Doktor Ini DEDAHKAN Kenapa Caesarean Hanya Dibenarkan 3
Kali. Rupa-Rupanya Kali Ke-4… | Apabila seorang wanita melalui pembedahan
caesarean untuk kali ketiga, lazimnya doktor O&G akan menasihatkan untuk
mengikat salur fallopian (bukan ikat `peranakan’ ya!) sekali. Mengikat salur
fallopian, atau dengan istilah yang lebih mudah difahami, pemandulan, dilakukan
supaya wanita tersebut tidak akan hamil lagi.
Pada awal karier saya sebagai doktor O&G, kebanyakkan
wanita yang memerlukan pembedahan caesarean kali ketiga, tidak akan
mempertikaikan keputusan doktor untuk melakukan pemandulan. Rata-rata mereka
serik dengan pembedahan dan tidak mahu hamil lagi.
Tetapi, kebelakangan ini, seolah-olah ada `trend’ untuk
mempertikaikan nasihat doktor. Dan antara pertikaian ini ialah, kenapa doktor
hanya membenarkan saya kelahiran caesarean sebanyak 3 kali? Kenapa tidak boleh
4,5 atau 6? Kenapa doktor nak sekat rezeki (anak) saya?
Risiko Multiple Cesarians
Terdapat beberapa risiko terhadap wanita yang bersalin
secara pembedahan caesarean. Secara umumnya, risiko-risiko adalah rendah jika
pembedahan dibuat kali pertama. Tetapi setiap kali pembedahan berulang dilakukan,
risiko-risiko akan bertambah disebabkan pelekatan parut (adhesions) yang
berlaku selepas setiap pembedahan.
Antara risiko-risiko yang utama:
1. Pendarahan yang banyak (Haemorrhage).
Pendarahan banyak boleh menyebabkan kematian. Jika selamat pun,
transfusi darah perlu dilakukan untuk menyelamatkan nyawa. Perlu diingatkan
bahawa transfusi darah membawa risiko jangkitan kuman (walaupun darah sudah
disaring). Risiko memerlukan transfusi darah melebihi 4 unit adalah 1.5 kali
ganda sewaktu caesarean yang keempat berbanding caesarean yang pertama.
2. Pundi kencing atau/dan salur kencing terluka atau
dipotong.
Disebabkan pelekatan (adhesion) di antara pundi atau salur
kencing dengan rahim, risiko pundi kencing dipotong/luka ialah 9 kali ganda
lebih tinggi sewaktu caesarean keempat berbanding caesarean pertama.
3. Usus terpotong/terluka
Juga disebabkan pelekatan (adhesion) di antara usus dan
rahim, risiko usus terpotong ialah 3 kali ganda sewaktu caesarean keempat
berbanding caesarean pertama.
4. Placenta accreta
Placenta accreta ialah keadaan di mana uri melekat kuat pada
dinding rahim sehingga uri tidak dapat dipisahkan daripada rahim. Pendarahan
(haemorrhage) boleh berlaku dalam sekelip mata, dan jika tidak ditangani dengan
segera, akan menyebabkan kematian. Risiko placenta accreta adalah 9 kali lebih
tinggi sewaktu caesarean keempat berbanding dengan caesarean pertama.
Kecuaian Doktor Menyebabkan Berlakunya Komplikasi?
Doktor sememangnya tidak ada hak untuk membenarkan atau
menghalang bilangan caesarean yang ingin seorang wanita lalui. Tetapi doktor
menasihati berdasarkan fakta yang kukuh. Jika pesakit memilih untuk tidak
mendengar nasihat doktor, jangan salahkan doktor jika/bila berlakunya
komplikasi. Jangan tuduh doktor cuai!
Beberapa tahun lepas, ada seorang pesakit yang tekad untuk
melalui pembedahan caesarean untuk kali ke 4, walaupun doktor telahpun
memberikan penerangan berkenaan risiko. Sewaktu pembedahan ke 4, pundi kencing
wanita tersebut telah luka (terpotong). Kemudian wanita tersebut telah menyaman
doktor kerana komplikasi pundi kencing tersebut. Adakah wajar doktor tersebut
disaman sedangkan pesakit itulah yang telah tidak mengikuti nasihat doktor?
Tentu sekali tidak.
Ada pula mendakwa doktor cuai kerana saudaranya telah mengalami
`usus bocor’ semasa pembedahan caesarean ke-3. Dan kemudian saudaranya telah
mengalami pendarahan `dari hujung rambut hingga ke hujung kaki’ sehingga
menyebabkan kematian.
Pertanyaan saya kepada orang tersebut, kenapa saudaranya
tidak mengikat salur fallopian (pemandulan) semasa caesarean yang ke-3? Jika
beliau telah mengikuti nasihat pakar sewaktu itu, maka tidaklah beliau
mengandung kali ke-4, tidaklah perlu caesarean ke-4, tidaklah berlaku
pendarahan dan tidaklah berlaku kematian. Memang ajal maut di tangan Allah,
tetapi manusia masih boleh berusaha sebelum bertawakkal.
Perlu diingatkan juga bahawa bukan setiap doktor pakar
O&G mempunyai kebolehan/skil untuk melakukan caesarean untuk placenta
accreta. Nasib mungkin tidak menyebelahi anda dan anda bersalin pada hari
doktor tersebut bercuti!!
Mengelak Mudarat Itu Wajib
Kajian-kajian sudah membuktikan bahawa caesarean ke-4 dan
seterusnya berisiko tinggi. Oleh sebab itu doktor menasihatkan untuk `mengikat
salur fallopian’ sewaktu caesarean ke-3. Doktor menyayangi nyawa anda. Bukan
niatnya untuk menyekat rezeki (anak) anda.
Pepatah Melayu mengatakan `Orang tamak selalu rugi’.
Bersyukurlah dengan rezeki tiga orang anak yang sudah ada.
Rujukan:
Silver RM, Landon MB et al. Maternal Morbidity Associated With
Multiple Repeat Caesarean Deliveries. Obstet Gynecol. June 2006, vol 107, issue
6;1226-1232
Sumber:- Medmythbuster
loading...
0 Response to "DOKTOR INI DEDAHKAN KENAPA CAESAREAN (Melahirkan secara operation) HANYA DIBENARKAN 3 KALI. WANITA MESTI TAHU.. "
Post a Comment