6 Situasi Mengumpat Yang Dibolehkan Oleh Allah







Sebagaiamana kita sama maklum bahawa hukum mengumpat adalah haram. Mengumpat ialah menceritakan tentang aib atau keburukan seseorang yang apabila orang tersebut mendengarnya maka ia akan marah dan benci.

Dari Aisyah RA, katanya: Hindon Binti Ubah, isteri Abu Soyan masuk menemui Rasulullah SAW.lalu bertanya: Ya Rasulallah, sesungguhnya Abu Sofyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul SAW.: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu.  
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

SYARAH AL HADIS:

Para ulama mengambil banyak pengajaran dari Al Hadis di atas antaranya:

Orang yang ingin mendapat fatwa dan orang yang teraniaya dibolehkan untuk menceritakan keburukan tentang orang lain yang ada kaitannya dengan perkara yang diminta fatwa atau penganiayaan itu. Perkara ini tidak termasuk ke dalam bab larangan mengumpat (Al Ghibah). Tetapi hal ini termasuk kedalam salah satu jenis mengumpat yang dikecualikan.

Dalam hal ini Imam An Nawawy dalam kitabnya Riyadhus Salihin berkata:

Ketahuilah bahawa mengumpat adalah dibolehkan atas sebab-sebab tertentu dan mengikuti lunas-lunas syara’ (agama), jika sesuatu yang penting tidak mungkin tercapai 

kecuali dengannya. Mengumpat yang diperbolehkan-oleh agama itu ada enam jenis:

  1. Kes Penganiayaan.
  2. Mohon Bantuan Mencegah Kemungkaran.
  3. Minta Fatwa.
  4. Mengajak Muslimin Agar Bersikap Berhati-hati.
  5. Jika Melakukan Maksiat & Bid’ah Secara Terang-terangan.
  6. Sebagai Tanda Pengenalan.

1) KES PENGANIAYAAN.

Dibolehkan kepada orang yang dianiaya untuk mengadu kepada pihak berkuasa seperti Sultan, Qadhi atau lain-lain pihak yang mempunyai kuasa untuk memberi keinsafan dan kesedaran kepada orang yang menganiaya itu. Umpamanya: Si Polan itu telah menganiaya saya begini dan begitu.

(2) MOHON BANTUAN MENCEGAH KEMUNGKARAN.

Baca juga Membaca Doa Memohon Pertolongan, dan Perbaikan Urusan 

Umpamanya seseorang berkata kepada pihak polis atau bahagian pencegah maksiat: Si Polan itu telah berbuat perkara sumbang, tolong tuan cegah perkara tersebut. Maksud orang itu ialah menjadikan pihak berkuasa sebagai orang tengah untuk mencegah kemungkaran. Tetapi jika tidak dengan maksud itu maka hukumnya adalah haram.

(3) MINTA FATWA.

Umpamanya ia berkata kepada mufti atau orang yang dipercayai boleh memberi fatwa: Ayah saya atau saudara saya atau suami saya telah menganiaya saya, adakah dia boleh berbuat demikian terhadap saya, bagaimana cara supaya saya dapat terhindar dari penganiayaannya. Perkara ini dibolehkan kerana hajat. Tetapi adalah lebih baik sekiranya dengan cara sindiran sudah tercapai tujuannya. Namun demikian menyebut nama orang yang menzalimi adalah dibolehkan sebagaimana dalam kisah Hindon diatas.

(4) MENGAJAK MUSLIMIN AGAR BERSIKAP BERHATI-HATI.

Umpamanya: Kita menyebut tentang keaiban periwayat hadis seperti si polan pendusta, tidak amanah, kurang kuat ingatannya dan lain-lain. Perkara ini dibolehkan kerana tujuan kita berbuat demikian semata mata ingin menjaga keaslian hadis Rasulullah saw. Sebab tanpa berbuat demikian maka akan terdedahlah hadis Rasul saw dengan pemalsuan. Atau paling kurang supaya orang ramai jangan sampai menyangka hadis hadis tersebut sebagai hadis yang sahih. Apalagi jika orang berkenaan sememangnya orang yang suka memalsukan hadis. Dan menyatakan keaiban orang lain ini juga boleh jika kita diminta pandangan tentang peribadi seseorang yang akan menjadi rakan kongsi perniagaan , atau menitipkan amanah , atau urusan perkahwinan , demikian juga tentang berjiran dan sebagai.

(5) JIKA MELAKUKAN MAKSIAT DAN BID’AH SECARA TERANG.

Umpamanya: Minum arak secara terang terangan atau seorang guru agama yang mengajar ajaran-ajaran sesat seperti syirik dan bid’ah atau bomoh dan dukun yang menggunakan amalan amalan syirik. Kita diperbolehkan menyebut keburukan atau keaiban orang orang berkenaan supaya muslimin yang lain dapat sentiasa waspada dan tidak terpedaya oleh mereka. Tetapi dalam hal ini kita tidak boleh menceritakan cela mereka yang lain kecuali ada sebab-sebab lain yang membolehkannya sebagaimana tersebut diatas.

(6) SEBAGAI TANDA PENGENALAN.

Andaikata seseorang dikenal dengan gelaran tertentu. Umpamanya: Mamat Pincang, Jali Sumbing, Enon Gendut dan lain-lain maka dibolehkan kita menyebut sifat-sifat tersebut tetapi dengan syarat tidak dengan nada atau tujuan menghina dan merendah rendahkan. Andaikata orang tersebut sudah dapat dikenal tanpa menggunakan gelaran-gelaran diatas maka itu adalah lebih baik.

JAUHILAH MENGUMPAT YANG SIA-SIA

Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat Ayat-12

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Pencerahan maksud mengumpat dari sabda Rasulullah:

“Adakah kamu tahu, apakah yang dikatakan dengan mengumpat itu?” Mereka menjawab, “Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui.” Sabda Baginda, ialah kamu menceritakan tentang saudara kamu sesuatu yang dia tidak suka. Ada sahabat yang mengatakan,”Apa pandangan tuan, kalau sekiranya apa yang saya ceritakan itu memang terdapat pada saudara saya itu?.” Sabda Baginda, “Sekiranya apa yang kamu katakan itu memang ada pada saudara kamu, bermakna kamu mengumpatnya dan jika tidak ada, bererti kamu membohonginya.”
Sahih, Hadis Riwayat Muslim.

credit: http://wanwma.com/

anda mungkin meminati







loading...

0 Response to "6 Situasi Mengumpat Yang Dibolehkan Oleh Allah"

Post a Comment