Menurut kata-kata ulama, terdapat beberapa penyakit yang
mudah ‘menjangkiti’ hati seorang Muslim. Antara penyakit tersebut adalah
apabila dia berbicara, dia mungkin berbohong; apabila berilmu, dia mudah lupa;
apabila beribadat, timbul rasa riak; apabila berbudi pekerti, dia memuji diri;
apabila diberi keberanian, dia bersikap keterlaluan; apabila menjadi pemurah,
dia menyebut-nyebut sumbangannya; apabila dijadikan Allah sebagai seorang yang
cantik, dia menjadi sombong; apabila menjadi bangsawan, dia bangga diri;
apabila malu keterlaluan, dia menjadi lemah diri; apabila diberi kemuliaan, dia
menonjol-nonjol; apabila kaya, dia menjadi kedekut; dan apabila memberi
ketaatan, dia berlebih-lebihan. Sebagai seorang hambaNya yang lemah, kita mudah
terperangkap dalam setiap amalan yang dilakukan tanpa keikhlasan kepadaNya. Di
sinilah Allah mengajar kepada hambaNya agar sentiasa bertaubat dan perbetulkan
niat.
Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik
di kalangan orang beriman yang ‘ashi, apabila melakukan perkara keji dan
mendedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu mereka ingat dan beristighfar
kepada Allah SWT. Mereka bertaubat kepada
Allah kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.
Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan
lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana
makan rezeki yang haram. Semua anggota tubuh badan adalah kurniaan Tuhan, yang
sepatutnya digunakan untuk taat dan berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan barang siapa yang
mengerjakan kejahatan dan menganiaya dirinya, kemudian dia mohon ampun kepada
Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.“ (Surah
An-Nisa ayat 110)
Allah berfirman dalam surah Al-Taubat,ayat 118, “Kemudian
Allah menerima taubat mereka agar mereka tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya
Allah-lah Yang maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”
Syarat Taubat Diterima.
Syarat taubat yang mesti dipenuhi oleh seseorang yang ingin
bertaubat adalah sebagai berikut:
- Taubat dilakukan dengan ikhlas, bukan kerana makhluk atau untuk tujuan duniawi.
- Menyesali dosa yang telah dilakukan dan tidak ingin mengulanginya kembali.
- Tidak terus menerus dalam berbuat dosa. Dan jika berkaitan dengan hak manusia, maka ia segera menunaikannya atau meminta maaf.
- Bertekad untuk tidak mengulangi dosa tersebut lagi kerana jika seseorang masih bertekad untuk mengulanginya maka itu pertanda bahawa dia tidak benci kepada maksiat.
- Taubat dilakukan pada waktu diterimanya taubat iaitu sebelum datang ajal atau sebelum matahari terbit dari arah barat. Jika dilakukan setelah itu, maka taubat tersebut tidak lagi diterima.
Setiap hamba pernah berbuat salah, namun hamba yang terbaik
adalah yang rajin bertaubat. Dari Anas, Rasulullah SAW bersabda,“Semua
keturunan Adam adalah orang yang pernah berbuat salah. Dan sebaik-baik orang
yang berbuat salah adalah orang yang bertaubat.”
Orang yang bertaubat akan digantikan dengan kebaikan bagi
kesalahan yang pernah dilakukan. Allah Ta’ala berfirman, ”Kecuali orang-orang
yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh; maka itu kejahatan mereka
diganti Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah maha Pengampun lagi Maha
Penyayang.” (Al Furqon: 70)
Al Hasan Al Bashri mengatakan, ”Allah akan mengganti amalan
kejahatan yang dilakukan oleh seseorang
dengan amalan soleh. Allah akan menggantikan kesyirikan yang pernah dilakukan
dengan keikhlasan. Allah akan menggantikan perbuatan maksiat dengan kebaikan.
Dan Allah pun menggantikan kekufurannya dahulu dengan keislaman.”
sumber: musafirullah
loading...
0 Response to "5 Syarat Taubat Diterima oleh Allah"
Post a Comment