Tadi balik kerja, isteri saya mengajak saya keluar jalan.
Oleh sebab duit gaji dia baru masuk selepas dia posting, maka saya turutkan
jua.
Dalam perjalanan ke tempat yang dituju, saya berborak segala
macam hal. Dari zaman awal perkahwinan, hal-hal politik kerja, bawalah kepada
cuti umum akan datang.
Banyak juga dia membebel. Sehinggalah masuk kepada beberapa
hal yang saya tersilap, contohnya bab sarapan pagi tadi yang dia buat, tapi
saya terlupa bawa. Elok je bekas tu atas meja sehingga saya balik. Dan benar
tuan puan, itu antara bullet yang digunakan dalam bebelan dia tadi.
Saya mulakan langkah untuk mematikan bebelan tersebut.
“Sayang. Imam Ghazali ada menyatakan suami yang baik adalah
suami yang boleh menahan marah ketika isterinya hilang akal.”
Isteri saya terdiam. Dia memandang muka saya dengan penuh
tanda tanya. Dengan muka sedikit berlagak, saya menyambung.
“Hilang akal di sini bukan bermaksud gila, sewel atau tiga
suku. Tetapi hilang akal yang dimaksudkan adalah perasaan marah-marah yang
tiba-tiba kerana faktor emosi, penyakit atau persekitaran.”
“Senang cerita hilang akal ni bermaksud hilang sabar. Maka
Imam Ghazali kata lagi, ketika perempuan hilang akal itulah, lelaki harus
bersabar.”
“Syarat kedua selepas agama adalah akhlak. Akhlak yang baik
adalah yang tidak mencederakan orang lain. Kalau rajin ibadah tapi asal isteri
marah leter terus naik tangan, belum baik lagi akhlaknya.”
Saya berhenti dengan nada perlahan. Terserlah riak dan kagum
pada kehebatan diri sendiri di wajah saya. Punyalah panjang saya menghuraikan.
Seraya dengan itu, saya menoleh ke tepi untuk melihat kekalahan dia. Tersenyum
puas saya.
“Sebenarnya, awak nak cakap saya gila, sewel dan tiga suku
ke?” isteri saya berkata dengan nada sinis disertai kerlingan mata yang tajam.
Saya tersentak. Punyalah panjang siap nama imam saya petik
dalam menguatkan dan menambah sedikit nilai keilmuan dalam hujah yang saya
beri, senang-senang dia gunakan point ini untuk lenyapkan semuanya. Lebur.
Lesap. Hilang segala idea. Hanya gelengan kepala saya mampu membalas.
Mungkin begitulah perempuan. Bila melibatkan kekurangan diri
dia, lagi-lagi datang dari suaminya, dia akan cepat bertindak balas. Menjadikan
kekurangan tadi sebagai kelebihan dia semula. Dan sukar untuk mana-mana suami
pun meneruskan perlawanan tadi, sebab ia sekadar memanjangkan saja, tapi pada
akhirnya tetap jua kalah.
Dan ya tuan puan, ini apa saya belajar hari ini.
Jangan sesekali, tersilap memberi hujah.
credit: islam itu indah
loading...
0 Response to "" Suami Yang Baik Adalah Suami Yang Boleh Tahan Marah Ketika Isterinya Hilang Akal ""
Post a Comment