Membongkar Rahsia Surah Yasin
Sebahagian umat Islam di negara kita hari ini apabila
membaca al-Quran, kebiasaannya mereka akan lebih sinonim, kenal dan rapat
dengan surah Yasin berbanding surah-surah yang lainnya. Sehingga ada hari-hari
khusus bagi membaca dan mengamalkan surah Yasin ini.
Surah Yasin juga sinonim dengan malam Jumaat, sehingga
dengannya diadakan majlis-majlis bacaan berjemaah dari rumah ke rumah dan
kenduri makan-makan.
Persoalannya, kenapa tidak surah lain dan hanya surah Yasin?
Kenapa tidak surah al-Baqarah, atau Ali ‘Imran, atau al-Mu’minuun, atau
ar-Rahman, atau rangkaian surah-surah dalam Juz ‘Amma seperti an-Naba’,
al-Fajr, atau al-Ikhlas misalnya?
Selain itu, surah Yasin turut sering dikaitkan dengan
pelbagai misteri lainnya. Seperti untuk mencari barang yang hilang, untuk
mengiringi orang mati, untuk membuat “air Yasin”, bacaan ketika masuk rumah
baru, untuk memudahkan jodoh, untuk mengirimkan pahala kepada orang mati, untuk
sambutan majlis-majlis tertentu seperti nisfu Syaaban dan seumpamanya yang
selainnya.
Malah surah Yasin turut dibukukan dan diterjemahkan secara
berasingan menjadi buku-buku khusus seperti buku bersaiz poket, buku
cenderamata, buku zikir dan turut dimasukkan ke dalam pakej tahlilan.
Tidak pernahkah kita terfikir, dari mana datangnya ketetapan
bagi surah Yasin seperti ini? Dari al-Quran? Dari sunnah Rasulullah SAW, atau
dari amalan para sahabat ridhwanullah ‘alaihim ajma’in?
Anjuran membaca al-Quran
Jika yang dimaksudkan adalah galakan dalam membaca al-Quran,
maka di sana terdapat anjuran yang banyak tanpa ditentukan surah mana dan tidak
juga dikhususkan dengan hari yang mana. Antaranya sebagaimana sabda Rasulullah
SAW,
“Sesiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran), maka baginya
satu pahala kebaikan dan satu pahala kebaikan akan dilipat gandakan menjadi 10
kali, aku tidak mengatakan Alif Laam Miim itu satu huruf, akan tetapi Alif satu
huruf, Laam satu huruf, dan Miim satu huruf.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi.
Dinilai sahih oleh at-Tirmidzi)
Persoalannya, kenapa ramai yang mengkhususkan hanya surah
Yasin dan tidak surah yang lain?
Fadilat Yasin
Sebenarnya surah Yasin adalah sama pentingnya sebagaimana
surah-surah yang lainnya. Ia mengandungi ayat-ayat ALLAH sebagaimana surah-surah
lain. Membacanya termasuk ke dalam keumuman dalil-dalil anjuran membaca
al-Quran sebagaimana membaca surah-surah yang lain juga.
Tiada fadilat khusus bagi surah Yasin berbanding surah-surah
yang lainnya. Para ulama hadis menjelaskan, hadis-hadis berkaitan fadilat Yasin
tidak terlepas, sama ada dhaif (lemah) atau maudhu’ (palsu). Maksudnya, tiada
dalil yang sahih menetapkan fadilat surah Yasin secara khusus.
Sebagai contoh, di antara hadis yang popular tentang surah
Yasin ini ialah hadis Qalbul Quran (jantung atau hati al-Quran). Riwayat hadis
tersebut adalah sebagaimana berikut,
“Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki
hati dan hati bagi al-Quran itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya maka
ALLAH akan memberi pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Quran
sepuluh kali.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi dan ad-Darimi.
Setelah Imam at-Tirmidzi rahimahullah (Wafat: 279H)
membawakan hadis ini, beliau pun berkata, “Hadis ini gharib (asing, tidak
dikenali). Pada sanadnya terdapat Harun Abi Muhammad, beliau seorang yang
majhul (tidak dikenali). Juga diriwayatkan oleh ad-Darimi, dan pada sanadnya
dhaif.” (Sunan at-Tirmidzi, 10/121)
Kalaupun sahih hadis ini, maka ia tetap bukan dalil untuk
mengkhususkan surah Yasin dengan pengkhususan-pengkhususan tertentu seperti
bacaan khas malam Jumaat, untuk menjampi air dan sebagainya.
Bukan untuk orang mati
Surah Yasin juga sering dikaitkan dengan kematian. Dalam
perkara ini terdapat beberapa hadis dan ia tidak lepas daripada kelemahan atau
kepalsuan (maudhu’). Di antara hadisnya adalah sebagaimana yang datang dari
jalan (sanad) Sulaiman at-Taimi, daripada Abu ‘Utsman, daripada ayahnya,
daripada Ma’qil bin Yasar, beliau mengatakan, Rasulullah SAW bersabda:
“Bacakanlah ke atas mereka yang mati surah Yasin.” Atau,
“Bacakanlah Yasin ke atas mereka yang mati.” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud,
an-Nasaa’i, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, dan al-Hakim. Lihat: Talkhis al-Habir oleh
al-Hafiz Ibnu Hajar, 2/244)
Hadis ini lemah (dhaif) antaranya kerana pada sanadnya
terdapat perawi bernama Abu ‘Utsman dan ayahnya yang merupakan seorang majhul
(tidak dikenali). Hadis ini juga dikategorikan sebagai hadis mudhtharib, iaitu
tidak kukuh sanadnya.
Di antara ulama hadis yang menegaskan kelemahan hadis ini
ialah Imam ad-Daruquthni (Wafat: 285H), Abu Bakar Ibnul ‘Arabi (Wafat: 543H),
an-Nawawi (Wafat: 676H), Ibnul Qaththan (Wafat: 813H), al-Hafiz Ibnu Hajar
(Wafat: 852H), al-Albani dan ramai lagi selainnya. (lihat: Talkhis al-Habir,
2/244. al-Adzkar, m/s. 122. Silsilah al-Ahadits adh-Dha’ifah wal-Maudhu’ah,
12/783)
Imam ad-Daruquthni rahimahullah mengatakan, “Tiada satu
hadis pun yang sahih dalam bab ini.” Iaitu tiada hadis yang menganjurkan
membaca Yasin kepada orang mati.
Begitu juga dengan hadis, “... Surah Yasin adalah qalbul
Quran (jantung atau hati al-Quran), tidaklah seseorang yang membacanya kerana
mengharap keredhaan ALLAH dan negeri akhirat (syurga), melainkan akan
diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di
antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh
ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
Al-Quran untuk yang hidup
Masyarakat Melayu terkenal membacakan Surah Yasin untuk
orang mati atau yang sedang nazak menghadapi sakaratul maut. Tetapi ironinya,
selama kita membaca atau menghafal surah Yasin, pernahkah kita memahami dan
menghayati apa yang terkandung dalam ayat-ayatnya? Bukankah dalam surah Yasin
terdapat ayat:
“Al-Quran itu tidak lain adalah peringatan dan kitab yang
memberi penjelasan. Supaya ia menjadi peringatan untuk orang-orang yang hidup
dan sebagai perkataan yang haq ke atas orang-orang kafir.” (Surah Yasin, 36:
69-70)
Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H),
“Maksudnya supaya peringatan al-Quran ini menjadi bukti yang nyata bagi setiap
yang hidup di atas muka bumi ini.” Beliau juga mengatakan, “Orang yang dapat
mengambil manfaat peringatan daripada al-Quran adalah orang-orang yang hidup hatinya
dan yang terang pandangannya. Sebagaimana kata Qotadah, “Hati yang hidup adalah
dengan hidupnya pandangan.” Juga sebagaimana kata adh-Dhahhak, “Iaitu orang
yang berakal.” (Tafsir Ibnu Katsir, 6/592)
Ini menegaskan bahawa al-Quran ini adalah untuk orang-orang
yang hidup, iaitu untuk orang-orang beriman dan mereka yang mahu mengambil
pelajaran. Bukan untuk orang telah mati. Termasuklah surah Yasin, ia pelajaran
untuk orang yang hidup.
Sekiranya setiap surah atau ayat-ayat al-Quran tertentu itu
mahu dikhususkan dengan kelebihan-kelebihan khusus, maka kita perlu
mengkhususkannya berdasarkan dalil dan petunjuk Rasulullah SAW. Kita tidak
boleh menetapkan atau mengkhususkannya dengan akal, sangkaan, atau hawa nafsu.
Agama kita ini tidak sampai kepada kita secara misteri, sebaliknya datang
dengan hujah dan dalil yang jelas.
Walaupun surah Yasin ini tiada dalil sahih tentang
fadilatnya secara khusus, ini bukan bermakna ia tidak boleh dibaca pada hari
Jumaat dan hari-hari lainnya. Surah Yasin tetap dibaca sebagaimana surah-surah
yang lain, cuma tidaklah perlu dikhususkan pada hari-hari tertentu atau dengan
kaedah-kaedah khusus tertentu.
Adapun bacaan surah secara khusus pada hari Jumaat yang
padanya disebutkan kelebihannya dari sunnah adalah Surah al-Kahfi, namun ia
sering dilupakan masyarakat kita. Ini sebagaimana Sabda Rasulullah SAW,
“Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, ALLAH akan meneranginya
daripada cahaya di antara dua Jumaat.” (Hadis Riwayat an-Nasaa’i dan
al-Baihaqi. Dinilai sahih oleh al-Albani) - Wallahualam.
(sumber: Sinar harian)
loading...
0 Response to "Membongkar Rahsia Surah Yasin "
Post a Comment