[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'






"AYAH beriya-iya mengajak mengikutnya menghantar adik (Wan Nor Athirah) yang akan memulakan semula pengajian di Kolej Vokasional Kuantan selepas bercuti, tetapi saya mempunyai urusan perniagaan tidak dapat ikut serta.

"Saya sangat terkilan. Sekarang semua ahli keluarga saya sudah tiada," kata Wan Muhammad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19, ahli keluarga enam mangsa maut nahas di Kilometer 25 Jalan Keratong-Bahau, dekat Ladang Risda Palong, Jempol, petang ini.

Wan Muhammad Hazim ditemui di Hospital Jempol ketika hadir membuat proses pengecaman jenazah ibu bapa dan empat adik-beradiknya yang rentung dalam kemalangan itu.

Menurutnya, enam yang maut ialah bapanya Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51; ibu Masnoraida M Yusoff, 45; Wan Muhammad Muhaimin, 22; Wan Nor Athirah, 18; Wan Mohd Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisya, 7.

Katanya, dia mengetahui kejadian kira-kira jam 6 petang selepas dimaklumkan anggota polis yang datang ke rumah di Putrajaya.

"Anggota polis beritahu keluarga saya terbabit kemalangan. Saya memaklumkan sanak-saudara sebelum segera datang ke sini (Hospital Jempol) selepas berbuka puasa," katanya sebak.

Wan Muhammad Hazim yang kini yatim piatu berkata, dia dapat mengesahkan yang terkorban itu adalah ahli keluarganya berdasarkan pakaian yang dipakai oleh Wan Nor Athirah.

Katanya, jenazah semua ahli keluarganya itu dijangka dibawa pulang ke kampung di Melor, Kelantan untuk urusan pengebumian sejurus selesai proses bedah siasat yang dijangka dilakukan esok.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang semalam, kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora dinaiki enam beranak bertembung dengan sebuah treler yang memasuki laluannya sebelum kenderaan mereka dihempap treler berkenaan di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, dekat Ladang Risda Palong.

Kemalangan itu turut meragut dua nyawa suami isteri yang menaiki Perodua Myvi iaitu Osman Mohamed Taip, 31; dan Rosniza Othman, 32, manakala anak lelaki berusia tiga tahun parah. Pemandu treler dan Toyota Vios tidak cedera.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 2:18 AM

HARIAN METRO







loading...

0 Response to "[UPDATE] 'Semua ahli keluarga saya sudah tiada...'"

Post a Comment