Inilah sebabnya mengapa Rasulullah mengatakan berjihad untuk kedua ibubapa adalah lebih dituntut daripada berjihad di medan perang!! Sayangi ibu bapa mu..






Alhamdulillah, pada artikel kali ini, isu menghormati ibu bapa sengaja penulis kemukakan untuk sama-sama kita memperbaiki dan mengislahkan diri dalam menyemarakkan lagi hubungan kekeluargaan terutama ibu bapa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh!" dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Hai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil. (al-Isra’: 23-24)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Apabila Allah SWT memerintahkan supaya berbuat baik kepada ibu bapa, maka hal itu berpunca daripada sebab-sebab yang berikut:

1 Kedua-dua orang ibu bapalah yang telah melimpahkan belas kasihan kepada anaknya, malah telah bersusah payah untuk memberikan kebaikan kepadanya dan menghindarkannya daripada bahaya. Oleh sebab itu, hal itu wajib diberi imbalan dengan berbuat baik dan bersyukur kepada mereka.

2 Anak merupakan peninggalan ibu bapa, sebagaimana diberitakan dalam sebuah hadis bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Fatimah adalah belahan jiwaku."

3 Kedua ibu bapa telah memberi kenikmatan kepada anak, ketika anak itu berada dalam keadaan lemah dan tidak berdaya walau sedikit pun. oleh sebab itu, hal itu wajib dibalas dengan rasa syukur, ketika mereka telah tua, sebagaimana dinyatakan oleh penyair Arab ketika menyebut-nyebut kenikmatan daripada-Nya disebabkan anaknya telah melayaninya dengan tidak senonoh, setelah dia tua.

Dinyatakan di dalam berita para salaf untuk menjelaskan maksud ayat ini, katanya: Seandainya jika ada perkataan yang lebih rendah daripada uh, atau cis dalam pengetahuan Tuhan, nescaya Dia akan mengharamkan manusia untuk menyebutkan kepada ibu bapanya.

Medan jihad

Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam al-Halal wa al-Haram menyebut: Islam sangat mengambil berat terhadap kerelaan kedua ibu bapa, maka dia telah mencegah seorang anak daripada melibatkan diri dalam berjihad atau pergi ke medan perang tanpa keizinan daripada kedua ibu bapa, sedangkan jihad pada jalan Allah SWT sangat tinggi martabatnya menurut pandangan Islam, tidak dapat disamakan dengan bangun malam bersolat di sepanjang malam ataupun berpuasa di siang harinya. Dinyatakan dalam sebuah riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-`Ash, katanya yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Nabi Allah SAW lalu memohon keizinan untuk keluar berjihad lalu Rasulullah SAW pun bertanya kepadanya: Adakah kedua ibu bapamu masih hidup? Jawab lelaki itu: Ya. Lalu Baginda SAW menjawab: Hendaklah kamu berjihad untuk kedua ibu bapamu. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Iaitu jadikanlah medan jihadmu atau perjuanganmu dengan melakukan kebaikan kepada keduanya dan menjaga keduanya. Dalam suatu riwayat yang lain lagi berbunyi: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW berkata: Aku membai’ahmu untuk berhijrah dan berjihad, justeru aku inginkan pahalanya daripada Allah SWT! Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Apakah kedua ibu-bapamu masih hidup? Lelaki itu menjawab: Ya, kedua ibu bapanya masih hidup lagi. Rasulullah SAW bersabda: Apakah benar kamu inginkan pahala daripada Allah SWT? Jawabnya: Benar. Rasulullah SAW bersabda: Kembalilah kepada keduanya dan berbuat baiklah dalam pergaulanmu dengan keduanya. (riwayat Muslim)

Dalam suatu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu berkata: Aku datang kerana hendak membai’ahmu untuk berhijrah, dan aku telah tinggalkan kedua ibu bapaku dalam keadaan menangis. Nabi SAW bersabda kepadanya: Sekarang juga kembali kepadanya buatlah sesuatu untuk menjadikannya tertawa sebagaimana kamu telah membuat mereka menangis. (riwayat al-Bukhari)

Abu Said al-Khudri meriwayatkan seorang lelaki dari negeri Yaman telah berhijrah kepada Rasulullah SAW lalu Baginda SAW bertanya: “Adakah kamu mempunyai keluarga di Yaman? Lelaki itu menjawab: Ada. Rasulullah SAW bertanya lagi: Apakah mereka mengizinkanmu datang ke mari? Jawabnya: Tidak. Lalu Rasulullah bersabda: Sekarang kembali dahulu kepadanya dan meminta izin keduanya. Kalau mereka memberi keizinan kepadamu, barulah boleh kamu berjihad. Jika tidak maka hendaklah kamu berbuat baik kepada mereka." (riwayat Abu Daud)

Antara peraturan yang sangat dititikberatkan dalam Islam mengenai hal yang berkaitan berbuat baik kepada ibu bapa, ialah Islam melarang umatnya menderhaka kepada kedua ibu bapa sekalipun mereka masih musyrik atau kafir, tidak mahu beriman kepada Allah SWT.

Bahkan sekalipun mereka terus menentang Islam dan sangat kuat berpegang kepada kepercayaan kufurnya itu, sentiasa mencuba dan melakukan apa sahaja untuk menarik anaknya daripada Islam serta menabur fitnah dalam agamanya.

Semoga pencerahan seperti ini menjadikan kita benar-benar memuliakan ibu bapa selaras dengan anjuran Islam.

Credit: utusan.com











loading...

0 Response to "Inilah sebabnya mengapa Rasulullah mengatakan berjihad untuk kedua ibubapa adalah lebih dituntut daripada berjihad di medan perang!! Sayangi ibu bapa mu.."

Post a Comment