Penawar Buat Individu Yang Putus Harap
Adakalanya kita akan menghadapi situasi buntu mencari jalan.
Kita tidak tahu ke mana, dan kepada siapa mahu kita dapatkan bantuan. Kita
lelah mencari manusia, mengadu pada mereka dengan harapan mereka boleh bantu
kita.
Dalam video Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid tentang
Mintalah Kepada Allah Walaupun Garam, beliau berkongsi tentang,
“Apabila kita selalu meminta kepada manusia, mereka akan
marah. Tetapi Allah, apabila kita tidak minta, Dia marah.”
Kisah Danial Dan Rahmat – Kerana Sikap Bertangguh, Danial
Dikatakan Bodoh
Suatu kisah, Danial dan Rahmat berkolaborasi dalam sebuah
projek perniagaan. Rahmat ibarat pemimpin yang mengetuai projek itu. Danial
pula jenis pengikut yang hanya mengikut apa yang Rahmat katakan.
Selama mereka berkolaborasi, Danial mula buat perangai. Dia
bertangguh dalam tugasan untuk projek mereka. Diberi motivasi, baru Danial
bertindak. Dalam pada itu, Danial banyak bertanya hal yang remeh kepada Rahmat.
Pada mulanya Rahmat rajin menjawab. Lama-kelamaan, dia mula
bosan dengan sikap Danial. Walau Rahmat tidak perkatakannya tetapi Danial boleh
rasa daripada perkataan yang ditulis oleh Rahmat di grup perbincangan maya
mereka.
Rahmat mula mengeluarkan kata-kata kesat kepada Danial.
Danial terasa direndah-rendahkan oleh Rahmat, seterusnya Danial membuat
keputusan untuk berpecah dengan Rahmat.
Dia tawar hati untuk teruskan kolaborasi. Oleh sebab,
semakin hari Rahmat semakin membuat Danial seperti rasa individu yang tidak
berguna, bebal dan hanya menyusahkan dia.
Jadi, pada Danial, lebih baik dia berpecah dan cari haluan
sendiri.
Hilang Tempat Bergantung – Peluang Dekat Dengan Tuhan
Selama lebih setahun, Danial bersama Rahmat. Kebanyakan hala
tuju dan tugasan yang perlu dibuat Rahmat yang putuskan. Danial hanya mengekori
apa yang Rahmat tetapkan.
Selepas perpecahan, Danial sedar betapa dia banyak
bergantung kepada Rahmat selama ini dalam projek mereka. Danial rasakan seperti
dia hilang tempat pergantungan.
Selama beberapa minggu, Danial tidak tahu apa yang perlu dia
lakukan. Ke mana hala tujunya selepas ini. Dalam pada itu, Danial banyak
menunaikan solat hajat untuk meminta petunjuk dan arah tuju daripada Allah.
Alhamdulillah, selepas beberapa minggu melakukannya, Danial
mula dikurniakan tanda-tanda Allah tentang apa yang dia perlu usahakan.
Menangis Danial di atas sejadah kerana selama ini, dia
banyak bergantung kepada manusia dalam urusannya. Dia terlepas pandang tentang
rahmat Tuhan. Kehilangan Rahmat dalam projek perniagaannya menyedarkannya untuk
kembali menadah tangan kepada Tuhan.
Tuhan Maha Mengabulkan
Di Facebook Page Mudahnya Menjemput Rezeki dikongsi tentang
tip percepatan pemakbulan impian atau penyelesaian masalah dengan izin Allah,
iaitu 3 S – solat hajat, selawat dan sedekah.
1. Solat Hajat
Solat Hajat bertujuan untuk hamba-Nya meminta sesuatu kepada
Allah. Di fasa ini, Danial mengadu tentang kebuntuannya mencari hala tuju apa
yang perlu dia lakukan.
Danial mengakui kepada Tuhan bahawa kehilangan Rahmat dalam
projek perniagaannya membuat dia hilang arah tuju.
2. Selawat
Dosa itu adalah penghijab rezeki yang paling baik. Semakin
banyak dosa, akan semakin terhijab sesuatu doa. Justeru, perbanyakan selawat
untuk membersihkan diri kita daripada dosa, seterusnya mempermudah pemakbulan
doa. Insya-Allah.
Sabda Nabi s.a.w “ Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu
kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali selawat dan Allah menghapus
sepuluh kesalahan (dosa) dan mengangkat sepuluh darjat kepadanya.”
Hadis Riwayat Ahmad,Nasai & Al-Hakim
Insya-Allah semakin banyak kita berselawat kepada Nabi
Muhammad S.A.W., apabila hati semakin bersih, lebih mudah rezeki seperti idea,
ilham datang kepada kita.
3. Sedekah
Selari dengan firman Allah,
“Adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan
kebaikan (bersedekah) dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan
segala larangan-Nya).
Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka
sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan
(Syurga).”
Surah Al Lail, 92: 5-7
Insya-Allah apabila kita bersedekah dan melakukannya kerana
Allah, Allah akan berikan jalan penyelesaian yang tidak disangka-sangka.
Di saat buntu, carilah Allah dahulu. Allah tidak akan pernah
mengecewakan hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa kepada-Nya.
loading...
0 Response to "3 S: 3 Tips percepat pemakbulan impian atau penyelesaian masalah dengan izin Allah"
Post a Comment