Sejatinya, Allah SWT menciptakan setiap manusia dengan
berpasangan. Malahan perkahwinan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah, pada
masa sama tidak boleh terlalu ditakuti. InsyaAllah, dengan persediaan yang
dilakukan sebelum melangsungkan pernikahan akan membantu melancarkan urusan
yang mulia itu.
Berikut, beberapa perihal persiapan yang bersesuaian dengan
pernikahan dalam Islam;
#1 – Niat Bernikah Kerana Allah SWT
Walau apapun yang dilakukan, niatkan perbuatan tersebut
kerana Allah SWT. Begitu juga dengan bernikah, lakukanlah untuk mendekatkan
diri dengan Allah supaya dalam perkahwinan itu terdapat berkat dan rahmat.
Oleh itu, setiap langkah seterusnya dalam alam perkahwinan
handaklah disertakan dengan niat tulus untuk beribadah dan menjalani kehidupan
bersama-sama pasangan yang halal. Perlu diingatkan dengan niat bernikah kerana
Allah juga dikurniakan pahala dan rezeki dariNya.
#2 – Memahami Konsep Pernikahan
Dianjurkan untuk pasangan memahami maksud pernikahan yang
sebenarnya. Bukan hanya bernikah kerana memenuhi keinginan sahaja, tetapi sebab
dan hikmah Islam menuntutnya.
Ini juga bermaksud, setiap pasangan yang ingin berkahwin
mestilah bersedia untuk memegang peranan selepas berkahwin kelak.
Contohnya bagi seorang isteri mestilah bersedia untuk
mendengar atau mematuhi setiap arahan dan suruhan suami, yang mungkin itu
adalah perkara baru baginya. Begitu juga dengan suami, ada seorang wanita yang
bakal menjadi tanggungjawabnya nanti, bahkan menjadi syurga bagi wanita itu.
#3 – Mendekatkan Diri dengan Agama
Lakukanlah segala perkara dan amalan yang baik. Contohnya
dengan mengamalkan perkara sunnah yang sangat membantu mendekatkan diri dengan
agama.
Selain itu tinggalkan segala amalan buruk dan berusahalah
untuk berubah ke arah kebaikan. Sikap dan perbuatan ini sangat berguna dalam
melayari perkahwinan nanti kerana, masing-masing akan menjadi contoh baik
kepada pasangan terutamanya para suami.
Manakala bagi isteri pula akan mengajarkan kepada anak-anak
kelak. Dengan memahami agama akan menjadikan sesebuah keluarga itu lebih
bahagia dan dirahmati Allah.
#4 -Belajar Ilmu Rumahtangga Dan Kekeluargaan
Bagi bakal pengantin, sama-samalah belajar untuk menjadi
isteri dan suami idaman bagi pasangan masing-masing. Cuba miliki akhlak yang
baik, peribadi yang memikat dan jauhilah amalan yang tidak digemari pasangan.
Paling penting terimalah pasangan seadanya.
Tips kemanisan berumahtangga juga boleh dirujuk kepada
pasangan yang lebih tua seperti ibu bapa, bakal mentua, saudara mara dan
sebagainya. Perbanyakkan juga bacaan mengenai kebahagiaan rumahtangga selain
menyertai kursus atau seminar.
#5 – Jauhkan Majlis Perkahwinan yang Dilarang Agama
Dalam menyiapkan majlis perkahwinan pula, tidak semestinya
mengikuti semua perkara yang dilakukan oleh umum seperti hari ini; sesi
fotografi, video pra-perkahwinan, tempahan makanan yang mewah, set karokae dan
sebagainya.
Utamakan perkara yang wajib dahulu, seperti makanan yang
halal untuk para tetamu. Kemudian barulah fikirkan perkara lain yang tidak
menyimpang dari agama.
Lakukan hal yang sederhana dan mengikut kemampuan. Jangan
terikut-ikut dengan ‘trend’ sehingga berhutang dan akhirnya terpaksa membayar
hutang itu bertahun-tahun.
Sediakanlah pakaian yang bersesuaian yang tidak mendedahkan
aurat pengantin, terutamanya pengantin wanita. Selain itu, elakkan pembaziran
dengan menyenaraikan keperluan yang penting dahulu.
Setiap perkahwinan yang sempurna sangat memerlukan sebuah
persediaan yang rapi, iaitu dari aspek mentaliti, fizikal termasuklah ekonomi
dan material.
Oleh itu, perkahwinan bukanlah sebuah perjalanan yang mudah
dan murah, tetapi ianya sebuah pengembaraan yang jauh dan berliku yang
memerlukan kekuatan dan persediaan.
kredit: Tazkirah.net
loading...
0 Response to "5 Persiapan Perkahwinan Sebenar Yang Sepatutnya Anda Tahu"
Post a Comment