6 Cara Isteri Sambut Suami Pulang Dari Kerja, No.3 Paling Disukai Suami





Walau mungkin ia tidak pernah disuarakan tapi suami yang pulang ke rumah selepas penat bekerja tentunya ingin disambut oleh isteri tercinta. Lebih menggembirakan hatinya bila dirai oleh isteri serta anak dalam keadaan yang menyenangkan.

Rumah bersih serta penampilan isteri yang sedap mata memandang akan meleburkan kepenatannya selepas seharian bekerja. Tapi cara menyambut kepulangan suami bukan dengan dua perkara itu saja.

Ada lagi cara lain yang lebih menyentuh hati suami hingga mungkin membuatkan dia teruja untuk pulang awal setiap hari bertemu anak serta isteri. Tip dan layanan di bawah ini amat sesuai dipraktikkan untuk anda yang pulang bekerja lebih awal dari suami atau pun suri rumah. 

Katanya nombor tiga itu adalah cara paling disukai suami. Cuba perhati, ada tak anda melakukan perkara di bawah ini.

1. Memperlihatkan simpati
Fahami peranan suami yang di bahunya terletak tanggungjawab mencari nafkah keluarga. Jika semua isteri memahami keadaan suami yang bekerja keras selama di tempat kerja demi meraih rezeki maka dia akan lebih menghargai kepulangan suami.

Raikan suami  dan tunjukkan rasa simpati atas kepenatannya bekerja. 'Abang penat ya, sayang buatkan air ya' cara ini saja sudah menyejukkan hati suami. Nampak macam scene drama tapi hakikatnya inilah petua yang dipraktikkan ibu-ibu kita dulu. Jangan sesekali buat tidak endah kepulangan suami kerana ia memperlihatkan anda tidak menghormati dirinya.

2. Senyuman manis

Senyuman manis isteri adalah senjata paling berkesan untuk membuat hati suami berbunga-bunga. Oleh itu bila suami pulang, lemparkan senyuman kepadanya. Jangan tunjukkan wajah yang masam meskipun anda sedang kepenatan atau punya masalah besar.

3. Berpenampilan menarik
Tip ini memang ramai wanita akan mempertikaikannya terutama yang bekerja. Ya lah mana sempat nak cantik-cantik kalau balik rumah terus kena buat kerja. Sebenarnya suami tak mengharap isteri bersolek mampan untuk menyambutnya pulang.

Jika masih berbaju kerja pun tak mengapa, asal rambut jangan kusut masai. Pastikan juga wajah dan pakaian bersih serta badan tidak berbau. Suami sendiri pun lebih suka isteri kelihatan natural.

Tapi bagi suri rumah, tak salah anda siapkan diri dengan kesempatan yang ada. Mandi dan ganti kain batik dan baju T yang berbau masakan dengan pakaian bersih. Boleh juga kenakan secalit gincu losyen badan agar berbau wangi dan tampak segar di mata suami. Tak perlu berlebih-lebihan pun.

4. Sediakan keperluannya
Sebagai contoh jika suami pulang menaiki motor sudah tentu dia akan berasa dahaga menempuh perjalanan yang panas, oleh itu sediakan air untuknya. Atau jika suami biasa makan sebaik tiba di rumah maka sediakan hidangan untuk dirinya. Kebiasaan para suami mungkin tidak sama tapi apapun siapkan keperluan suami sebelum dia pulang.

5. Biarkan suami berehat seketika
Apa juga masalah yang berlaku pada anda hari itu, jangan luahkan sebaik suami tiba di rumah. Berikan dia masa untuk berehat. Jangan juga melontarkan pertanyaan-pertanyaan yang memancing pertengkaran. Luahkan perkara itu selepas dia menjamu selera dan penatnya hilang. Ketika itu fikiran suami lebih tenang dan dia ebih bersedia mendengar masalah anda.

6. Buat suasana rumah nyaman dan menyenangkan
Pastikan suasana rumah kemas, tiada surat khabar, pakaian atau mainan anak berterabur di ruang tamu. Meski sebelum itu rumah tunggang langgang tapi usahakan untuk mengemaskannya sebelum suami tiba. Jika anda serabut melihat rumah bersepah, suami anda juga begitu.

Jika diperhatikan sebenarnya semua cara ini bukan sukar dan memerlukan usaha yang banyak untuk dilakukan. Antara mahu tak mahu saja, tapi sebaiknya mulakan seawal mendirikan rumah tangga agar ia menjadi kebiasaan.







loading...

0 Response to "6 Cara Isteri Sambut Suami Pulang Dari Kerja, No.3 Paling Disukai Suami"

Post a Comment