بِسۡـــــــــمِ
ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
بسم الله ، والحمد
لله ، والصلاة والسلام
على رسول الله ،
وعلى آله وصحبه ومن
والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan
salam ke atas Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan
para pengikut Baginda)
Khusyuk Solat
.
Khusyuk dalam solat itu merupakan antara kunci yang penting
untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya.
Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala
berfirman:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ
فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang
yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
.
‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup,
manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam
solat. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu solat. Hakikat
zahirnya pula adalah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud,
duduk dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:
الصَّلاَةُ
مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي
آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ وَتَمَسْكَنُ……
(رواه الترمذي)
“Solat itu dua-dua rakaat, terdapat
tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyukan hati, bersungguh-sungguh memohon
dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
.
Melihat kepada kepentingan khusyuk dalam solat, maka
dikemukakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh diguna-pakai sebagai
panduan ke arah perlaksanaan ibadat solat yang khusyuk.
Untuk mendapatkan khusyuk dalam solat hendaklah sentiasa
membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan
tersebut sebenarnya bermula di luar solat, sebelum seorang itu mendirikan
solat.
.
.
Tips Dan Panduan Khusyuk Solat
Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan
oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat yang khusyuk:
.
1. SEBELUM MENDIRIKAN SOLAT:
.
i) Menjaga makanan,
minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati
perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda-benda yang
haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan, minum, pakai,
tempat tinggal dan lain-lain hendaklah datang dari punca dan sumber yang halal
tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah!
Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan
seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan
hati.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
.
ii) Membersihkan diri
dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika tidak mendatangkan
kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka
bersiwak pada setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
iii) Wudhuk yang
sempurna
Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengenai semua
anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan solat juga terletak
kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang
laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan solat Subuh bersama Rasulullah
ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu
ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai solat Baginda bersabda:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di
antara kamu yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu,
siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah wudhuknya.” (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian kelebihan wudhuk itu dapat
menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar RadhiAllahu ‘anhu
berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”
.
iv) Memakai pakaian
yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai
sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada gambar, berwarna
warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang
kekhusyukan ketika berjemaah.
.
v) Jangan solat dalam
keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan
diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya
tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan solat
ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan solat dalam
keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
.
vi) Jangan solat
dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan
solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat
Muslim)
.
vii) Pilih tempat
solat yang menenangkan
Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak
bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit dimatikan
sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh
menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh
mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma:
“Bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada
tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur,
tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas
Baitullah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
.
iix) Gunakan Sejadah
Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang
akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang
boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah RadhiAllahu ‘anha
bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah mendirikan solat di atas
hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan
kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)
.
ix) Pastikan tiada
gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah ShallAllahu
‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin
Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy
(dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu
yang mengganggu orang yang solat.”
(Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di
atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau
menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyuk ketika
mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar
RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat
solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di
mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.
.
x) Solat Di Awal
Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya
tidak gopoh apakala masa hampir luput.
.
.
2. KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SOLAT
.
i) Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun
mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
.
ii) Lakukan Solat
Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat secara berjemaah kerana iaadalah
suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain pahala solat berjemaah itu
melebihi solat seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama
mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat berjemaah itu akan memperolehi
kekhusyukan ketika bersolat dan terselamat daripada perkara yang lagha dan
boleh melalaikannya.
.
iii) Menghadirkan
Hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat kosongkan hati dari
segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan
ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Antara tanda
kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu
sebelum dia masuk menunaikan solat supaya dia masuk ke dalam solat dalam
keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
.
iii) Mengingatkan
Mati
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat ingatkan diri
bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan solat tersebut
kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam hidup kita dan perlulah
dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham RadhiAllahu ‘anhu
bahawa ditanyakan kepadanya tentang solatnya, beliau beliau menjawab: “Apabila
tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhuk dan aku mendatangi tempat di mana di
situ aku hendak mendirikan solat. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga
berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan solatku
dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah
tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat
maut di belakangku, aku menyangka solat ini adalah solatku yang terakhir.
Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh
keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan
diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan
belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan
aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada solatku diterima
atau tidak?”
.
iv) Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang
boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.) Surah an-Nas
b.) Ta‘awudz
c.) Tahlil:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ
“Tidak ada tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah.”
d.) Zikir:
امنا با الله و
برسوله
“Kami beriman dengan
Allah dan rasul-rasulNya.”
.
v) Berusaha Melawan
Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan
perhatian semasa solat. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari
meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang
renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya
sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat
yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya salah seorang daripada
kamu apabila berdiri menunaikan solat syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan
menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat
sudah ditunaikannya.” (Hadits riwayat
Muslim)
.
.
3. KETIKA MENUNAIKAN SOLAT
.
i) Meneliti Dan
Memahami Bacaan Solat
Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama ada bacaan itu
terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Quran (tasbih
dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara
ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam solat. Hati mestilah ikut
mengetahui segala apa yang kita baca.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah), berusaha untuk
memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan,
terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana
bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut
dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.
.
ii) Merendahkan Diri
Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk
dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang
hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)
.
iii) Mengagungkan
Allah SWT
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya
ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam solat.
Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaituperasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa
takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
.
iv) Menghindari Dari
Memikirkan Hal Keduniaan
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan
dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut, kehadiran hati dalam solat iaitu
mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak
berkaitan dengan solat.
.
v) Tumpuan Penuh Pada
Solat
Segala perhatian dalam solat itu hendaklah tertumpu hanya
kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali. Rukun-rukun
solat perlu dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih)
sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.
.
vi) Mengurangkan
Pergerakan Anggota Badan
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan, kaki
dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasahut melihat anak
jari.
.
vii) Sentiasa Melihat
Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta atau
bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan
orang yang solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyuk dalam solat
seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh
sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.
.
iix) Lakukan Solat
Dengan Thuma’ninah
‘Thuma’ninah’ (ketenangan),
maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika
melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan) di dalam solat seperti rukuk,
sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya.
Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).
Maknanya, setiap pergerakan di dalam solat itu tidak
dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan kelam-kabut tetapi
dilakukan dengan tenang dan relaks.
.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita
tentang perkara ini di dalam sabda Baginda: “Apabila kamu berdiri menunaikan
solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Quran yang mudah bagi kamu.
Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian
bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu
berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu
berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua
solat kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
.
.
PENUTUP
Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk
mendapatkan khusyuk di dalam solat. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah
orang masih tidak mampu memperolehi khusyuk di dalam solatnya walaupun dengan
mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.
Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah
gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk
banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita
hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
Orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia
hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul
serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT:
وَاسْتَعِينُوا
بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ
إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ ﴿٤٥﴾
الَّذِينَ يَظُنُّونَ أَنَّهُم مُّلَاقُو رَبِّهِمْ وَأَنَّهُمْ إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿٤٦
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai
penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi
orang-orang yang khusyuk. (Iaitu) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan
menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 45-46).
.
والله أعلم بالصواب
Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha
Mengetahui apa yang benar)
credit: shafiqolbu
loading...
0 Response to "Tip-tips Dan Panduan Lengkap Cara Rahsia Khusyuk Dalam Solat"
Post a Comment