lalu akal berfikir, berputar-putar mencari idea. Oh, mari
ulangi musim bulan madu yang lalu. Kita susuri pulau, tasik, laut atau lokasi
pertemuan kita nan dulu.
Malang, cuma sebentar. Gurau, senda cuma seketika. Tidak
mampu lagi memutar jarum kenangan lama dengan hati yang telah berbeza. Tidak
ada lagi tarikan fizikal yang ketara.
Cumbu berbaur ghairah seakan telah terlupa. Bulan madu yang
cuba diperbaharui tidak menjadi… kedua hati bercakar lagi. Mereka cuba
memperbaharui lokasi, tanpa memperbaharui hati.
Selagi ada ego, ke mana pun tidak akan menjadi. Jika ada
ego, yang wangi jadi busuk, yang manis jadi tawar, yang indah jadi hambar.
Ada juga pasangan yang hendak ‘membeli’ cinta. Ingin
dibangkitkan kembali rasa cinta dengan mata benda. Nah, ini kalung emas ribuan
ringgit sebagai tanda cinta ku masih pada mu, kata suami. Dan ini pula cincin
berlian untuk memperbaharui kemesraan kita, balas siisteri.
Masing-masing bertukar hadiah. Semoga dengan barang-barang
berharga itu akan kembalilah cinta. Namun sayang sekali, sinar emas, cahaya
berlian, tidak juga menggamit datangnya cinta. Cinta diundang oleh nur yang ada
di hati. Nur itu tidak akan ada selagi ego masih ada di jiwa.
Susurilah cinta yang hilang di jalan iman. Buanglah kerikil
ego yang menghalang. Ego hanya membina tembok pemisah di antara dua hati
walaupun fizikal masih hidup sebumbung.
Mungkin di khalayak ramai, masih tersenyum dan mampu
‘menyamar’ sebagai pasangan yang ideal tetapi hati masing-masing TST (tahu sama
tahu) yang kemesraan sudah tiada lagi.
Pasangan yang begitu, boleh menipu orang lain. Namun,
mampukah mereka menipu diri sendiri?
Yang retak akhirnya terbelah. Penceraian berlaku. Mereka
berpisah. Masyarakat yang melihat dari jauh pelik, mengapa begitu mesra
tiba-tiba berpisah? Tidak ada kilat, tidak ada guruh, tiba-tiba ribut melanda.
Oh, mereka tertipu.
Perpaduan yang mereka lihat selama ini hanyalah lakonan.
Allah membongkar rahsia ini menerusi firman-Nya:
“Kamu lihat sahaja mereka bersatu tetapi hati mereka
berpecah.”
Carilah di mana Allah di dalam rumah tangga mu. Apakah Allah
masih dibesarkan dalam solat yang kau dirikan bersama ahli keluarga mu? Apakah
sudah lama rumah mu menjadi pusara akibat kegersangan zikir dan bacaan Al
Quran?
Apakah sudah luput majlis tazkirah dan tarbiah yang menjadi
tonggak dalam rumah tangga? Di mana pesan-pesan iman dan wasiat taqwa yang menjadi
penawar ujian kebosanan, kejemuan dan keletihan menongkah arus ujian?
Penyakit ego menimpa apabila hati sudah tidak terasa lagi
kebesaran Allah. Orang yang ego hanya melihat kebesaran dirinya lalu memandang
hina pasangannya.
Hati yang ego itu mesti dibasuh kembali dengan rasa
bertauhid menerusi ibadah-ibadah khusus – solat, membaca Al Quran, berzikir,
bersedekah – dan paling penting majlis ilmu jangan diabaikan.
Firman Allah:
“Dan berilah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu memberi
manfaat kepada orang mukmin.”
Sedangkan orang mukmin pun perlu diperingatkan, apatah lagi
kita yang belum mukmin? Iman itu seperti mana yang dimaksudkan hadis, boleh
menambah dan mengurang.
Untuk memastikan ia sentiasa bertahan malah bertambah, hati
perlu berterusan bermujahadah. Lawan hawa nafsu yang mengajak kepada ketakburan
dengan mengingatkan bahawa Allah benci kepada orang yang takbur walaupun
sasaran takbur itu suami atau isteri sendiri.
Bila terasa bersalah, jangan malu mengaku salah. Segeranya
mengakuinya dan hulurkan kata meminta maaf. Ular yang menyusur akar tidak akan
hilang bisanya.
Begitulah suami yang meminta maaf kepada isterinya. Dia
tidak akan hilang kewibawaannya bahkan bertambah tinggi. Bukankah orang yang
merendahkan diri akan ditinggikan Allah derjat dan martabatnya?
Justeru, lunturkan ego diri dengan membiasakan diri meminta
maaf. Tidak kira ketika kita rasa kita benar, lebih-lebih lagi apabila terasa
kita yang bersalah.
Namun, lelaki yang tewas ialah lelaki yang sukar mengaku
salah. Dia sentiasa tidak ingin mengalah. Pada ketika itu dia telah memiliki
salah satu dari tiga ciri takbur yakni menolak kebenaran.
Akuilah kebenaran
walaupun kebenaran itu berada di pihak isteri. Tunduk kepada kebenaran ertinya
tunduk kepada Allah. Jangan bimbang takut-takut dikatakan orang takutkan
isteri. Kita takutkan Allah. Allah benci orang yang takbur.
Begitu juga isteri. Jika sudah terbukti salah, akui
sahajalah. Dalam pertelagahan antara suami dan isteri, apakah penting siapa
yang menang, siapa yang kalah? Kita berada di dalam gelanggang rumah tangga
bukan berada di ruang mahkamah.
Kesalahan suami adalah kesalahan kita juga dan begitulah
sebaliknya. Rumah tangga wadah untuk berkongsi segala. Perkahwinan satu
perkongsian, bukan satu persaingan. Kalau kita menang pun apa gunanya? Padahal,
kita akan terus hidup bersama, tidur sebantal, berteduh di bawah bumbung yang
sama.
Mujahadahlah sekuat-kuatnya menentang ego. Bisikan selalu di
hati, Allah cintakan orang yang merendah diri. Allah benci orang yang tinggi
diri. Pandanglah pasangan kita sebagai sahabat yang paling rapat. Kita dan dia
hakikatnya satu.
Ya, hati kita masih dua, tetapi dengan iman ia menjadi satu.
Bukan satu dari segi bilangannya, tetapi satu dari segi rasa. Sebab itu sering
diungkapkan, antara makhluk dengan makhluk mesti ada Khalik yang menyatukan.
Ingat, hanya dengan iman, takbur akan luntur, cinta akan subur!
Credit: cikgu rabiah
anda mungkin meminati
- Membina Keluarga Bahagia Seperti Cara Rasulullah SAW
- 10 SIFAT-SIFAT ISTERI YANG MENJADI PENAMBAH REZEKI SUAMI
- 7 Ciri-ciri Pasangan Agar Berkekalan dan Bahagia. Inshaallah
loading...
0 Response to "Perkahwinan Kerana keduniaan VS Perkahwinan Kerana Allah"
Post a Comment