"AYAH beriya-iya mengajak mengikutnya menghantar adik
(Wan Nor Athirah) yang akan memulakan semula pengajian di Kolej Vokasional
Kuantan selepas bercuti, tetapi saya mempunyai urusan perniagaan tidak dapat
ikut serta.
"Saya sangat terkilan. Sekarang semua ahli keluarga
saya sudah tiada," kata Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, ahli
keluarga enam mangsa maut nahas di Kilometer 25 Jalan Keratong-Bahau, dekat
Ladang Risda Palong, Jempol, petang ini.
Wan Muhammad Hazim ditemui di Hospital Jempol ketika hadir
membuat proses pengecaman jenazah ibu bapa dan empat adik-beradiknya yang
rentung dalam kemalangan itu.
Menurutnya, enam yang maut ialah bapanya Wan Mohd Fauzi Wan
Ibrahim, 51; ibu Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimin, 22; Wan Nor
Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisya, 7.
Katanya, dia mengetahui kejadian kira-kira jam 6 petang
selepas dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah di Putrajaya.
"Anggota polis beritahu keluarga saya terbabit
kemalangan. Saya memaklumkan sanak-saudara sebelum segera datang ke sini
(Hospital Jempol) selepas berbuka puasa," katanya sebak.
Wan Muhammad Hazim yang kini yatim piatu berkata, dia dapat
mengesahkan yang terkorban itu adalah ahli keluarganya berdasarkan pakaian yang
dipakai oleh Wan Nor Athirah.
Katanya, jenazah semua ahli keluarganya itu dijangka dibawa
pulang ke kampung di Melor, Kelantan untuk urusan pengebumian sejurus selesai
proses bedah siasat yang dijangka dilakukan esok.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, kenderaan
pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki enam beranak bertembung dengan sebuah
treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler
berkenaan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong.
Kemalangan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang
menaiki Perodua Myvi iaitu Osman Mohamed Taip, 31; dan Rosniza Othman, 32,
manakala anak lelaki berusia tiga tahun parah. Pemandu treler dan Toyota Vios
tidak cedera.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 2:18 AM
HARIAN METRO
loading...
0 Response to "[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'"
Post a Comment