Murah rezeki yang sering disalahertikan hanya dari segi
material sahaja berupa harta dan wang ringgit, namun murah rezeki sebenarnya
mencakupi bidang yang lebih luas lagi....berupa perkara fizikal dan bukan
fizikal. Contohnya rezeki mempunyai anak , isteri atau suami yang soleh, anak
yang pandai dan cerdik, kebahagiaan dalam hidup, lapang dada, dipermudahkan urusan,
rumah yang lapang dan kenderaan yang baik, umur yang barokah, kesihatan tubuh
badan dan macam-macam lagi......
Dan setelah Allah mengurniakan kita rezeki, seringkalinya manusia ini terlupa untuk
bersyukur, bangga diri dengan status dan pangkat yang ada, memandang rendah
pada orang lain.....sedangkan semuanya bukan milik kita! Apa sangatlah yang
hendak kita banggakan sedangkan diri kita ini pun milik Allah! Dan sepatutnya
rezeki yang Allah beri digunakan diatas jalanNya bukan ikut kata hati...semua
ini aku yang punya, jadi berbelanja
sesuka hatiku!
Amalan-amalan dibawah ini menjadi sebab Allah limpahi
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat
setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh
menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Diantaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah walau sesibuk manapun diri.
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti
firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku
akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka
Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyak istighfar memohon ampunan dosa
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba
di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada
hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan
menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya
rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i,
Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa.
Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi
s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana
dosa yang dibuatnya.”(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa
lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi
tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati
menjadi tenteram.” (Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan
agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga
bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah
buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,
al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki,
berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang
tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan
ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah
menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir
miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki
melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki
dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan
menunaikan hajatnya…”(Riwayat Muslim)
8. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau
cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya
semua hajat. Wallahu a’lam.
9. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati,
kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh,
sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
10. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti
harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan
ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta
pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah .
Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas)
nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
al-Walid)
13. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka
pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu
ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba
sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain,
nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah
menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan
memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang
dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk
dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman
Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas
mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti
akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.” (Riwayat al-Hakim dan
Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari
Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi
nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku
amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada
orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain
menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus
untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129)
jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan
boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan)
dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu;
misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah ,
bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya
Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah
setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh
bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam al-Quran,
Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
19. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu
hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya
dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang
dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab
yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak
tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam
rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal,
hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki
berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya
dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah
mencukupkan (keperluannya) .”(At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan
sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki,
ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi,
Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang
membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3)
Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam
ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
loading...
0 Response to "20 Amalan Murah Rezeki. Inshaallah "
Post a Comment