Hadis 2: IsLaM, ImAN Dan IhSaN
Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang. Para
pengunjung yang dikasihi, Assalamualaikum dan Selamat Datang! ^_^ Insya Allah,
dalam entri kali ini kita akan berbincang tentang Hadis ke-2 dalam Matan
Arba'in An-Nawawiyah. Ia juga dikenali sebagai Hadis Jibril. Hadis ini agak
panjang dan membincangkan 3 asas utama dalam Islam iaitu Islam, Iman dan Ihsan.
Mari kita ikuti perbincangannya!
Teks hadis
ini berbunyai seperti berikut:
Juga daripada Umar RA, beliau berkata:
Ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah
SAW pada suatu hari, tiba-tiba muncul di hadapan kami seorang lelaki yang
sangat putih bajunya, sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya
tanda-tanda perjalanan jauh, dan tiada seorangpun di antara kami yang
mengenalinya, sehingga dia duduk di hadapan Rasulullah SAW. Lalu dia merapatkan
lututnya ke lutut Rasulullah SAW dan meletakkan dua tapak tangannya di atas dua
pahanya.
Dia segera berkata, “Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang
Islam.” Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Islam itu ialah kamu menyaksikan bahawa
tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah,
kamu mendirikan Solat, mengeluarkan Zakat, dan menunaikan Haji jika kamu mampu
mengerjakannya.”
Lelaki itu berkata, “Benarlah kamu!” Kami merasa hairan
terhadapnya, dia bertanya dan dia juga yang membenarkannya. Lelaki itu berkata
lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Iman.” Lalu Baginda SAW bersabda, “Bahawa
kamu beriman kepada Allah, para Malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya,
Hari Kiamat dan kamu beriman dengan ketentuan Baik dan Buruk-Nya.” Lelaki itu
berkata, “Benarlah kamu!”
Dia berkata
lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Ihsan.” Lalu Baginda SAW menjawab, “Bahawa
kamu beribadah kepada Allah seolah-olah kamu melihatnya. Jika kamu tidak
melihatnya, sesungguhnya Allah melihat kamu.” Lelaki itu berkata, “Benarlah
kamu!” Dia berkata lagi, “Ceritakan kepadaku tentang Hari Kiamat.” Lalu Baginda
SAW menjawab, “Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang
bertanya (maksudnya kedua-duanya tidak tahu bila berlakunya Hari Kiamat).”
Lelaki itu berkata lagi, “Ceritakan kepadaku
tentang tanda-tandanya.” Lalu Baginda menjawab, “Apabila hamba perempuan
melahirkan tuannya. Dan apabila kamu melihat orang yang tidak berkasut, tidak
berbaju, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan.”
Kemudian lelaki itupun pergi. Maka akupun menunggu beberapa hari. Kemudian
Rasulullah SAW berkata, “Wahai Umar, tahukah kamu siapakah orang yang bertanya
itu?” Aku menjawab, “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Sabda Rasulullah
SAW, “Sesungguhnya dia adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar kamu tentang
ad-Din kamu.” (HR Muslim)
Makna Perkataan.
Kenapa Hadis Ini Penting?
Ibnu Daqiq
al-‘Iid berkata:
“Hadis ini adalah hadis
yang merangkumi semua amalan zahir dan batin. Ilmu-ilmu syariat semuanya
merujuk dan lahir daripada hadis ini. Ia seperti ibu kepada sunnah kerana ia
mengandungi himpunan ilmu-ilmu sunnah, seperti al-Fatihah dinamakan Ummul Quran
kerana ia mengandungi himpunan pengertian al-Quran.”
Pengajaran Hadis Buat
Kita:
1. Datangnya Jibril adalah untuk mengajar manusia melalui keadaan dan
kata-katanya.
2.Digalakkan memakai
pakaian yang bersih dan menggunakan bau-bauan yang harum untuk memasuki masjid
serta menghadiri majlis ilmu.
3. Kita
perlu menjaga adab di dalam majlis ilmu dan ketika berhadapan dengan Guru/Murabbi.
4. Islam dari segi bahasa ialah tunduk dan
menyerah kepada Allah SWT. Dari segi syarak bermaksud ad-Din yang dibina di
atas 5 tunggak Rukun Islam iaitu:
i)
Syahadah (penyaksian) bahawa tiada Ilah melainkan Allah dan bahawa Nabi
Muhammad SAW itu Utusan Allah SWT.
ii) Mendirikan Solat dalam waktunya, dengan
rukun dan syarat yang sempurna. Juga menjaga sunat dan adabnya.
iii)
Mengeluarkan Zakat.
iv) Berpuasa pada bulan Ramadhan.
v) Menunaikan Haji sekali
seumur hidup bagi sesiapa yang berkemampuan.
5. Iman dari segi bahasa ialah at-Tasdiq (membenarkan). Dari segi syarak
ialah Tasdiq yang Jazim (Keyakinan yang tidak berbelah bagi) terhadap Rukun
Iman:
i) Kewujudan Allah Yang Maha
Pencipta dan bahawa Allah itu Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya.
ii) Kewujudan
makhluk Allah SWT iaitu para Malaikat-Nya dan mereka adalah hamba-hamba-Nya
yang dimuliakan. Mereka sentiasa taat dan patuh kepada setiap arahan-Nya.
iii)
Kitab-kitab samawiyah yang diturunkan oleh Allah SWT. Kitab-kitab ini adalah
syariat-Nya sebelum ia diseleweng dan diubah oleh tangan-tangan manusia.
iv)
Para Rasul yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk memberi petunjuk kepada
makhluk-Nya. Mereka diberikan kitab-kitab samawiyah dan bersifat maksum
(terpelihara dari dosa).
v) Hari Kiamat, iaitu hari Allah SWT membangkitkan
manusia dari kubur dan memberi pengadilan terhadap amalan baik dan buruk mereka
semasa hidup di dunia.
vi) Semua perkara yang berlaku di atas muka bumi ini
adalah dengan taqdir (ketentuan) Allah SWT dan kehendak-Nya. Berdasarkan hikmah
yang hanya diketahui oleh-Nya sahaja.
6. Ihsan ialah ikhlas dan tekun. Iaitu kita
ikhlas dalam beribadah kepada Allah dan disertai dengan penuh ketekunan
seolah-olah kita melihat Allah. Jika tidak mampu mencapai tahap tersebut, maka
ingatlah bahawa Dia melihat segala perbuatan kita, kecil atau besar.
7. Ilmu tentang masa berlakunya Kiamat hanya
diketahui oleh Allah SWT. Dia tidak memberitahu kepada makhluk-Nya samada
Malaikat mahupun para Rasul.
8. Antara
tanda-tanda yang menunjukkan dekatnya Kiamat ialah:
i) Berlakunya kerosakan
akhlak di mana ramai anak derhaka dan menyanggahi orang tua mereka. Mereka
memperlakukan keduanya seperti hamba, dan mereka sebagai tuannya.
ii) Terbalik
dan bercampur baurnya urusan, sehingga sehina-hina manusia menjadi Raja dan
Pemimpin. Urusan-urusan diserahkan kepada bukan ahlinya sehingga berlakunya
penyalahgunaan kuasa dan harta. Mereka bermegah-megah dengan bangunan pencakar
langit dan merasa bongkak terhadap makhluk.
9. Seorang Muslim hendaklah bertanya mengenai perkara yang bermanfaat
untuk dunia dan akhiratnya sahaja, serta meninggalkan soalan yang tidak
berfaedah.
10. Jika kita menghadiri majlis ilmu dan merasakan bahawa hadirin
perlu mengetahui suatu masalah, tapi tiada seorangpun yang bertanya, maka perlu
kita bertanya tentang perkara tersebut meskipun telah mengetahuinya. Agar
hadirin turut dapat mengambil manfaat.
11. Jika seseorang yang ditanya tentang
sesuatu maka tidak ada cela baginya untuk berkata: “Saya tidak tahu” dan hal
tersebut tidak mengurangkan kedudukannya.
Wallahu a'lam. Moga bermanfaat untuk
kita semua!
(Sumber: Jomtarbiyah)
loading...
0 Response to "JoM BeLajAR HadiS 2: IsLaM, ImAN Dan IhSaN"
Post a Comment