ADA ke orang yang puasa tapi tak solat?"
"Kenapa dia boleh puasa tapi tak boleh solat?"
"Dapat ke pahala puasa kalau dia tak solat?"
Persoalan ini mungkin biasa kita dengar atau melihatnya
sendiri. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak solat. Kita mungkin
tertanya-tanya, bagaimana kedudukan puasa mereka sedangkan kewajipan yang lebih
utama mereka tinggalkan. Sebenarnya, persoalan ini ada asasnya untuk ditanya.
Bagi merungkaikannya, kita perlu merujuk semula kepada perbahasan ulama
mengenai apakah hukum seseorang yang meninggalkan solat.
Hukum tinggalkan solat
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis, ulama
berbahas panjang mengenai persoalan apakah kedudukan seseorang yang
meninggalkan solat.
Pendakwah, Ustaz Razak Abdul Muthalib mengupas tajuk puasa
di Sinar Harian, tapi tidak solat dalam ruangan yang terhad ini tidak
memungkinkan untuk dinukilkan perbahasan tersebut secara terperinci.
Ringkasnya, hukum yang diputuskan oleh ulama boleh dirumuskan seperti berikut:
"Jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja
kerana dia menafikan kewajipan solat tersebut, maka sepakat ulama dia telah
kufur dan murtad kerana mengingkari kewajipan salah satu daripada rukun Islam.
"Dan jika seseorang meninggalkan solat kerana malas,
maka ulama berbeza pandangan dalam hal ini:-
Pertama: Orang yang meninggalkan solat wajib dihukum bunuh
kerana dia telah dikira murtad. Ini adalah pendapat Imam Ahmad.
Kedua: Orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman
had, tetapi tidak dihukum sebagai kafir. Ini adalah pandangan Imam Malik, Imam
Syafie dan salah satu pandangan Imam Ahmad.
Ketiga: Orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah
fasiq dan dia wajib dipenjarakan sehingga dia mahu menunaikan solat. Ini adalah
pendapat mazhab Hanafi.
(Rujuk: Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah,
22/186-187)," katanya.
Menurut beliau lagi, jika dilihat hukum yang telah
diputuskan oleh ulama terhadap orang yang tidak solat adalah amat berat. Ia
hanya berlegar di antara sama ada menjadi kafir atau fasiq. Jika diambil hukum
yang paling ringan pun sebenarnya ia sudah terlalu berat iaitu fasiq. Fasiq
adalah seorang yang berterusan dalam melakukan dosa yang besar. Dosa besar
tidak akan diampunkan melainkan dengan taubat nasuha.
Tidak ada kewajipan ibadah lain, jika seseorang Muslim
meninggalkannya kerana malas, dibincangkan sampai ke tahap boleh jatuh kufur
atau tidak. Misalnya, orang yang tidak berpuasa kerana malas, ulama tidak
membahaskan sampai ke tahap adakah perbuatan tersebut boleh menjadikannya kufur
atau pun tidak.
Tetapi, dalam kesalahan meninggalkan solat, hukumnya
dibincangkan sampai ke tahap tersebut kerana adanya dalil-dalil yang khusus
menyebut perihal perkara tersebut. Ini menunjukkan betapa kesalahan
meninggalkan solat adalah amat berat dalam Islam.
Tidak solat bukan perkara remeh
DUKACITA dan teramat malang jika ada yang menganggap tidak
solat adalah isu remeh temeh, tidak perlu diberi perhatian sangat dengan alasan
perlu ditumpukan kepada isu lebih besar. Apa lagi isu yang lebih besar jika
solat yang menjadi batas pembeza di antara iman dan kufur ini dianggap kecil.
Beliau menjelaskan, disebabkan perbezaan pandangan ini, ia
membawa kepada perbezaan pandangan dalam menentukan kedudukan ibadah puasa yang
dilakukan oleh orang yang tidak solat:
"Pertama: Puasanya tidak sah dan tidak diterima. Ini
adalah pandangan ulama yang berpegang, orang yang tidak solat adalah kafir.
Jadi puasanya tidak sah dan tidak diterima sehinggalah dia bertaubat dan
kembali menunaikan solat.
Kedua: Puasanya sah sekiranya ditunaikan bertepatan dengan
rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam hukum fiqh. Sah
bermaksud dia tidak perlu mengulangi semula puasa tersebut.
"Tetapi, perlu diingat, ibadah yang sah tidak menjamin
ia akan diterima ALLAH. Contohnya, seseorang yang menunaikan solat dengan
perasaan riak. Solatnya adalah sah menurut hukum fiqh jika ditunaikan
bertepatan dengan syarat dan rukun yang ditetapkan. Namun, solat tersebut tidak
diterima kerana riak," katanya.
Jadi, persoalan ini perlu difikirkan. Adakah puasa orang
yang tidak solat diterima di sisi ALLAH sedangkan dia mengabaikan kewajipan
ibadah yang lebih utama. Untuk apa kita berpuasa? Bukankah kita mengharapkan
amalan tersebut diberi pahala dan diterima di sisi ALLAH?
Berpuasa tapi tidak solat?
Jika ditanya kepada orang yang berpuasa tetapi tidak solat,
mengapa anda berpuasa? Sekiranya jawapannya ialah kerana puasa adalah rukun
Islam yang diwajibkan oleh ALLAH ke atas orang Islam. Jadi, berpuasa demi
menurut perintah ALLAH dan mengharapkan pahala dari-Nya. Beliau menambah, ini
adalah kepercayaan yang betul. Kepercayaan yang betul mendorong untuk seseorang
bertindak dengan betul. Oleh itu, kita boleh bertanya soalan berikutnya,
tidakkah dia percaya dan sedar ALLAH yang menjanjikan ganjaran pahala berpuasa
adalah ALLAH yang sama memerintahkan untuk solat.
"Tergamakkah kita melakukan amal kerana taat dan patuh
kepada ALLAH sementara dalam masa yang sama kita pula ingkar dan enggan
melakukan perintah yang lain?
"Islam dibina di atas lima rukun utama. Jika
diibaratkan Islam sebagai rumah, maka tiang terasnya ada lima. Renunglah sabda
Rasulullah SAW: "Islam dibina di atas lima perkara: pengakuan bahawa tidak
ada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH dan Muhammad sebagai pesuruh
ALLAH, menunaikan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan
Ramadan." (Riwayat Muslim)," katanya.
Menurutnya, sekiranya kita diberi pilihan antara dua rumah
yang sempurna binaannya dan yang tidak sempurna, mana satu yang kita pilih?
Sudah pasti kita memilih rumah yang sempurna. Selain kelihatan cantik, rumah
itu menjamin keselesaan dan keselamatan apabila didiami. Begitu juga jika ingin
diibaratkan kepada seorang Muslim. Seseorang yang mengaku Muslim dan beriman
ibarat manusia yang tidak sempurna jika kelima-lima teras tersebut tidak
dimiliki. Hakikatnya dia tidak cantik walaupun berasakan dirinya cantik. Tidak
sempurna walaupun berasakan dirinya sempurna. Tidak selesa dan selamat walaupun
kelihatan dia dapat meneruskan kehidupannya dengan penuh kesenangan.
Inilah masa berubah
Sekiranya anda yang terbaca tulisan ini termasuk di antara
golongan yang berpuasa tetapi tidak solat, teruskan puasa anda. Lakukan dengan
berkualiti. Ikhlas kerana ALLAH dan ikuti sunnah Nabi SAW. Dalam masa yang
sama, berusaha untuk sempurnakan keislaman dan keimanan anda. Seandainya puasa
yang anda tunaikan semata-mata kerana patuhkan arahan ALLAH, ibadat solat lebih
utama untuk dipatuhi. Tunaikan puasa dan dirikan solat. Jika anda ingin
berubah, inilah masanya yang sesuai. Ramadan bulan orang ramai bergegas dan
berebut melakukan kebaikan. Segera bertaubat dan kembali tunaikan solat.
Sekiranya anda sanggup berlapar dahaga menahan diri kerana
ALLAH, apa pula yang menghalang anda bersolat? Berubahlah. Katalah sebelum ini
anda tidak menjaga solat lima waktu, sekaranglah masanya untuk komited dengan
solat. Jika sebelum ini anda tidak berhijab menutup aurat, sekaranglah masanya
anda konsisten. Jika sebelum ini anda jauh dengan al-Quran, sekaranglah masanya
anda hampirkan diri dengannya. Sebelum ini anda jarang solat berjemaah,
sekaranglah anda mula latihkan diri beriltizam dengan solat jemaah. Jika anda
sebelum ini janggal untuk hadir ke masjid, sekaranglah masanya untuk anda
selalu imarahkan masjid. Jika sebelum ini anda jauh dengan agama, inilah
masanya untuk anda hidup di atas landasan agama. Jadikan Islam sebagai cara
hidup kerana Islam bukan hanya di masjid dan semasa Ramadan sahaja.
Percayalah, tidak akan rugi sedikit pun orang yang berubah
ke arah kebaikan.
Oleh: Ustaz Abd Razak Abdul Muthalib
loading...
0 Response to "Puasa Tapi Tidak Solat. Apa Hukumnya? Adakah Sah Puasa Tersebut? Baca Keterangan Ustaz Ini.."
Post a Comment