Dalam kehidupan ini kita sering melupakan atau mengabaikan
seseorang yang menyayangi kita apabila dia sentiasa berada di depan mata, dalam
kata lain sudah menjadi milik kita yang sah.
Pasangan suami isteri tentunya selalu melalui saat-saat
pergaduhan dalam rumahtangga. Dari hal-hal kecil hingga menjadi besar. Benar,
kata orang jika hidup langsung tiada pertengkaran maka tiadalah nikmat
berumahtangga. Tetapi jika setiap masa ingin bergaduh saja, adakah itu nikmat
atau menanti "kiamat'?
Wanita dan merajuk berpisah tiada namun sebagai seorang
isteri, janganlah terlalu beremosi dan sentiasa merajuk tak tentu masa. Jika
musykil, silalah bertanya kerana Allah mengurniakan mulut dan lidah untuk
bertanya? Kisah sedih ini mungkin memberi pengajaran buat para isteri :
Saya nak bagi nasihat dan teladan bagi isteri di luar sana
agar menghargai dan menghormati suami anda. Sekarang dah jadi seperti trend.
Bila tercetus saja pergaduhan, terus isteri nak minta cerai atau suami ceraikan
isteri. Tak boleh ke diperbaiki hubungan itu?
Ini kisah saya 12 tahun yang lalu. Saya isteri yang bahagia
ada suami penyayang dan anak yang comel berusia 6 bulan. Usia perkahwinan 2
tahun, kami tidak pernah bergaduh. Usia saya pada ketika itu 21 tahun. Manakala
suami pula 31 tahun.
Pada satu pagi, kami hantar anak ke rumah keluarga saya
sebab ibu bapa saya nak cucu mereka bermalam di rumah. Malam itu kami suami
isteri balik ke rumah kami sendiri. Masa nak balik, suami saya pelik. Dia
merenung lama ke arah anak kami sambil sedih. Saya berkata pada dia yang saya
nak bawa balik saja anak kami bersama. Dia cakap tak mengapa.
Dalam perjalanan balik, suami tiba-tiba cakap,
"Kalau ada sesuatu yang berlaku pada abang, abang nak
parents ayang jaga anak kita. Kalau ayang jumpa pengganti saya kelak, sayangi
dan setialah seperti mana saya setia dan sayang pada ayang," katanya.
Masa itu saya terfikir yang dia mahu tinggalkan saya kerana
ada perempuan lain. Saya apa lagi? Terus merajuk. Sampai rumah, tak nak
bercakap dengan dia.
Sebelum tidur, dia meminta saya membancuhkan milo. Tetapi
pelik sebab dia tak suka milo. Bila tidur, saya palingkan muka dan tak nak
tengok muka dia.
(Ya Allah, sedih bila teringat saat ini...)
Suami panggil dan bertanya, "Ayang marah lagi ke?
Peluklah abang," pintanya.
Saya pun peluk seperti yang dipintanya.
"Okay, saya nak tidur," lalu terus berpaling
membelakanginya.
Rupa-rupanya itulah kali terakhir saya bercakap dengan dia.
Jam 2 pagi, dia seperti sesak nafas. Saya kejutkan dia dan minta maaf sambil
mencium kaki dia. Saya menangis melihat keadaan suami saya seperti itu. Dia
tengok saya dalam keadaan sedih dan menutup mata. Masa itu saya terlihat air
mata menitis keluar dari matanya. Terus panggil jiran tolong hantar ke
hospital.
Saya dan keluarga tunggu di hospital, siap bawa anak kami.
Sampai di Bahagian Kecemasan, saya bawa anak kami dan suruh dia kucup bapa dia
dan cakap, "Abang, ini anak kita,". Anak saya tak menangis tetapi dia
pegang wajah bapa dia.
Doktor datang buat pemeriksaan pada suami. Kemudian doktor
panggil dan kata,
"Puan, suami puan dah tak ada. Dia meninggal semasa
sampai sini. Kami minta maaf puan," kata doktor.
Ya Allah! Seperti ada tikaman di dada ini. Pedih dan berat,
saya tak dapat menahan diri ini dari menangis. Saya rasa ini semua seperti
mimpi, terus pergi ke arah arwah suami yang saya sayangi terbaring kaku. Ahli
keluarga yang lain juga terkejut dan menangis di situ.
Saya pegang kaki dan mencium dahi arwah. Semua cakap jangan
biarkan air mata terkena pada arwah. Saya tahan air mata dan cium serta
memeluknya. Teringat sebelum tidur, arwah meminta saya memeluknya sebab kami
sudah dua tahun berkahwin, memang terbiasa tidur di atas lengan dia.
Keluar dari bilik kecemasan, saya menangis tak
berhenti-henti. Saya masih berharap ini semua adalah mimpi. Saya cubit tangan
sekuat hati. Sakit! Ternyata bukan mimpi.
Saya menyesal sangat, menyesal kerana merajuk dengan arwah
dan tidak tidur memeluknya seperti biasa. Saya peluk dan cium anak kami. Masa
itu jugalah kali pertama saya melihat ayah menangis melihat saya dan cucunya.
Ayah mana yang sanggup melihat anaknya menjadi balu dan cucunya tidak mempunyai
ayah.
13 tahun sudah berlalu, namun kesakitan dan kepedihan itu
masih terasa. Buat isteri di luar sana, sayangilah suami kamu selagi dia masih
ada. Jangan dia sudah dijemput Allah, barulah kita nak menyesal bagai.
Jika ada para isteri disini yang sedang bergaduh dengan
suami anda, carilah peluang berdamai. Kita tidak akan pernah merasa kesedihan
dan "kekosongan" selagi suami kita masih didepan mata. Tetapi andai
suatu masa sudah tiada lagi peluang menatap wajahnya, barulah kita akan merasa
erti sebuah rindu dan kehilangan.
loading...
0 Response to "Luahan Isteri Menyesal Seumur Hidup Kerana Tindakan Ini Pada Suaminya !"
Post a Comment