Pada tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh
dunia akan mengadakan majlis sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan
Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ dari Mekkah ke
Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, kita secara
spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ bersama malaikat Jibril dan Mikail
yang boleh dibahagikan kepada dua fasa:
1. Israk yakni perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
2. Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi Muhammadﷺ ini telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى di dalam Al-Quran:
Firman Allah
“Maha Suci Allah yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil
Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya
sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar
lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).
.
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ hanya berlangsung
pada satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum
menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku
dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ
sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh
sahaja.
Sebagaimana difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi
di mana Allah سبحانه وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi
lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan
hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan
rohnya serentak bukannya rohnya sahaja.
Jika ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman
Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan
roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah
secara jelas menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi
Muhammadﷺ
dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau
mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin
akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau
pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan
rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah Rasulullah ﷺ
menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang
kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ bertambah kuat
malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah
pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan Baginda ﷺ, maka iman mereka
tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar apabila dia
mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah diberitahu oleh
Nabi Muhammad ﷺ
lalu beliau dengan tegas menyatakan :
“Benar! Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ﷺ. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya.”
Inilah ketegasan dan
keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai
Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud
pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ berjumpa dengan
pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah
tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah
setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati
di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.
.
.
A. Sebelum Israk dan Mikraj
.
Sebelum melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammadﷺ mengalami
pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda ﷺ dicuci dengan air
zam-zam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah ﷺ. Setelah itu, dada
Baginda ﷺ
dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.
Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq”
untuk ditunggangi oleh Rasulullah ﷺ
dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
.
.
B. Semasa Israk
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
.
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ﷺdiiringi (ditemani)
oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat² tertentu (tempat² yang mulia
dan bersejarah), Rasulullah ﷺ
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.
Di antara tempat² berkenaan adalah:
- Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ﷺ akan melakukan hijrah.
- Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى;
- Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan);
.
.
Peristiwa Ajaib
.
Dalam perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ menghadapi
gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa² simbolik
yang amat ajaib.
Di antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti
berikut :
.
- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah ﷺ dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”
- Tempat yang berbau harum. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah سبحانه وتعالى (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”
- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah ﷺ: “Itulah orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”
- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba`.”
- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.”
- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”
- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.”
- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.”
- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya. Kata Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah ﷺ untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ turun dari Buraq.
Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat dengan segala
anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Nabi Muhammad ﷺ
terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu.
Rasulullah ﷺ
memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak
itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”
.
.
C. Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah سبحانه وتعالى):
.
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi
Muhammad h ﷺ
dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia
(pintu Hafzhah).
.
1. Di Tangga Pertama:
Nabi Muhammad ﷺ
dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S.
Kemudian dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat
orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina
lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
.
2. Di Tangga Kedua:
Nabi Muhammad ﷺ.
dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi
‘Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
.
3. Di Tangga Ketiga:
Naik langit ketiga. Rasulullah ﷺ bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
.
4. Di Tangga Keempat:
Naik tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ bertemu dengan
Nabi Idris A.S.
.
5. Di Tangga Kelima:
Naik tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ bertemu dengan
Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
.
6. Di Tangga Keenam:
Naik tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ bertemu dengan
Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh oleh
Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000
orang yang masuk syurga tanpa hisab.
.
7. Di Tangga Ketujuh:
Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu
bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur
dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.
Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa dengan
Allah سبحانه وتعالى pada malam ini. Umatmu
adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah
umatmu menanam tanaman syurga iaitu:
“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA
BILLAH.”
Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda,
“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya,
tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu:
“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA
ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL-
‘ALIYYIL-‘AZHIM.”
Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan
sepohon pokok dalam syurga.”
Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib.
Rasulullah ﷺ
dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul²
di atas Baitullah di Mekah).
.
8. Di Tangga Kelapan:
Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan
pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺ
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah,
sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan
dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas²
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan
juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke
syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
.
9. Di Tangga Kesembilan:
Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah ﷺmasuk
di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang
lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya
sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki
ibu bapanya.
.
10. Di Tangga
Kesepuluh:
Rasulullah ﷺ
sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah
سبحانه وتعالى dengan mata kepalanya,
lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه وتعالى
dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah سبحانه
وتعالى: “Ya Muhammad!”
Nabi Muhammad ﷺ:
“Labbaika.”
Allah سبحانه
وتعالى: “Angkatlah
kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”
Nabi Muhammad ﷺ
: “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Dikau berikan
dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata dengan Musa. Dikau berikan Dawud
kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada
Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman
menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil.
Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan
orang mati. Dikau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”
Allah سبحانه
وتعالى: “Aku ambilmu
sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran
kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan
Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji²
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku
fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”
.
.
D. Selesai Munajat
.
Selepas selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ di bawa menemui
Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah
ﷺ merayu
kepada Allah سبحانه وتعالى agar diberi keringanan,
mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali
dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه
وتعالى perkenan
memfardhukan solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
.
.
E. Selepas Mikraj
.
Nabi Muhammad ﷺ
turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam
perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada
satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah).
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
.
.
Penutup
Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah
sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih
penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi
meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa
Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh
pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati
Allah سبحانه وتعالى dan takut kepada
kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari
dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk
menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Orang² kafir di zaman Nabi ﷺ
langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi Muhammad ﷺ sebaik
Baginda bercerita kepada mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat
yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah سبحانه
وتعالى. Allah سبحانه وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan
kebesaran-Nya kepada Baginda ﷺ.
.
Firman Allah
“Maha Suci Allah yang telah
memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil
Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya
sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha
Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).
.credit: shafiqolbu
loading...
0 Response to "Peristiwa Israk Mikraj. Perjalanan Rasulullah Ke Sidratul Muntaha Yang Mana Berlakunya Banyak PERISTIWA LUAR BIASA. "
Post a Comment