Memakai Telekung lycra ; Sah atau Batal solat wanita
Apakah hukum memakai kain telekung lycra semasa solat?
Adakah benar tidak sah solat dengan memakainya kerana nampak susuk badan?
Jawapan :
بسم الله الرحمن الرحيم
Telekung lycra menjadi pilihan wanita, pada pandangan kita,
ialah kerana faktor cuaca di tempat kita. Apatah lagi jika seseorang wanita itu
sedang berbadan dua, ataupun sedang di ambang menopause. Mereka ingin beribadah
dengan selesa, lalu ingin memilih jenis kain yang selesa dipakai.
TELEKUNG BUKAN SYARAT SAH SOLAT
Selalu kita sebutkan, memakai telekung bukankah suatu
kewajipan. Syarat sah solat itu ialah menutup aurat, bukan memakai telekung
solat. Pakaian untuk solat tidak semestinya berwarna putih, tidak semestinya
kosong tanpa corak. Jika pakaian harian kita sudah bersih, cukup syarat menutup
aurat, longgar, kita boleh solat dengan pakaian harian itu.
Memakai telekung bukan syarat sah, tetapi kerana kebiasaan
dan keselesaan kita, walaupun pada asalnya supaya aurat lebih tertutup dengan
sempurna. Mungkin juga kerana pakaian harian ataupun pakaian kerja kita tidak
cukup syarat menutup aurat, makanya, apabila hendak solat, kita memang mesti
memakai telekung untuk menutup aurat yang masih tidak lengkap tertutup.
Sebenarnya, aurat dalam solat dan aurat di luar solat (apabila
ada lelaki ajnabi/bukan mahram) sama sahaja. Sama perlu ditutup sempurna, sama
batas auratnya. Bahkan ada mazhab yang mengatakan aurat dalam solat semasa
tiada lelaki ajnabi lebih ringan berbanding aurat di luar solat. Bagi mazhab
Abu Hanifah, kaki (ظهر القدم) boleh dibuka apabila
solat semasa ketiadaan lelaki ajnabi.
PAKAIAN KETAT ATAU MENAMPAKKAN SUSUK BADAN SEMASA SOLAT
Persoalan dalam hal ini sebenarnya ialah, apa hukum solat
dengan memakai pakaian yang ketat/menampakkan susuk badan, sedangkan pakaian
itu memang tebal tidak menampakkan kulit, dan sudah menutup bahagian aurat yang
perlu ditutup?
Para ulama' mengatakan solat itu SAH, tetapi MAKRUH, dan
jika ia dipakai semasa solat yang dapat dilihat oleh lelaki ajnabi, perbuatan
itu BERDOSA.
Antara lain :
Al-Syeikh Sayyid Sabiq dalam Fiqh Sunnah mengatakan :
"Wajib memakai pakaian yang menutup aurat, walaupun
pakaian itu ketat menampakkan bentuk aurat. Sekiranya pakaian itu nipis
sehingga nampak putih ataupun merahnya kulit, pakaian itu tidak boleh dipakai
dalam solat."
Al-Syeikh Saleh al-Fawzan memfatwakan sahnya solat wanita
yang memakai pakaian ketat yang menutup seluruh bahagian auratnya, dalam masa
yang sama, berdosa memakai pakaian begitu.
Beliau mengatakan :
"Pakaian ketat yang menyerlahkan bentuk badan wanita
tidak boleh dipakai. Pakaian ketat tidak boleh dipakai baik oleh lelaki mahupun
wanita, lebih-lebih lagi kaum wanita, kerana lebih banyak fitnah ada pada
mereka.
Adapun hukum solat dengan memakai pakaian ketat, sekiranya
ia menutupi bahagian aurat, maka solatnya SAH kerana adanya penutup aurat,
namun berdosa orang yang solat dengan memakai pakaian ketat, kerana dia
(seolah-olah) melanggar satu daripada peraturan solat dengan sebab ketatnya
pakaian yang dipakainya itu. Ini dari satu sudut.
Dari sudut kedua pula, ia menarik pandangan, lebih-lebih
lagi kaum wanita. Maka wajib bagi wanita memakai pakaian yang longgar sempurna
menutup auratnya :
tidak menampakkan bentuk badannya, tidak menarik pandangan
kepadanya, tidak nipis ataupun jarang, sebaliknya pakaian itu hendaklah menutup
wanita itu dengan sempurna."
KESIMPULAN : HUKUM TELEKUNG LYCRA?
➡️
Sekiranya telekung lycra dipakai menyerlahkan susuk badan, maka hukumnya sama
seperti pakaian ketat. Sah solat, tetapi makruh. Berdosa jika dipakai di
hadapan lelaki ajnabi.
➡️
Sekiranya pakaian harian yang dipakai itu tebal, sehingga memakai telekung
lycra pun tidak menampakkan susuk badan kerana sudah dilapisi pakaian tebal di
dalamnya, ia tidak dikira sebagai ketat.
Pastikan pakaian yang kita pakai tidak menyerlahkan susuk
badan, tidak kira apa jenis pun nama kain dan potongannya. Baik di dalam solat,
mahupun di luar solat, apabila dapat dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.
والله اعلم
Rujukan ringkas :
Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnah
Abu Malik Kamal, Sahih Fiqh Sunnah
http://islamqa.info/ar/143733
http://islamqa.info/ar/46529
http://ar.m.wikipedia.org/wiki/قدم
Tulisan oleh :
Ustazah Nabilah Hasan
loading...
0 Response to "Memakai Telekung lycra ; Sah atau Batal solat wanita. Lihat Penjelasan Terperinci ini"
Post a Comment