Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim
Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar
(Abdullah) r.a. berbunyi: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang
musafir atau pun sebagai pengembara.”
Huraiannya
Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa
mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana
ini.
Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu
pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu
petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk
bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.
Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita
betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka
apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada
hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?
Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu,
jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan
boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita
buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah
oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah
melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.
Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa
kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup,
terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka
yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa
hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah…
Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati
Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu
meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai
contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda
hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk
menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.
Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak
menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di
masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.
Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak
berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Mathurat,
kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan
peristasi iman kepada Allah SWT.
Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau
berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah
seminggu di pejabat.
Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama
tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.
Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada
mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?
Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki
peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan
pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan
mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya
menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan
begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di
rumah.
Hati menjadi keras
Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil
menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda
mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari
(sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu Ain), maka
orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras
(sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula
melakukan dosa-dosa besar.
Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan
persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham
agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa
berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan
menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran
dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).
Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk
dalam majlis-majlis ilmu. Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak
mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian
peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti
penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum
syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.
Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju
dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa
Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, Sesiapa yang mahukan kejayaan di
dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga
mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.
Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam
kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang
pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga
diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara
bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan
kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan
hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.
Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa
manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga,
masyarakat dan negara mereka.
Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari
akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat,
sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak
ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh
daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.
Penyelesaian masalah
Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk
dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah
diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:
Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka
orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.
Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain,
perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak
sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi
sesuatu yang dia sendiri menyukainya.
Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk
mempelajari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.
Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu
sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh,
tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.
Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha
melepaskannya dari belenggu dunia.
Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat
kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.
Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana
sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.
Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara
akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap,
menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.
Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada
keperluanmu untuk satu tahun.
Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak
itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan
disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul
harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat
kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.
Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!
(Sumber: Nuraiman words)
loading...
0 Response to "Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim"
Post a Comment