Salah satu jalan untuk mengingati Allah SWT ialah dengan
berzikir, oleh kerana itulah umat Islam digalakkan memperbanyakkan berzikir
kepada Allah SWT jika mahu hampir kepada-Nya. Zikir adalah amalan yang sangat
mulia dan sangat dituntut serta disukai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Ianya
merupakan rangkaian iman yang harus disempurnakan oleh semua umat Islam dalam
keadaan khusyuk dan tawaduk.
Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan sebutlah (nama)
serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu dengan merendah diri serta dengan
perasaan takut (untuk melanggar perintah-Nya) dan dengan tidak pula mengeraskan
(menyaringkan) suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah kamu termasuk
(menjadi) dari orang-orang yang lalai.” (Surah al-’Araaf (7), ayat 205)
Zikir ialah menyebut
dan mengingat Allah seperti membaca tasbih ‘Subhanallah’ bertakbir
‘Allahuakbar’, membaca hauqalah ‘Lahaula wala Quwata Illa Billah’, membaca
hasballah ‘Hasbiallah’, membaca basmallah ‘Bismillahir Rahmanir Rahim’, membaca
al-Quran al-Karim dan membaca doa-doa yang mahsyur iaitu doa yang diterima
daripada Rasulullah SAW.
Dari Jabir bin Abdillah ia berkata : Aku mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Zikir yang paling mulia ialah
Lailahaillallah dan doa yang paling baik ialah Alhamdulillah.” (Riwayat Al-Imam
Ibnu Majah).
Ketahuilah wahai kaum Muslimin bahawa amalan berzikir itu
sangat banyak fadilatnya. Antaranya ia boleh menjauhkan diri kita dari bersikap
lalai dan lupa kepada Allah SWT, boleh meluruskan fikiran dan hati untuk terus
mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya, memberi ketenangan batin atau
ketenteraman jiwa yakni sakinah.
Zikir juga boleh menyebabkan pengamalan mendapat keampunan
dari Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya laki-laki
dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan
perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar,
laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk,
laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa,
laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan
yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan
dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzab (33) ayat 35)
Di samping itu, zikir ‘Lailahaillallah’ mempunyai banyak
fadhilat dan kelebihan, antaranya ialah:-
Pertama : Pengamal akan mendapat syafaat dari Rasulullah
SAW.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Dari
Abu Hurairah r.a. berkata : Telah bersabda Rasulullah SAW : Yang akan mencapai
kebahagiaan dan keuntungan melalui syafaatku ialah orang yang mengucap kalimah
Lailahaillallah dengan hati yang ikhlas.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Kedua : Mendapat jaminan masuk Syurga.
Dari Zaid bin Arqam Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang mengucapkan
‘Lailahaillallah’ dengan ikhlas, dia akan dimasukkan ke dalam syurga.” Lalu
ditanya kepada baginda SAW, “Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan ikhlas itu?”
Rasulullah SAW bersabda, “Ikhlas itu ialah yang mencegah dari melakukan
perbuatan-perbuatan yang haram.” (Hadis riwayat at-Tabarani)
Ketiga : Tidak akan dimasukkan ke dalam api Neraka.
Dari Umar r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Aku mengetahui satu kalimah yang
tidaklah seorang hamba pun yang mengucapkannya dan membenarkannya dengan hati
kemudian ia mati dengannya melainkan haramlah ke atasnya Neraka Jahanam.
Kalimah itu ‘Lailahaillallah.’” (Hadis riwayat al-Hakim)
Keempat : Amalan zikir tersebut mendapat timbangan yang
lebih berat dari amalan-amalan yang lain.
Dari Abi Abas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud, “Demi yang diriku di tangan-Nya, jika sekiranya segala langit dan
bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa
yang ada di bawahnya diletakkan di sebelah dacing dan kalimah ‘Lailahaillallah’
di sebelah yang lain, maka dacing kalimah ‘Lailahaillallah’ itulah yang lebih
berat.” (Hadis riwayat at-Tabarani)
Kelima : Merupakan anak kunci Syurga.
Muaaz bin Jabal Radiallahuanhu meriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Anak-anak kunci syurga ialah mengakui
kalimah ‘Lailahaillallah’.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Keenam : Kalam Terakhir Sebelum Meninggal Dunia.
Mengucapkan kalimat syahadat saat akan meninggal dunia.
Dalilnya adalah hadis riwayat al Hakim dan selainnya,
bahwasannya Rasullullah Shallallahu ‘Alaihi Wa sallam bersabda :
مَنْ كَانَ آخِرُ كـلاَمـِهِ
: لاَ إِ لَهَ إِ
لاَ اللهُ دَخـَلَ الجـَــنَّةَ.
“Barangsiapa yang akhir ucapannya لاَ إِلَهَ إِلاَّ
اللهُ , maka ia masuk
syurga”
loading...
0 Response to "Kelebihan Zikir kalimah "LAAILAHAILLALLAH" yang Ramai tak tahu"
Post a Comment