KEMATIAN rakyat Syria mencecah 200,000 orang
dalam tempoh lebih dua tahun kebangkitan rakyat ketika pemerintahan Presiden
Bashar al-Assad dikatakan lebih dahsyat berbanding kematian yang dicatat di
Palestin ketika negara itu ditawan Israel.
Kekejaman itu membuka mata banyak pihak sehinggakan tragedi
Syria bermandi darah mendapat perhatian ramai termasuk negara berkuasa besar,
Amerika Syarikat (AS) yang mengumumkan akan menyerang Syria berikutan dakwaan
penggunaan senjata kimia.
Walaupun AS masih berdolak-dalik dengan serangan itu,
pelbagai andaian mula timbul kerana terdapat dakwaan menyatakan Perang Dunia
Ketiga akan meletus daripada apa yang sedang berlaku di bumi anbiya itu. Tidak
kurang juga yang mengaitkan keadaan itu dengan petanda akhir zaman.
Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, NURULFATIHA MUAH dan
jurufoto, AZMI ARYANTO bersama pendakwah yang juga pengkaji isu Syria, Ustaz
Nazmi Karim.
Kejadian yang berlaku di Syria dikatakan antara petanda
akhir zaman. Ada atau tidak nas yang boleh dikaitkan dengan andaian itu?
Petanda akhir zaman memang disebut dalam hadis Nabi Muhammad
SAW. Baginda berulang dua kali mengatakan bahawa akan berlaku peperangan besar
yang apabila peperangan ini terjadi,
perkhemahan orang Islam paling ramai adalah di sebuah tempat bernama Ghouta
Dimashq yang bermaksud kebun besar yang mengelilingi bandar Damsyik di Syria.
Nabi kata, di kebun besar ini ada sebuah bandar dikatakan
namanya Damsyik, sebaik-baik tempat tinggal umat Islam ketika itu. Ini
tanda-tanda akhir zaman.
Kalau kita lihat di Syria sekarang ini, kawasan ini jadi
tempat paling ramai mujahidin berhimpun. Tempat lain ada ramai juga, tetapi
tempat ini yang disebut Rasulullah SAW.
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda; “Tidak akan
terjadi hari Kiamat sehingga kaum Rom turun di kota Amaq (Lembah Antioch,
Selatan Turki) dan di Dabiq (dekat Aleppo, Syria).
Kemudian datanglah suatu pasukan yang menghadang mereka dari
Madinah, yang berasal dari penduduk pilihan bumi. Dan ketika mereka sudah
berbaris-baris, maka berkatalah orang Rom, biarkanlah (jangan kalian halang)
antara kami dengan orang-orang yang memisahkan diri dari kami (yang masuk
Islam) untuk kami perangi. Maka kaum Muslimin berkata, Demi ALLAH, kami tidak
akan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Dan ketika mereka
(Al-Mahdi serta para pengikutnya) telah sampai di Syam, keluarlah Dajjal.
Dan ketika mereka sudah bersiap-siap untuk berperang, mereka
berbaris dengan rapi. Tiba-tiba, ketika waktu solat sudah masuk, turunlah Nabi
Isa Ibn Maryam a.s.” (Riwayat Muslim dari Sayidina Abu Hurairah RA).
Wallahua'lam, berdasarkan hadis itu, jika benar Amerika
Syarikat serang Syria, mereka akan masuk kawasan itu iaitu di pesisiran laut.
Kalau betullah ia berlaku, maknanya
tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (Nato) dan Rom ini akan masuk ikut ke
pantai menyerang seluruh Syria.
Nabi kata, ALLAH akan menghantar tentera mujahidin dari
bandar Damsyik akan bergerak menuju ke Dabiq dan berlaku peperangan nanti di
sana. Jadi kebanyakan peperangan akhir zaman itu akan berlaku belah-belah
negara Syria dan Syam.
Kenapa tumpuan diberikan kepada negara di sebelah Syria?
Mungkin ada beberapa faktor. Dari segi kawasan, ia strategik
dan kedudukan geografi Syria menyambung hubungan darat antara Syria dengan
Eropah, Afrika dan Asia. Kedua, Nabi Isa AS akan turun di Syria berdasarkan
hadis Rasulullah SAW.
Baginda bersabda Nabi Isa AS akan turun di Menara Putih
sebelah timur Kota Damsyik. Jika dilihat pada gambarnya, ia bukan menara
masjid, tetapi sebuah pasar lama di dalam sebuah kota lama.
Di sini ramai orang Kristian. Mereka juga sudah tahu perkara
ini dan bersiap-siap untuk sambut Nabi Isa AS.
Sebab itu bumi Syria jadi tumpuan ramai termasuk orang
berfahaman Syiah, Kristian, Yahudi, selain orang Islam sendiri. Turut menjadi
tumpuan kerana Imam Mahdi akan menyambut turunnya Nabi Isa AS di Damsyik
seperti yang pernah disebut dalam hadis Rasulullah bahawa Nabi Isa akan turun
di Menara Putih itu ketika solat Subuh dan disambut oleh Imam Mahdi.
Apa yang berlaku sebelum Imam Mahdi muncul?
Sebelum turun Imam Mahdi, Nabi Muhammad SAW kata, akan
berlaku pembunuhan tiga orang anak khalifah yang mana mereka berebut harta
karun di Kaabah, Mekah. Saya tidak pasti apa yang direbutkan itu, tetapi
ketiga-tiga mereka tidak berjaya. Maka berlakulah fitnah yang besar antara
orang Islam sendiri, sehingga muncullah Imam Mahdi.
Imam Mahdi adalah keturunan Nabi Muhammad SAW dan namanya
sama seperti nama nabi, Muhammad bin Abdullah. Beliau akan muncul di Makkah
apabila fitnah kuat melanda dan dibai’ah antara bucu Kaabah dengan makam Nabi
Ibrahim AS. Kemudian. Imam Mahdi akan mengetuai mujahidin bergerak ke Syria.
Apabila sampai di Syria, masa itu Dajjal sudah keluar dan memang tujuan
utamanya hendak melawan Dajjal. Apabila Nabi Isa AS turun, tugas utama baginda
ialah untuk membunuh Dajjal.
Pada masa itu, Dajjal sudah mengelilingi dunia untuk
merosakkan orang Islam dan mengkafirkan orang sehingga akhirnya Nabi Isa AS
kejar Dajal sampai di satu tempat bernama Bab Luddin di Palestin. Di situlah
akan dibunuhnya Dajjal. Dajjal apabila tengok Nabi Isa AS itu, dia jadi cair
macam batu garam yang disirami air.
Keadaan yang berlaku di Syria ketika ini, seolah-olah
mengikut skrip iaitu hadis Nabi?
Ya, memang betul mengikut skrip. Nabi sebut akan berlaku
peperangan besar, sekarang ini berlaku perang di Syria. Ramai orang tak tahu
sebabnya. Kebangkitan di Syria berlaku pada Mac 2011. Puncanya sekumpulan
kanak-kanak sekolah rendah di sebuah bandar bernama Dar’a.
Kanak-kanak ini conteng dinding sekolah dengan perkataan
'Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam' bermaksud ‘rakyat hendak jatuhkan kerajaan’.
Mereka tulis perkataan itu bukan sebab diajar, tetapi masa
itu berlakunya Arab Spring iaitu kebangkitan negara Arab di Tunisia, Yaman dan
Mesir. Apabila kebangkitan itu, semua negara ini tulis slogan yang sama iaitu
“Ash-sha’ab yurid isqaat an-nizam” ketika berdemonstrasi. Kanak-kanak ini tidak
tahu apa-apa.
Polis datang ke sekolah dan mengarahkan sekolah ditutup.
Kanak-kanak yang terlibat ditangkap, dipenjarakan dan diseksa. Antara seksaan
yang dikenakan ialah dicabut kuku mereka.
Keluarga kanak-kanak ini datang ke balai minta anak-anak
mereka dibebaskan, tetapi polis kata: “Lupakan anak engkau dan engkau buat yang
lain. Ataupun engkau hantar bini engkau di balai polis, kami akan buat bini
engkau mengandung lagi sekali”.
Ayat ini yang saya dengar sendiri daripada orang Syria
bercerita ketika kes itu berlaku. Rentetan itu, orang kampung mula keluar
berdemonstrasi aman dan itu merupakan kali pertama rakyat Syria buat
demonstrasi aman minta anak dibebaskan. Sebelum ini, mereka memang tidak berani
lawan kerajaan langsung kerana kerajaan memang amat zalim.
Entah bagaimana, mereka yang berdemonstrasi aman ini pula
akhirnya ditembak anggota keselamatan. Ramai yang mati.
Peristiwa ini tersebar ke seluruh Syria. Kebetulan, masa itu
di negara Arab yang lain sudah berlaku kebangkitan.
Rakyat Syria memang tidak fikir untuk lawan kerajaan, tetapi
mereka hanya hendak kanak-kanak yang ditahan itu dibebaskan. Itu saja.
Apabila sudah jadi begitu, mereka pun tidak tahan, maka
muncullah Tentera Pembebasan Syria (FSA) setelah enam bulan rakyat Syria
ditangkap, diseksa dan dibunuh. FSA merupakan sukarelawan rakyat Syria yang hendak
pertahankan maruah dan akidah mereka. Mereka yang mula pertahankan keluarga
sendiri daripada kerajaan pimpinan Bashar al-Assad.
Persengketaan di Syria ada kaitan dengan Syiah - Sunni. Dan
sebagaimana penerangan Ustaz tadi, ia juga dikaitkan dengan kemunculan Dajjal.
Difahamkan, ada hadis menyebut bahawa Dajjal nanti akan diiringi oleh orang
Yahudi dari Isfahan, Iran. Apa maksud hadis itu?
Nabi bersabda,
“Dajjal akan diikuti oleh 70,000 orang Yahudi dari kota Isfahan, mereka
memakai al-Tayalisah”. ini hadis riwayat Muslim. Al-Tayalisah ialah sejenis
selendang yang dipakai orang Iran atau Parsi semasa hendak perang dan
sembahyang.
Persoalannya kenapa Nabi kata Dajjal keluar di sebuah bandar
di Iran, tidak di Israel atau Amerika,
Rusia atau China?
Saya tidak pasti, tetapi jika kita lihat di Iran, ada Syiah
di sana. Apabila berlaku kebangkitan rakyat di Syria, negara luar yang
mula-mula campur tangan ialah Iran. Masa campur tangan itu, mereka bukan hendak
sokong rakyat Syria, tetapi Iran hantar 10,000 tentera dengan penembak hendap.
Pada Mei 2012, saya bersama NGO Muslim Care hantar bantuan
kali pertama ke Syria dan kami bertemu dengan seorang ulama Syria di Turki,
Sheikh Muhammad Ali As-Sobuni. Beliau berkata; “Kami dulu menyangka Syiah ini
saudara kita, rupa-rupanya mereka adalah
sebaliknya.
Bahkan, Syiah ini lebih ‘najis’ dan lebih dilaknat daripada
Yahudi. Sebab bilangan orang Islam yang dibunuh di Palestin pun tak sama (masih
kurang) banding dengan orang Islam yang dibunuh di Syria”. Di Syria yang mendapat sokongan Syiah Iraq,
Iran dan Hizbullah dari Lubnan, lebih 200,000 rakyat Syria sudah dibunuh sejak
kebangkitan itu. Berbanding di Palestin, hanya berpuluh ribu sahaja yang
terbunuh sejak Israel tawan negara itu.
Melihat kepada perkara ini, kita pelik kenapa Syiah begini
dan benarlah Nabi kata Dajal akan keluar dari Isfahan, Iran.
Bashar; Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikatakan
berasal daripada keturunan Yahudi Isfahan yang dikaitkan sebagai tempat asal
pengikut Dajjal. Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad juga berasal dari
tempat itu. Bagaimana Ustaz melihat perkara ini?
Saya kurang pasti, tetapi datuk nenek Bashar memang dari
Iran. Jadi hubungannya memang kuat. Satu lagi, di Syria, Bashar berfahaman
Syiah Alawi atau Nusairi. Bercerita pasal Syiah, Syiah Alawi atau Nusairi sudah
terkeluar daripada Syiah Imamiah yang diamalkan di Iran.
Jadi Syiah yang dipegang oleh Bashar ini, tidak diterima
oleh Syiah pun, tetapi kenapa mereka yang menyokong Bashar pada masa ini?
Mereka (Iran) kata benci dan tiada kena mengena dengan Syiah Alawi atau
Nusairi, tetapi mereka tetap sokong Bashar bunuh rakyat Syria.
Ini bermakna, mereka sebenarnya bersatu menentang Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
Pembebasan Masjidil al-Aqsa di Palestin akan bermula
daripada pembebasan Masjid Umawi di Damsyik. Benarkah begitu?
Yang saya dengar daripada ulama Palestin, Syeikh Raed Solah
bahawa pembebasan Masjid al-Aqsa pada zaman Sultan Salahuddin al-Ayyubi adalah
bersama tentera yang datang dari Syam iaitu Syria.
Insya-ALLAH dikatakan tentera juga dari tempat yang sama
akan datang untuk membebaskan Masjid al-Aqsa. Cuma, kali ini bawah pimpinan
Imam Mahdi.
Kubur Salahuddin di Syria, betul-betul di tepi Masjid Umawi.
Puak Syiah paling benci dengan Salahuddin, antara sebabnya Salahuddin yang
menjatuhkan kerajaan Syiah di Mesir, iaitu kerajaan Fatimiyyah.
Ada dakwaan mengatakan, sekiranya Amerika menyerang Syria,
maka akan jadi Perang Dunia Ketiga. Apa pandangan ustaz?
Wallahua’lam. Saya rasa memang sudah dekat-dekat, tetapi
saya tiada pengalaman dalam sejarah bab perang.
Namun, tidak mustahillah (akan berlaku Perang Dunia Ketiga)
kerana melihat contoh apabila Amerika kata hendak serang Syria, sekutu Syria,
Russia kata; “Kalau engkau nak serang Syria, aku serang Arab Saudi”.
Arab Saudi pula sekutu Amerika. Sekutu Syria, iaitu Iraq,
Iran, Russia dan semua sekutu dengan Russia ialah geng komunis, manakala Eropah
dan Amerika pula sekutu dengan Arab Saudi. Jadi bila berlaku peperangan nanti,
Wallahua’lam...tak mustahil berlaku.
Apa istimewanya Syria sebagai sebuah negara Syam?
Nabi pernah sebut dalam hadis; “Ya ALLAH, berkatkan pada
Syam kami. Ya ALLAH, berkatkan kepada Syam kami. Ya ALLAH, berkatilah negeri
Yaman kami”.
Dalam hadis lain; Nabi Muhammad SAW bersabda; “Beruntunglah
bagi penduduk Syam. Beruntunglah Syam. Beruntunglah Syam kerana Malaikat
ar-Rahman yang sentiasa menghamparkan sayapnya ke atas ahli Syam.” (Riwayat
Ahmad).
Nabi sebut lagi; “Sesungguhnya kota (perlindungan) kaum
Muslimin ketika berlakunya al-malhamah (perang besar) ialah di suatu lembah
subur di sudut kota yang dipanggil Dimasq (Damsyik).
Dan ia adalah sebaik-baik kota di negara Syam”. (Riwayat Abu
Daud).
Syam terdiri daripada empat negara iaitu Syria, Jordan,
Palestin dan Lubnan. Para sahabat nabi pun ramai di negara itu. Di Syria, ada
lebih 10,000 pusara sahabat Nabi. Antara sahabat Nabi yang meninggal di Syria
ialah Bilal bin Rabah, Khalid al-Walid, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abdullah bin
Ummi Maktum dan Abu Darda.
Dari Abdullah bin Hawalah, dari Nabi SAW, baginda bersabda;
Pada malam aku diisra’kan, aku melihat tiang-tiang putih seperti permata yang
dibawa oleh para malaikat. Aku bertanya: “Apa yang kalian bawa?” Mereka
menjawab: “Tiang-tiang al-Kitab.
Tugas kami untuk meletakkannya di Syam.” Dan ketika aku
tidur, aku (bermimpi) melihat tiang-tiang al-Kitab muncul dari bawah. Kemudian
aku mengira bahwasanya ALLAH yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi menjelma bagi
penduduk bumi. Maka penglihatanku mengikutinya.
Ketika itu Dia adalah cahaya yang menerangi hadapanku hingga
sampai ke Syam.” Kemudian Ibnu Hawalah berkata: “Wahai Rasulullah, wasiatilah
aku!” Baginda bersabda: “Tinggallah di Syam.” (Riwayat at-Tabrani).
Dalam sebuah hadis lain, daripada Ibnu Hawalah, daripada
Nabi SAW, baginda bersabda bahawa ada tiga tentera di akhir zaman nanti iaitu
tentera Iraq, Yaman dan Syam. Lalu sahabat bertanya; “Pilih yang mana?”. Nabi
berkata, hendaklah engkau bersama dengan tentera yang berada di Syam. Hadis ini
diriwayatkan oleh at-Tabrani.
Apa yang berlaku di Syria, ada kaitan dengan tanda-tanda
akhir zaman. Apa nasihat Ustaz?
Nasihat saya, jangan kata yang lawan Bashar ini adalah
pemberontak, tetapi mereka adalah rakyat yang hendak mempertahankan hak dan
akidah mereka.
Banyak media kata rakyat Syria pemberontak. Kita wajib
mempertahankan Syria. Isu Syria adalah isu umat Islam sedunia. Kadang kala,
kita hanya mengambil berat isu Mesir tetapi kita ketepikan penyembelihan yang
setiap hari berlaku di Syria.
Pesanan Ulama Palestin, Syeikh Raed Solah, selagi Damsyik
tidak dibebaskan, jangan kamu mimpi Al-Aqsa akan dibebaskan. Bantulah mereka
dengan dgn apa yang termampu dan jangan lupa doakan kemenangan untuk Islam.
kredit to: kemarahanpaklong.com
loading...
0 Response to "Benarlah Hadis Rasulullah Tentang Akhir Zaman. Semuanya Telah Berlaku Di Syria."
Post a Comment